Wednesday, September 16, 2009

OPS SIKAP VS H1N1

Sejak awal tahun 2009, seluruh dunia telah digemparkan dengan wabak H1N1 atau perkataan lain yang mudah difahami oleh rakyat Malaysia ialah Selesema Babi. Semua penduduk dunia begitu kaget sehinggakan tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkan diri disebabkan penyebaran wabak ini dikatakan lebih teruk dan mudah dijangkiti berbanding dengan wabak AIDS.

Sewaktu wabak tersebut sedang berleluasa di Mexico, radio Malaysia sering membuat laporan kematian setiap hari dan berdoa agar wabak tersebut tidak sampai di bumi yang tercinta ini. Namun apabila Allah S.W.T mengkehendaki sesuatu perkara itu berlaku maka pasti ianya akan berlaku. Sehinggalah kes pertama direkodkan di Malaysia di mana seorang penumpang Air Asia yang baru pulang dari Australia di kesan membawa wabak tersebut. Maka mulai dari saat itu rakyat Malaysia mulai resah.

Laporan kematian tidak lagi menghitung rakyat Negara lain sebaliknya seorang demi seorang dilaporkan mati akibat H1N1 di merata negeri di dalam Malaysia. Di katakan penularan wabak ini begitu cepat sehinggakan pada coretan ini ditulis, sejumlah 77 kes kematian disahkan.

Namun di Malaysia juga, terdapat juga wabak yang mugkin sama tarafnya dengan H1N1 bila mana tiap kali Aidil Fitri menjelang tiba. Seperti biasa, rakyat Malaysia kurang peka terhadap wabak ini dan sehingga terpaksa Kerajaan dijadikan sebagai alat provokasi untuk menjadikan rakyat Malaysia fobia terhadapnya. Wabak yang dimaksudkan ialah OPS SIKAP. Kini OPS SIKAP telah mencapai usia yang ke 20 kali. Dalam usia sedemikan sepatutnya setiap insan harus menyayangi nyawanya tetapi bermula kempen pulang berhari raya di lancarkan maka bersusun senarai yang dilaporkan mengalaminya. Hari pertama di fahamkan meragut 13 nyawa manakala hari kedua 12 nyawa. Ini lebih dasyat dari H1N1. Siapakah patut disalahkan, samada individu atau pun provokasi dari media berkaitan dengan OPS SIKAP ini. Sekiranya bukan di bulan Ramadan atau menjelang Aidil Fitri atau mana-mana perayaan, tidak pula diadakan OPS SIKAP ini. Atau kerajaan patut mengenalkan pula satu OPS yang baru iaitu OPS SIKAP SEPANJANG HAYAT. Lebih menghairankan lagi lebih banyak berlaku kemalangan di kalangan umat Islam sepanjang perayaan aidil fitri berbanding perayaan-perayaan yang lain. Pelik sungguh. Jadi berhati-hati lah, jika kita resah dengan wabak H1N1 kita juga perlu berwaspada dengan wabak OPS SIKAP ini. Selamat berhari raya di kampong. Maaf Zahir Bathin.

Monday, September 14, 2009

LAILATUL QADR

Begitu pasti Lailatul Qadr akan berlaku pada satu malam di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan. Ini kerana sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Kelebihan malam Al-Qadr ini adalah lebih baik dari seribu bulan dan kelebihan malam ini hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Kenapa ianya diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W, kerana umur umat Nabi Muhammad S.A.W amatlah singkat berbanding umat-umat Nabi-Nabi yang lain. Malam tersebut dipanggil sebagai Malam Ketentuan kerana pada malam itu Allah S.W.T akan menentukan tiga (3) perkara untuk hambaNya, iaitu Ajalnya, Kesihatannya dan Rezekinya. Maka beruntunglah mereka-mereka yang mendapat ketentuan yang baik pada malam itu.

Tiada siapa yang ketahui bilakah sebenarnya malam tersebut berlaku kecuali Allah S.W.T. Sengaja Allah S.W.T merahsiakan malam tersebut agar memberi galakan hambaNya untuk beribadah dan mencari malam tersebut. Namun demikian, tanda-tanda berlakunya malam tersebut telah dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W yang mana di antaranya ialah , ianya akan berlaku pada malam-malam ganjil pada malam 10 terakhir iaitu malam 21, 23, 25, 27, 29. Pada malam tersebut mengalami cuaca yang damai di mana suhunya tidak panas dan tidak sejuk. Langit agak terang dan damai. Manakala tanda selepas berlakunya malam tersebut ialah pada paginya matahari akan menyinari sinarannya dalam keadaan yang tidak terik serta cuaca pun tidak panas dan mendung.

Dan yang pasti Rasulullah S.A.W telah menemui malam Al-Qadr pada setiap Ramadan, namun Rasulullah S.A.W tidak menunjuk-nunjuk dengan menyatakan baginda telah bertemu dengan malam tersebut sebaliknya banginda hanya menyatakan bahawa baginda bermimpi bertemu dengan malam tersebut. Inilah akhlak Rasulullah yang begitu mulia berbanding dengan manusia biasa. Baru sekadar mengikuti sekali program mencari malam Lailatul Qadr dan tidak istiqomah dari awal Ramadan telah menyatakan serasa telah melalui malam tersebut sedangkan tidak ada seorang pun yang bertanya kepadanya.

Dalam kita mengharap pertemuan dengan malam Al-Qadr, biarlah kita menyerahkan pengharapan tersebut kepada pemiliknya iaitu Allah S.W.T kerana dalam surah Al-Qadr juga telah menyatakan bahawa malam tersebut akan berlaku dengan izin dari tuhan. Oleh yang demikian, perlulah kita memperbetulkan niat kita dalam kita mencari malam tersebut dengan beribadah kerana Allah S.W.T. dan berdoa agar Allah menyenaraikan kita di dalam senarai hambaNya yang diizinkan bertemu dengan malam tersebut. Semoga pada Ramadan yang akan datang, Allah akan pertemukan lagi kita dengan malam Al-Qadr. WallahuAlam.

Tuesday, September 8, 2009

BERBUKA PUASA DI PERANGSANG TEMPLER GOLF CLUB – 6HB SEPT 2009

Dulu mula-mula dalam kehidupan aku menjalani ibadah puasa, tidak terfikir untuk menerima jemputan berbuka puasa di mana-mana hotel atau pun kelab. Tetapi kini trend tersebut telah berleluasa di merata-rata tempat. Pada dasarnya ianya merupakan satu amal yang baik kerana bagi sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka maka dia akan menerima pahala puasa sama seperti orang yang diberi berbuka tersebut. Namun dalam kesibukan memenuhi jemputan dan berhadapan dengan berbagai menu hidangan, ramai yang terlupa bahawa pada waktu yang sama rukun islam yang kedua juga wajib dilaksanakan.

Memang dah termaktub dalam hadith bahawa mensegerakan berbuka puasa adalah lebih afdhal tetapi rasanya tidak le berlarutan sehingga kekenyangan yang teramat sangat menjadikan diri kita malas untuk mendirikan solat maghrib. Bahkan apa yang dapat dilihat ada yang meninggalkan langsung ibadah wajib tersebut. Sedih rasanya bila melihat ruang solat yang disediakan oleh para penganjur majlis berbuka puasa tersebut kosong dan lengang.

Sebenarnya apa yang aku ceritakan ini adalah pengalaman sewaktu aku dan keluarga mendapat jemputan dari rakan ku Chan Fook Mun untuk berbuka disana. Aku pun hairan juga kawan ku ini cukup bersungguh-sungguh menjemput kami sekeluarga dan beliau juga menjemput kakitangan syarikatnya untuk berbuka sekali. Tidak kira samada kakitangannya muslim atau pun tidak. Sewaktu aku dalam perjalanan ke sana kira-kira 6.20 petang, Chan mula menelefon aku untuk mengesahkan kehadiran ku walaupun sebelum ini aku telah menyatakan untuk hadir. Sesampai disana, dia dan keluarga telah pun sampai dan kami bersalaman. Beliau menunjuk arah ke tempat berbuka puasa walaupun ini adalah tahun ketiga aku dijemput untuk berbuka disitu. Dia menyuruh aku untuk mengambil makanan bagi bersedia untuk berbuka kerana jika lewat terpaksa beratur untuk mendapatkan makanan yang menjadi kegemaran ramai iaitu kambing golek.

Selepas berbuka dan selesai solat maghrib, aku sambung menjamu selera. Nampak ada kemajuan dari menu yang dihidangkan. Setelah berborak dengan Chan berkaitan perniagaan, aku pun minta permisi untuk pulang dahulu kerana untuk mengejar solat tarawikh. Beliau memahami keperluan ku dan aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau dan isterinya.

Thursday, September 3, 2009

PERKENALKAN AHLI KELUARGAKU

Bila aku nak mulakan coretanku ni, teringat pulak cerita P.Ramlee Anak bapak. Yang mana anaknya Harun (P.Ramlee) memperkenalkan gambar-gambar datuk-datuknya A.R Tompel dengan berbagai-bagai nama. Ada yang Mahfuz bin Mahfiz, Mahfiz bin Mahfaz. Jadi aku tak le berniat macam tu. Sekadar nak luahkan kesyukuran dengan nikmat keluarga yang Allah telah berikan dan kurniakan kepada aku.

Mula-mula mestilah aku. Emm.... ni le rupa aku. Gambar yang disebelah ni. Kacak tu tak le tapi manis tu ada. Dah tua lak rasanya bila nengok anak dah besar-besar. Anak ke sepuluh dari sepuluh adik beradik. Kerja di KOP Mantap Berhad. Anak syarikat KoperAdd Videoasi Polis Di Raja Malaysia Berhad.

Pastu mestilah isteriku. Dia tua setahun daripada aku. Tapi itulah diantara syarat yang aku berikan kepada kakak ku yang cuba mencarikan pasangan hidup. Bukannya aku ni tak laku tapi terlalu pemalu dan sibuk pada ketika itu hingga tak sempat nak cari. Dah pernah cuba cari sendiri tapi tulah, bila aku suka budak tu lak taknak. Bila dia nak pulak aku kata bukan taste aku. Last-last cara yang kakak aku cadangkan ni berjaya. Alhamdulillah. Kerjanya cikgu. Dekat aje sekolahnya. Di kawasan taman perumahan kami di Saujana Utama. Oh ya, terlupa nak bagi tau nama dia. Namanya ialah Nor Azwa bt Baharain. Orang Perak. Nama panggilan dirumah Ibu. Dia seorang yang baik dan penyayang. Berleter tu biasa le. Orang perempuan le katakan. Kisah-kisah Saidina Omar dengan isterinya yang kuat berleter menjadikan aku cuba mengikuti apa yang pernah ku dengari tentang beliau. Aku bernikah dengan dia pada 11hb November 1991. Dah hampir 19 tahun bersama dengannya. Tapi rasa macam baru 19 jam. Hee…hee… ada makna tu… Perselisihan faham biasalah mesti ada. Tapi aku teringat sahabat aku semasa di ITM dulu berkata. Selisih faham perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Tapi yang paling penting cara penyelesaian yang diambil. Alhamdulillah, setakat ini berjalan lancar dan doakan kami kekal bersama di dunia dan dapat bertemu kembali di Syurga Allah.

Dua tahun kami bernikah barulah Allah kurniakan cahayamata yang pertama. Nor Aiman namanya. Lahir pada 1hb September 1993. Kini dah berusia 16 tahun. Anak yang baik tetapi mudah terikut-ikut dengan rakan sebaya. Kini bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Jalan Persiaran Brash. Kalau nak tahu itu la sekolah ibu dia dulu. Semoga dia dapat semangat ibunya dan berjaya mencapai cita-citanya. Kat rumah kami panggil dia Along.

Bila Allah dah mula berikan zuriat, sudah tentu keinginan untuk menambahnya tetap ada. Pada tahun 1995 tanggal 6hb Mei, terpacullah hamba Allah yang diberi nama Nor Ammar. Bukan main semangat sungguh sewaktu lahirnya. Boleh dikategorikan dalam golongan bayi yang comel pada ketika itu. Sekarang ni kurus tapi makan banyak. Sedang membesar. Umur pun dah 14 tahun. Kalau dia marah kat adik-adik dia atau abang dia, mulut dan suaranya cukup menyakitkan telinga ini mendengarnya. Tapi apakan daya. Dah perangai dia. Namun kalau salah seorang daripada anak tak ada di rumah. Terasa kekurangannya. Sebagai contoh kini Aiman sekolah di Ipoh, setiap hari bila balik dari pejabat, aku akan bertanya pada isteri ku samada Aiman ada telefon atau tidak.

Tidak terkawal nafsu orang muda, selang beberapa bulan isteriku mengandung lagi. Muncul la pula zuriat yang ketiga yang diberi nama Nor Afiq pada 5hb Oktober 1996. Susahnya menjaga dia semasa bayi Allah saja yang tahu. Hinggakan adakalanya tak dapat tidur. Ini kerana dia mempunyai penyakit Angin Pasang. Doktor dah bagi nasihat untuk bedah tapi kami usahakan dengan Homeopathy dan Alhamdulillah sihat kembali. Dia ni seorang anak nampak sifat kasih sayang dia pada adik beradik tapi pada masa yang sama suka menyakat adik beradiknya dengan membuat memek muka yang penuh berbakat. Pastu dia gelak bila adik dan abangnya terasa sangat sakit hati. Kira puas lah hati kalau tercapai misinya itu. Kini umurnya 13 tahun.

Dah tiga orang anak lelaki, teringin pulak anak perempuan. Tapi itu bukan kerja kita nak pilih anak lelaki ke atau anak perempuan. Melalui bacaan dan program parenting, kami cuba berbagai kaedah dan pendekatan. Alhamdulillah pada tahun 1999 bertarikh 19hb Oktober aku dapat seorang puteri reformasi. Kebetulan waktu tu begitu hangat Puteri Reformasi anak kepada YB Dato Seri Anwar Ibrahim yang membela nasib beliau yang dikatakan mangsa Konspirasi. Jadi sempena kecekalan dan semangat yang ditunjukkan oleh puteri tersebut, aku pun menamakan anak perempuan ku dengan nama Nurul Izzah. Anak ku ini merupakan cucu yang terakhir buat Ayah ku. Ini kerana pada tahun 2000 beliau telah pergi meninggalkan kami buat selamanya. Nurul seorang anak yang baik dan suka mengalah dengan abang-abangnya. Dan sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluargaku keutamaan sering diberikan kepadanya. Kini dia berusia 10 tahun.

Setelah 7 tahun dengan empat orang anak, tetiba aje. Bak kata orang sambil-sambil aje dapat seorang lagi anak yang bongsu dan terakhir. Doktor telah menasihati kami agar cukup dengan apa yang ada. Hadiah untuk itu, kelahiran anak yang bongsu ini adalah dengan melalui pembedahan. Habis dalam 5 ribu. Namanya kami berikan dengan nama Nor Azraie. Panggilan dirumah Adik atau A’ie. Kini bukan main keletah dan tak henti-henti bercakap. Cukup aktif. Mungkin betul kata orang, anak yang keluar atau dilahirkan mengikut tingkap memang betul aktif.
Akhir kalam, doa yang sering keluar dari mulutku selepas sembahyang setiap waktu dengan doa, Ya Allah, Jadikan dan tanamkanlah kasih sayangku terhadap isteriku dan jadikanlah zuriatku sebagai penghias dan penyejuk mata dan jadikan mereka tergulong dalam golongan orang yang bertaqwa dan beriman. Amin.

Wednesday, September 2, 2009

RAMADHAN KALI INI – 1430H

Ramadahan kali ini, aku amat bersyukur dapat diketemukan lagi oleh Allah S.W.T dan dapat berpuasa dan bersahur dengan anak-anak dan isteriku. Berbanding dengan mereka yang telah Allah jemput sebelum bertemu dengan Ramadhan. Seperti Nenek saudara ku yang dikenali sebagai Nek Kamah, Ust Asri Rabbani dan baru-baru ini Tan Sri Jaffar Abdul, orang aku kenali yang pergi menyahut panggilan Ilahi.

Persoalannya, apakah setiap kali datang dan perginya Ramadhan tidak memberi apa-apa makna kepada kita. Tidakkah kita merasakan adanya peningkatan dari Ramadhan sebelum dan Ramadhan ketika ini. Tepuk dada tanya iman. Aku terasa amat kerdil bila membicarakan tentang peningkatan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana ada yang mengatakan peningkatan ini terletak sejauhmana perjuangan kita dalam sesuatu jemaah. Ada yang meletakkan penambahan pengibadatan kita kepada Allah. Ada yang macam-macam yang mengikut pandangan mereka. Namun demikian, bagi mengurangkan tekanan aku terhadap peningkatan ini, teringat aku firma Allah S.W.T di dalam Al-Quran, “Tidak Aku membebankan hambaku melainkan apa yang termampu olehnya.

Aku sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diriku untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Biarlah hanya Allah yang menentukan samada aku mempunyai peningkatan dalam perkara tersebut. Pada pandangan mata kasar, ada lah sedikit peningkatan. Kerinduan beramal di Makkah dan Madinah sewaktu mengerjakan umrah yang lalu memberi semangat kepada ku untuk melakukan amalan dibulan Ramadan ini. Di antaranya berazam untuk khatam 30 juzuk Al-Quran, duduk disaf hadapan sewaktu Isyak dan Tarawikh, Qiam di malam hari. Yang lain-lainnya biarlah ia terpendam di dalam hati ini. Nanti bila lebih-lebih bercerita takut timbul riak pula. Namun dalam mengerjakan amal ibadah ini, tidak dinafikan terhadap halangan yang besar iaitu melawan hawa nafsu. Emmm… teruk dan jenuh jugak nak menghadapinya. Kalau ikut kata Ustaz yang bagi tazkirah disurau, nafsu ni merupakan anak murid syaitan. Itu sebab walaupun syaitan ditambat pada bulan Ramadan ini, Syaitan tak risau tinggalkan manusia kerana nafsu akan mengambilalih sewaktu ketiadaan Syaitan.

Fasa pertama bulan Ramadan telah berlalu, segala rahmat yang dijanjikan oleh Allah S.W.T pasti telah diberikan kepada hamba-hambaNya yang layak untuk menerimanya. Kini samapai ke fasa kedua iaitu fasa pengampunan dan seterusnya fasa ketiga iaitu kebebasan daripada api neraka. AKu berharap, puasa dan Ramadan kali ini, Allah telah menyenaraikan namaku sebagai salah seorang dari hambanya yang bakal menerima anugerah tersebut. Ya Allah, berikan rahmatmu ke atas diriku dan juga keluargaku seperti mana kau berikannya kepada hambamu yang layak menerimanya. Ya Allah, kau ampunilah dosa-dosaku yang lalu samada yang disengajakan atau pun yang tidak disengajakan, yang tersembunyi dan yang terang-terangan, sesungguhnNya kau lah sebaik pemberi pengampunan. Ya Allah kau bebaskan aku dan ahli keluarga dari api nerakamu. Sesungguhnya aku tidak layak untuk memasuki syurga mu dan juga tidak sanggup memasuki nerakamu. Ya Allah, bebasnya aku dari Api neraka Mu dan masuknya aku ke dalam syruga Mu adalah hanya disebabkan Ehsan Mu, maka janganlah walau sesaat sekalipun ehsan Mu, rahmat Mu terlepas dari tubuh badan ku ini Ya Allah. Amin Ya rabbal alamin.