Thursday, August 27, 2009

KEMBALI KE PEKANBARU, RIAU, INDONESIA

Tanggal 10hb Augusta 2009, aku telah dijemput untuk turut serta rombongan KOP Constuction Services Sdn Bhd ke Pekan Baru, Riau, Indonesia. Ini adalah kali kedua aku ke sana atas urusan kerja. Namun pada kali ini, tempoh perjalanan untuk sampai ke sana adalah singkat iaitu selama 45 minit dengan menaiki kapalterbang yang disediakan oleh Air Asia. Berbanding pada tahun 2003 aku terpaksa mengharungi Selat Melaka dengan menaiki Feri dan seterusnya ke Pekan Baru melalui Dumai dengan menaiki bas selama 8 jam.

Sampai kami di Bandar Udara Sultan Syarif Kassim II, kami di sambut oleh Pegawai dari Koperasi Pekan Baru iaitu Pak Budi dan juga saudara kepada Tuan Mohamed iaitu Pak Susinto. Sambutan mereka tidak berubah seperti yang terdahulu yang begitu menghormati tetamu yang diraikan. Kami terus di bawa ke Hotel Pangeran. Disitulah aku menginap sewaktu tahun 2003. Terasa macam balik kampong pulak.

Pak Sugierto mencadangkan agar kami berehat dan solat zohor dahulu. Jam 1.45 petang kami dijemput untuk makan tengahari sambil perbincangan dimulakan. Ketua Koperasi di Pekan BAru iaitu Pak Arbi turut kesempatan bersama kami bagi membincangkan rancangan perniagaan. Ketenangan di wajah Pak Arbi membuktikan beliau seorang yang berwibawa serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan berpengetahuan. Kami diraikan di Pondok Gurih yang menghidangkan makanan melayu. Di antara menu yang dihidangkan ialah Asam Pedas Ikan Patin, udang galah, ulam dan berbagai jenis masakan yang enak belaka. Selesai sesi perbincangan dan makan tengahari, kami pulang ke Hotel untuk berehat dan Pak Arbi memberi kebenaran untuk menggunakan Mobil bagi kemudahan kami untuk sebarang pergerakan.

Berita di Indonesia gempar menceritakan penggempuran pihak Militari Indonesia dengan Noordin Mat Top yang dianggap terroris. Sepanjang disana, berita mengenai Noordin Mat Top sentiasa diulangi dan menceritakan ketidak tentuan samada mayat yang ditemui adalah Noordin Mat Top. Sepanjang petang hingga malam, kami merayau-rayau di kawasan persekitaran Pekan Baru. Hingga jam 11.30 aku sampai ke bilik dan tidak larat untuk bersama-sama dengan Dato’ NorHashim untuk mendengar ceritanya.

Keesokan paginya jam 7.00 waktu tempatan kami bertolak ke Labersa ( Lapan Bersaudara) Golf Resort. Di sini penduduk tempatan menyebutnya GOLOF. Kami bertiga iaitu Tuan Mohamed, Hj Zakaria dan aku memulakan aktiviti Golof. Aku terasa prestasi aku dalm aktiviti golof ini semakin baik dan aku memperolehi 2 par. Habis jam 11.30 kerana tidak ramai yang bermain pada waktu itu. Terasa macam nak main satu round lagi di Rumbai tetapi kesuntukan masa menyebabkan kami membatalkan hasrat tersebut.

Sebelah petangnya kami pergi membeli buah tangan untuk dibawa pulang dan kami dibawa oleh Susinto kerumahnya untuk berkenalan dengan keluarga. Selesai jam 8.00 malam kami pergi menghadiri makan malam perpisahan dengan pegawai-pegawai Koperasi. Seolah-olah sebagai adat yang perlu dipenuhi untuk mengadakan majlis seperti itu. Bak kata pepatah Orang Berbudi Kita Berbahasa. Selesai jam 12 malam dan terus ke bilik untuk berkemas pulang ke Malaysia.

Aku harap dapat mengikuti rombongan yang dibuat oleh subsidiary untuk mencari peluang-peluang perniagaan . Selamat Tinggal Pekan Baru.