Sunday, July 19, 2009

Camping (Perkhemahan di Sg Calit, Raub Pahang (18hb – 19hb Julai 2009)

Jadual aku pada 18hb dan 19hb Julai 2009 sebenarnya telah ada iaitu 18hb Malam Sabtu, anak Dato’ Mail kahwin. Aku jumpa dia di majlis perkahwinan anak Hj Zakaria hari tu dia dah peringatkan kat aku jangan tak datang. Aku kata aku dah reply surat jawapan yang aku akan datang. Manakala pada 19hb Julai 2009 pula aku selaku Bendahari Surau patut hadir pada mesyuarat Agung Tahunan Surau yang ke enam yang mana laporan kewangan aku kononnya bermasalah pada pandangan Pemeriksa Kira-Kira. Tapi pada pandangan aku, akaun yang dikendalikan…. aku rasakan standardnya sama macam aku buat akaun sewaktu aku semester 1, belajar perakaunan di ITM. Takpe le tinggalkan cerita tu.

Jadi…. Tetiba aje partner aku ajak untuk join pergi camping dengan staf termasuk le adik ipar aku yang bekerja kat disitu. Dia pulak minta sangat buatkan Nasi Lemak kegemarannya. Tang ini yang aku pun tak suka sikap aku yang susah sangat nak menolak ajakan orang. Lebih-lebih lagi partner aku. So… aku pun minta jasa baik isteri ku buatkan. Harapkan aku memang apa pun tak gheti. Tapi hari Sabtu tu pulak isteri nak gi lawat Aiman di Ipoh untuk amik laporan kemajuan. Alhamdulillah, isteri aku sanggup tolong buatkan. Terima kasih isteri ku. Aku pulak pada hari Sabtu tu ada meeting BOD, mlm pulak Abang Asan kata si Pemeriksa kira-kira nak jumpa dan kawin anak Dato’ Mail dan esok AGM Surau. Pening aku dibuatnya serba tak kena. Mana satu nak di dahulukan.

Hari Sabtu tu aku pergi mtg BOD seperti dijadualkan. Ini tak boleh dielakkan kalau takde apa yang berat untuk menghalang aku. Tgh mtg, partner dah call berkali-kali. Katanya….U pegi kan. Aa’aah le aku jawap. Isteri ku dalam perjalanan dan SMS telah diterima darinya bg memaklumkan lokasinya. Alhamdulillah jam 11.30 isteri ku SMS katanya dah sampai rumah. Cepat betul kata ku. Kena saman le agaknya tu nanti.

Habis mtg jam 1.40 ptg, aku terus balik tanpa makan tengahari di Hotel. Sampai dirumah Angah dan Afiq dah siap. Kalau diorang berubah taknak pegi mungkin kuat jugak aku tak pergi. Partner SMS lagi sekali dgn ayat memancing dia….”I tunggu U, semua orang dah pegi. Emm… camne lagi nak ngelak, kena gak le pergi. Ingat nak hantar nasi lemak aje kat dia. Sampai di Bengkel aku nengok Isteri dan anak-anak dia dah ada dalam Land Rover. Alamak, muat ke aku cakap kat partner. Dia kata takpe boleh masuk. Lagi pun tak jauh katanya. Sungguh2 nampak dia nak ajak aku, walaupun memang sebenarnya tak selesa dengan bilangan penumpang sedia ada.

Bertolak dari bengkel jam 3.14 dan sampai jam 4.15 petang di tempat berkumpul. Dia dah sewa land rover untuk bawa kami ke tempat perkelahan. Aku ingatkan kat sungai-sungai macam di Ulu Yam dan macam biasa cadangan aku bila sampai di tempat lokasi aku akan call atau SMS isteri ku untuk maklumkan yang aku dan anak-anak dah sampai. Rupanya di puncak gunung dalam hutan. Lebih kurang setengah jam merentasi hutan baru sampai di lokasi.

Aku tengok signal hand phone takde. Abih le macamana aku nak call isteri aku. Aku sebenarnya bukanlah orang yang minat dengan perkhemahan ni. Banyak sesi perkhemahan yang aku turut serta sebelum ini memang membosankan. Tapi dah diajak maka tinggal jemputan majlis perkahwinan dan AGM Surau.

Pertama-tamanya bila aku melihat air terjun di situ, terdetik di dalam hati betapa besarnya kekuasaan Allah. Air yang turun dari atas gunung yang tidak tahu dari mana mencurah-curah tanpa henti. Kalau guna akal kita, air yang dicurah pasti akan habis tetapi sebaliknya air terjun itu tidak henti-henti. Segala kebesaran Allah boleh dilihat di persekitaran tetapi ramai manusia yang menikmati kebesaran Allah di situ lupa akan pemilik yang memberikan nikmat tersebut. Rata-rata aku lihat ramai yang lupa tanggungjawab mereka terhadap tuhannya. Kebosanan aku terserlah dengan aktiviti aku lebih banyak kepada tidur. Sesekali berborak dengan partner. Dia kata bagi happy staf. Memang aku ikuti aktiviti syarikat dan selalu dia buat outing dengan staf dia. Kira dia majikan yang perihatin. Makan aku kurangkan seperti biasa kerana aku tak selesa dengan tandas yang ada disitu. Waktu malam yang makin menelan siang, menyebabkan aku bertambah risau. Mana nak tahan sakit perut, sejuk yang amat sangat. Nak kencing malam dah tentu. Rasa nyesal ada jugak timbul pada ketika itu. Memang betul, malam tu tak pernah aku rasa begitu sejuk sekali hingga menggigil badan aku kesejukan. Beberapa kali aku terjaga. Kali terakhir jam 4.08 pagi pundi air ku mula nak keluarkan airnya. Alamak, kelam kabut dibuatnya. Aku kejut Afiq untuk temankan aku, Haram dia nak bangun.

Akhir sekali aku paksa dan beranikan diri ku untuk mengambil tindakan yang drastik. Emmm….. Aku… Afiq dan Angah saja yang tahu sehingga aku menulis coretan ini. Aku tak tau le lepas ni dia bercerita ke tidak dengan isteri dan anak perempuan ku.

Paling menyeronokkan waktu pulang telah tiba. Aku berkemas dan terus tunggu di kenderaan yang setia menunggu kami. Pertengahan jalan baru ada signal telefon dan berderetan anak kucing berbunyi menandakan kemasukan SMS. Aku nengok ada 25 terlepas panggilan dari rumah. Emmm aku kata pasti muncung ni. Jap-jap tu call masuk dari rumah dan suara isteri ku kedengaran dengan nada tak puashati. Aku diamkan saja. Atas land rover dengan jalan berliku-liku. Sampai dibawah aku bisik kat partner aku kena balik dulu walaupun dia kata nak bawak pergi makan dulu. Partner aku faham dan dia bagi kereta staf kepada aku untuk aku balik dulu.

Sampai dirumah….. camtu lah ceritanya. Kena beli nasik pattaya kat Maju Ahmad. Sekian. Penat betul. Tapi A’ie sebagai pengubat penat dengan keletahnya tak henti-henti.

Tuesday, July 7, 2009

Bertemu dengan sahabat lama (ITM) – 8hb Julai 2009

Dari malam tadi aku asyik membilik kad perniagaan kawan baik aku iaitu Azman. Nama penuhnya Nor Azman bin Ibrahim. Sama-sama belajar di ITM pada tahun 1985 – 1989 Diploma Perakaunan.

Tadi sewaktu aku singgah di Ampang Point atas urusan peribadi, dan sedang aku duduk minum di satu restoran, dia lalu dengan mengangkat makanan untuk dia dan dua orang anaknya. Itulah kuasa tuhan. Dok teringat tetiba aje muncul depan mata. He2 terdetik jugak dalam hati, kalau teringat duit 10 juta, syok jugak tetiba ada dalam akaun.

Seronok bercerita, tanya tentang kengkawan lama. Terasa dah tua bila nengok anak-anak dah besar. Dulu dia kerja dengan MAA sebagai Audit Manager kot. La ni dah buat bisness sendiri. Kalau dekat MAA gaji besar boleh berhenti kerja maka bisness dia ni mesti lagi kencang. Tapi dulu sampai sekarang dia tetap sama. Macam aku kenal sewaktu di ITM. Low profile. He2 betul ke eja ni. Nama-nama yang disebut, JA’A, Mamod, Kamal, Mokhtar, Mail, Debak, Musaddiq, Ajib, Kak Ngah. Seronok le dengar semuanya dah berjaya. Alhamdulillah. Di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan.

Monday, July 6, 2009

Ucapan Selamat Hari Lahir dari Isteri dan anak-anak ku:

Aku pun hampir lupa hari itu adalah hari lahirku. Ini disebabkan sibuk mengaturkan golf bersama DIG iaitu YDH Tan Sri Ismail bin Hj Omar dan tetamu terpilih di Glenmarie. Tetiba aje di lubang 13 aku perasaan ada SMS masuk bertubi-tubi yang berbunyi dan dari mereka di bawah.

Isteri dan anak perempuanku : “Selamat Hari jadi ayah, moga panjang umur, ayah adalah ayah n suami yg baik, ayah ialah bintang hati nurul dan ibu, ibu n nurul ada buat kek ari jadi, darp ibu n nurul. He…he… Macam ada makna aje ni.

Dari Along Aiman: “Selamat Hari jadi ayah, semoga panjang umur dan murah rezeki ~ alOng aiman. Ayat standard.

Dari Angah Ammar: “Slamat ari jadi ayah. Pendek dan ringkas. Macam kena suruh ucap aje.

Dari Afiq: “SELAMAT” “HARI JADI” “AYAH”. Lain macam aje penyampaian afiq dan lewat sehari.

Ini lah hadiah yang istemewa buat ku. Bukan wang ringgit dan hadiah material tetapi ingatan dari orang yang tersayang.


Semoga bertemu ucapan pada tahun hadapan, jika panjang umur. InsyaAllah.

Wednesday, July 1, 2009

SELAMAT HARI LAHIR KU

Aku mengucapkan selamat hari lahir ku sejak dilahirkan oleh ibu ku pada tahun 1966. Entah begitu bertuah rasanya aku dilahirkan dalam Keluarga Hj Hasbullah dan Hajjah Siti Raudzah. Biar pun tidak sekaya mana dan tidak sesenang mana ayah dan ibuku, namun didikan dan kasih sayang yang mereka curahkan kepada ku begitu bermakna buat diriku. Kini aku juga dapat merasai seperti mana yang mereka rasakan sebagai seorang ayah. Aku bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan zuriat yang diberikan kepada aku dan isteriku. Kini aku mempunyai 5 orang cahayamata iaitu Nor Aiman – 16 tahun, Nor Ammar - 14 tahun, Nor Afiq – 13 tahun, Nurul Izzah – 10 tahun dan yang bongsu Nor Azraie – 3 tahun.

Entahlah adakah aku berjaya mendidik dan memberi kasih sayang sepertimana yang telah aku terima dari ibu bapaku. Hanya anak-anak ku saja yang dapat menilainya. Aku sentiasa berdoa dan berharap Allah perlihara zuriatku agar menjadi hamba Allah yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Anak-anak, moga kalian dapat kesedaran seperti mana ayah dapat rasakan betapa pentingnya kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa kepada anaknya. Ayah harap kalian semua beroleh kejayaan. Ringkas sungguh coretan pertama sempena ulang tahun hari kelahiran ku pada 5hb Julai setiap tahun.

Umrah Dan Ziarah Mesir, 2009

UMRAH 2009 (25hb Mei – 8hb Jun 2009)

Alhamdulillah, tidak ku sangka Allah SWT telah menyenaraikan namaku dan isteri ku sebagai tetamuNya bagi mengerjakan umrah pada tahun ini. Walaupun agak singkat tempoh antara Haji 2007 yang telah kami laksanakan dengan Umrah 2009, namun aku tetap merasakan telah lama aku meninggalkan Makam Rasulullah SAW dan Baitullah. Ramai kawanku berkata,”Eh, kan baru pergi, dah nak pergi lagi”…. Aku sentiasa beristighfar agar syaitan tidak mengambil peluang untuk menimbulkan rasa riak dalam hati. Tetapi aku yakin sesiapa yang telah pergi ke sana, dan berpeluang untuk pergi lagi pasti akan terlonjak-lonjak kegembiraan untuk membuat persiapan.

Memang begitulah janji Allah, bukan senang untuk kita diterima menjadi tetamuNya walaupun kita telah merancang. Ini kerana pada awalnya aku bercadang untuk membawa anak sulongku, Aiman. Telah aku berhubung dengan Pengetua sekolahnya tetapi respon yang diterima menyatakan tarikh pemergian ku ke tanah suci bertembung dengan tarikh peperiksaan pertengahan tahun sekolahnya. Namun di saat akhir, aku mendapati peperiksaan tersebut telah dipercepatkan. Inilah dikatakan takdir Allah tidak mahu menjemputkan seseorang itu menjadi tetamuNya.

Pemergianku kali ini mengambil kesempatan untuk pergi ziarah ke Bumi Anbia, Mesir. Dengan kadar harga pakej yang ditawarkan, aku terus menerima dan isteriku gembira dengan perancanganku ini. Sampai hari berlepas, Allah telah menguji kami sekeluarga. Aku telah diserang demam yang amat kuat hasil jangkitan kuman dari Aiman yang baru balik bercuti awal dari Ipoh. Begitu juga isteri dan anak ku yang bongsu Azraie. Terdetik di hati untuk membatalkan pemergian. Disamping wabak H1N1 yang melanda seluruh dunia. Namun kesungguhan untuk pergi, ku kuatkan semangat dan menelan ubat mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh doktor.

Aku bertolak dari rumah pada jam 6.30 petang. Pada asalnya aku bercadang untuk menyewa teksi tetapi kawanku Chan Fook Mun memarahiku dengan mengatakan kenapa mau buang duit. Dia boleh hantar katanya. Aku terharu dengan kebaikannya dan akhirnya dia yang menghantar aku dan isteri ke KLIA.

Penerbangan dengan menaiki pewasat Egypt Air jam 11.50 malam agak berbeza dengan penerbangan sewaktu musim Haji. Ialah musim haji, pesawat disewa sepenuhnya oleh Tabung Haji dan segala adab dan pemakaian krew pesawat dan penumpang di jaga. Walaubagaimana pun menaiki pesawat dari Negara Islam (Timur Tengah) setidak-tidaknya doa menaiki kenderaan dan musafir tidak dilupakan.

Selepas berada di dalam pesawat hampir 10 jam dengan singgah di Mumbai selama 1 jam, pesawat Eygpt Air mendarat di bumi Anbia Mesir. Kerisauan terus melanda sekiranya aku ditahan disebabkan demam panas tidak begitu reda walaupun beberapa biji ubat telah ku telan. Lega rasanya bila pegawai imigresen melepaskan aku keluar dari pintu masuk ke Mesir.

Kami terus menaiki bas. Dalam fikiranku, kami akan terus ke Hotel penginapan untuk berehat setelah 10 jam berada di dalam pesawat namun, kami terus di bawa melawat beberapa tempat bersejarah seperti Masjid Sultan Hassan. Masjid ini difahamkan merupakan masjid yang telah mengadakan kelas bagi 4 mazhab yang termasyhur iaitu Mazhab Shafie, Mazhab Hambali, Mazhab Maliki dan Mazhab Ghazali di dalam satu masjid pada satu masa yang sama. Selain dari itu, kami di bawa melawat ke Piramid dan kedai Minyak wangi.

Pada hari kedua dan seterusnya, Kami dibawa untuk menziarah makam Imam Shafie, Makam Saidina Hussin, Tasik Qarun, Fayyum, Sungai Nil, Iskandariah, Istana Raja Farouk yang mempunyai rahsia dengan meminum sup burung merpati, Kincir Air yang di ilhamkan oleh Nabi Yusof dan Kilang Kristal Asfour. Rata-rata di Mesir aku tidak begitu seronok dengan keramahan orang tempatan. Barang pun mahal dan peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi. Namun demikian, aku amat bersyukur dengan peluang yang telah diberikan oleh Allah SWT untuk berada di Bumi Anbia, Mesir.


Hari yang ditunggu untuk berangkat ke Jeddah telah pun tiba. Keseronokan makin terasa. Perjalanan dengan menggunakan pesawat Egypt mengambil masa 1 jam 45 minit sahaja. Kami sampai di Jeddah hampir waktu Mahgrib. Selesai melaksanakan solat Jama’ maka kami pun berangkat ke Madinah dan sampai kira-kira jam 12 tengah malam. Terasa lepas kerinduan apabila aku membuat ziarah di Makam Rasulullah pada jam 2.30 pagi. Air mata tetiba sahaja mengalir di pipi. Ustaz Zul yang mengiringi kami memberi pilihan samada ingin balik ke hotel atau terus beritikaf di masjid. Aku mengambil peluang untuk terus menunggu waktu Subuh walaupun agak letih dan mengantuk. Memang menjadi buruanku untuk bersalam dengan idola ku iaitu Imam Masjid Nabawi iaitu Shikeh Salah Al Bidr. Alhamdulillah memang pada Subuh itu, Beliau menjadi imam dan aku berkesempatan bersalam dengannya. Nampaknya berat badannya bertambah sewaktu aku mengerjakan haji pada tahun 2007. Kesempatan untuk mengusung jenazah ke perkuburan Baqi’ juga aku ulangi. Aku tidak tahu kenapa ianya menjadi satu buruan untuk aku melakukannya apabila aku berada di bumi Madinah.

Ziarah di tempat yang telah aku lawati sewaktu Haji 2007 berulang dan aku sekadar meraikan rakan sekumpulan yang belum pernah pergi ke tempat bersejarah. Rata-rata ahli kumpulan aku semuanya telah beberapa kali datang ke Madinah dan Makkah. Tempat yang di lawati seperti Jabal Uhud, Gua Thur, Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Ladang Tamar dan juga Pasar Tamar. Kali ini aku tidak banyak mengambil gambar dan membeli kerana tidak banyak perubahan yang berlaku di Madinah. Aku dan isteri mula berazam untuk mengkhatamkan 30 juzuk sepanjang berada di Madinah dan Makkah. Memang benar kata ulamak bahawa bumi Madinah dan Makkah adalah merupakan bumi yang memberikan semangat untuk beribadah. Kesungguhan untuk beramal nampak ketara jika dibandingkan sekiranya aku berada di bumi tempat tumpah darahku.

Dua hari di Madinah seolah-olah merentap kebahagian aku bersama Nabi. Apakan daya pakej telah menetapkan waktu berada di Madinah sedemikian singkat. Aku meninggalkan Rasulullah dengan tangisan hiba dengan harapan dapat bertemu lagi sebelum Kiamat didatangkan oleh Allah SWT. Tinggal lah Rasulullulah dengan penuh bangga kerana ramai umatnya datang menzirahi Baginda setiap masa. Makin sayup Bandar Madinah hilang dari pandangan mata. Bas berhenti di Masjid Bir Ali untuk kami memasang niat ihram bagi mengerjakan umrah. Perjalanan masih jauh dan pantang larang telah bermula. Sampai di Makkah jam 10 malam dan aku terus meminta izin dari Ustaz Zul untuk kami mengerjakan tawaf dan saie terlebih dahulu. Ustaz Zul membenarkan kami memandangkan beliau mengetahui kami telah mengerjakan Haji sebelum ini. Selesai tawaf dan saie jam 2.00 pagi. Dapatlah kami tidur 2 jam untuk kembali semula ke Masjid bagi mengerjakan solat Subuh. Hotel kami berada di laluan pintu 45 ke arah Masjid Kuching. Aku amat terkejut melihat sekeliling kawasan Masjidil Haram telah dirobohkan bangunan sebelum ini padat sewaktu musim Haji 2007 dahulu. Aku hilang punca untuk mencari kesan dan kemana kedai-kedai yang aku berurusan sebelum ini hilang dan dipindahkan.

Hari-hari berikutnya senitasa berulang alik ke Masjid, Umrah dan Ziarah. Alhamdulillah aku dan isteri dapat memenuhi azam kami untuk mengkhatam 30 juzuk. Di Makkah bermacam-macam boleh berlaku yang tidak disangka. Aku bertemu dengan bekas Polis yang ku kenali di dalam Masjid. Beliau berasal dari Alor Setar dan merupakan bekas Ahli JawatanKuasa Kecil Daerah Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad. Aku panggil beliau Pak Cik Tajuddin. Namun rancangan untuk bertemu semula dengan makcik tidak kesampaian kerana aku pula sibuk dengan Pengendali Jemaah Haji dan Umrah di Makkah yang dikenalkan oleh rakan di Malaysia. Sehinggakan satu malam aku tidakl tidur kerana mengikutnya berjalan disekitar Masjid Al Haram dan Hotel-Hotel dibawah seliaan beliau. Asal usul beliau adalah orang Malaysia. Namun sejak 60 tahun Moyangnya telah berhijrah ke Makkah. Kini beliau menjadi warga Arab Saudi.Sehari sebelum balik ke Malaysia, beliau menjemput aku dan isteri ke rumah beliau untuk makan malam. Sungguh terharu dan terasa lama telah berkenalan. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada beliau apabila hendak berangkat pulang ke Malaysia dengan terasa hiba.

Seperti biasa, tawaf wida’ yang diakhiri dengan doa, tidak dapat membendung kesedihan. Aku teresak-esak menangis berharap dapat lagi berkunjung ke Baitullah. Walaupun pada ketika itu suhu di bumi Makkah terlalu panas, iany menjadi kerinduan bila aku berada di Malaysia. Terasa bagaikan mimpi bila mengenangkan perjalanan ku ke Makkah kali ini. Di hati ku sentiasa ku simpan rindu ku untuk kembali ke sana. Mudah-mudahan aku akan di panggil lagi oleh Allah SWT untuk menjadi tetamuNya.

Perjalanan Haji 2007


TETAMU ALLAH…PERBANDINGAN PENGALAMAN (1403H & 1428H)

Tetamu Allah..

Labbaikallah hummalabbaik.....
Labbaikalaa syarikalakalabbaik…..
Innalhamda wanni’mata…..
Lakawalmulk….
Laasyariikalak…..

Tuhan…aku menyambut seruan Mu
Meskipun Kau tahu
Bergendong-gendong dosa diriku yang ku bawa..
Kau bersedia mengampunkan
Namun adab susila sebagai tetamu Mu
Tetap ku jaga
Harapan tinggi menggunung agar…
Dugaan dan ujian yang ku terima
Setimpal kemampuan ku..
Tuhan…melihat kebesaran Mu
Dimuka bumi Masy’aril Haram…
Tak termampu akal ku..
Untuk menghuraikan…
Hanya Kau Maha mengetahui….
Titisan demi titisan….
Air mata bercurahan…mengenang dosa-dosa lalu
Mengharapkan pengampunan dari Mu
Tiada balasan yang setimpal untuk Haji Mabrur
Melainkan syurga Mu..itulah impian ku…
Tuhan …izinkan aku menjadi tetamu Mu
Di lain waktu…..

KATA PEMBUKA
Dalam mencoret catatan pengalaman sewaktu tempoh aku berada di Masy’aril Haram merupakan pengalaman yang dirasai oleh semua para haji yang berkunjung di sana. Bukanlah merupakan perkara baru tetapi apabila mula membicarakan tentang pengalaman itu, pasti hati ini melonjak untuk ke sana lagi. Itulah keberkatan bumi Masy’aril Haram.

Izinkan aku membandingkan pengalaman pertama pada tahun 1403H dan yang kedua ku ke sana pada 1428H. Perbezaan waktu dimakan usia hampir 25 tahun lamanya. Itulah rezeki yang Allah SWT berikan kepada ku setakat ini untuk menjejak kaki ke sana. Mengikut kiraan akal, kunjungan pertama kalau dihitung dalam usia yang muda kurang dosanya berbanding kunjungan kedua, namun ujian yang ku terima pada ketika itu mengikut pandangan mata arwah bapaku, mungkin tidak kesampaian untuk kembali ke Malaysia. Manakala kunjungan kedua, cuak serta takut tetap dirasai dengan iringan dosa dan kata-kata manusia, seolah-olah yang menjejak kaki ke sana semuanya akan mendapat bala mengikut perbuatannya. Buruk khabar dari adanya. Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT maha penyayang lagi maha pengampun. Allah tetap memuliakan tetamuNya selagi kita menjaga adab-adab sebagai tetamu Allah.


PENGALAMAN BERMULA
Sampai di bumi Madinah, ku lihat perkembangan yang pesat begitu ketara, bangunan hotel berbagai kategori bintang berada di sekeliling Masjid Nabawi. Susunatur dan perancangan bandar nampak bersistem. Jauh beza jika dibandingkan 25 tahun yang lalu, rumah-rumah usang dan kedai-kedai kayu dibawah bumbung sudah tiada lagi. Keadaan geografi yang rata sejak dulu menjadikan sifat dan sikap penduduk di Madinah jauh beza dengan penduduk di Makkah. Lebih peramah dan mesra. Terasa seperti berada di kampong halaman sahaja kerana bahasa berbicara adalah Bahasa Malaysia. Ungkapan termashyur`Malaysia Bagus’. Bagus sekali pun Malaysia, harga barang yang dijual tetap melambung dari hari ke hari.

Di Madinah selama 9 hari, Ziarah Maqam Rasulullah merupakan agenda pertama dan aku sentiasa berazam berada di saf di ruang Raudhah atau di saf hadapan. Tika itu terasa Rasulullah melihat dan bersama-sama berjemaah di setiap waktu. Aura Masjid Nabawi menimbulkan kesayuan apabila azan berkumandang dan dipengaruhi dengan adanya Maqam Rasulullah SAW begitu tersentuh. Sering aku merayau di kawasan dalaman masjid selepas maghrib dan waktu terluang yang ada untuk melihat sistem pendidikan disitu. Teringat bagaimana Rasulullah mementingkan pendidikan dengan memberikan syarat pembebasan kepada tawanan untuk mengajar anak-anak yang berada di bumi Madinah. Pendidikan di dalam Masjid Nabawi masih berterusan dan mungkinkah kaedah yang sama digunakan seperti di zaman Nabi. Terhibur melihat kanak-kanak seusia 4-6 tahun berlari di sekitar masjid tanpa takut ketika Ustaznya tiada di tempat dan tekun apabila solat mula didirikan. Setiap Isnin dan Khamis, kelihatan meriah di masjid sewaktu azan maghrib hampir berkumandang. Ramai yang membawa tamar dan minuman untuk disedekahkan sebagai hidangan berbuka puasa. Dari bicara seorang penduduk, sedikit sebanyak yang boleh difaham, di bulan Ramadan akan terasa lebih meriah di mana ramai orang kaya yang pemurah bersedekah untuk memberi makan kepada mereka-mereka yang berpuasa. Ziarah luar setakat melihat dari jauh seperti Jabal Thur, Jabal Uhud, masjid Quba’ dan fokus utama adalah Pasar Tamar. Sempat aku mengambil gambar-gambar sejarah untuk simpanan.

Setiap yang hidup pasti merasai mati. Kematian pada setiap waktu di Madinah seolah-olah bertali arus, terasa sangat giliranku makin hampir. Mungkin waktu zohor atau Asar yang berlalu. Apakah Maghrib akan disembahyangkan. Isya’ yang menunggu dan Subuh di Baqi’. Di satu Subuh, ku sempat bersama mengusung jenazah dari pintu keluar masuk Imam Masjid Nabawi, berlari-lari anak hingga ke liang lahat di perkuburan Baqi’. Tanpa mengira waktu, jenazah akan diuruskan secepat yang mungkin. Yang hidup berebut-rebut mengambil peluang untuk mengusung dan mendoakan jenazah.
Hari akhir di Madinah telah pun tiba, aku melakukan ziarah ke maqam Rasullullah pada jam 12.00 tengah malam untuk mengucapkan selamat tinggal. Di waktu itu agak kurang jemaah yang beriktikaf di masjid. Air mata bercurahan bukan mengada-ada tetapi bercurahan dengan sendiri tanpa dipaksa. Keesokannya bersiap dengan berpakaian ihram untuk balik ke Makkah.

Bertolak jam 3.00 petang dan sampai di hotel Dallah Barakah, Makkah jam 10.00 malam. Sepanjang perjalanan, aku tersenyum melihat gelagat pemandu bas. Tidak berubah sejak 25 tahun lalu iaitu meminta`baksis’ atau upah. Kalau tidak diberi, akan dilengah-lengahkan perjalanan. Mungkinkah pemandu ini adalah anak kepada pemandu sewaktu pertama kali perjalanan ku dari Madinah ke Makkah pada tahun 1403H dahulu. Sampai di hotel, aku dimaklumkan bahawa tawaf dan saie umrah akan dilakukan pada jam 7.00 pagi esoknya. Namun lonjakan hati ini untuk melihat Kaabah dihadapan mata menyebabkan aku mengambil keputusan melakukan tawaf dan saie pada malam itu juga. Masuk melalui pintu utama Bab Al Aziz, dengan perasaan bercampur baur seronok dan takut, aku menjengok sedikit demi sedikit ke arah Kaabah. Kerisauan terus melanda takut-takut Allah memilih aku dijadikan sebagai bukti untuk tidak dapat melihat Kaabah seperti cerita yang selalu ku dengari. Alhamdulillah, tersergam indah Kaabah di depan mata ku. Sedikit pun tidak lusuh di makan waktu seperti 25 tahun yang lalu bahkan sejak ianya dibina oleh Nabi Ibrahim. Air mata mula menjalankan fungsinya bercucuran tanpa disuruh. Walaupun bercucuran air mata ku, ia tetap akan kering berbanding telaga zam-zam yang tidak kering-kering sejak pertemuannya oleh Siti Hajar di hujung kaki Nabi Ismail selepas berlari-lari di antara Safa dan Marwah. Aku mulakan tawaf dan saie. Selesai semuanya hampir jam 1.30 pagi. Aktiviti harian di Makkah berjalan dengan lancar dan seronok sambil di selangi dengan aktiviti`Tawaf Kedai’ jika berpeluang sementara menunggu hari kemuncak iaitu wukuf di Arafah. Di Makkah, ramai juga jemaah yang meninggal. Sehingga satu ketika aku terserempak dengan jenazah yang ditinggalkan untuk dihantar ke perkuburan dengan kenderaan disebabkan terlalu banyak bilangannya. Kalau dilihat… hospital yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram agak kecil dan tidak canggih dari pandangan luar. Mungkin kematian di sini lebih mudah dan senang tanpa dirujuk kepada hospital tentang penyakitnya.

Dari segi pengurusan masjid, di dapati Masjid Nabawi lebih kemas. Pihak pengurusan dapat mengasingkan lokasi solat antara wanita dan lelaki melalui pintu masuk ke masjid tersebut. Pegawai-pegawai masjid sentiasa berjaga di pintu pagar masuk ke bahagian wanita bagi memastikan jemaah lelaki tidak memasuki kawasan larangan tersebut. Waktu ziarah maqam Rasulullah juga di tetapkan waktunya untuk kaum wanita. Sepanjang di Madinah, aku dapati semua jemaah dari seluruh dunia dapat mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pengurusan Masjid Nabawi mengenai pengasingan tempat dan waktu tetapi apabila sampai di Makkah, semuanya bercelaru dan peraturan sukar untuk diikuti termasuklah beberapa jemaah Malaysia yang terpengaruh dengan jemaah dari negara lain, sehingga menunaikan solat berjemaah dengan mendirikan saf bersebelahan di antara suami dan isteri.

Memang benarlah kata Ulamak, kerja haji ini perlukan kesabaran yang maksima. Inilah perbezaan menjadi tetamu Allah berbanding tetamu yang lain. Bukan setara jika dibandingkan nilai ringgit yang dikeluarkan bagi mengerjakan haji dengan balasan yang akan diberikan oleh Allah SWT. Namun semua yang dihadapi bergantung kepada rezeki masing-masing bagaimana mereka akan diuji tentang kesabarannya oleh Allah SWT. Alhamdullillah sepanjang wukuf, mabit di muzdalifah dan bermalam di mina, kemeriahan dan keriangan dalam mengerjakan aktiviti rukun dan wajib haji sungguh membuat diriku teruja.

Jika dibayangkan zaman nabi mengerjakan ibadah haji dengan menunggang unta berbulan-bulan lamanya, tiada hotel berhawa dingin, makanan tidak berhidang…tidak pula kita mendengar hadis atau riwayat yang menceritakan para sahabat mengeluh disebabkan kesusahan, kepayahan dan ketidakselesaan. Tetapi kini, rata-rata ramai jemaah haji yang merungut tidak berpuashati tentang apa yang telah disediakan oleh tuan rumah sedangkan apa yang disediakan amat jauh lebih senang berbanding zaman nabi. Adakah ini kelemahan tuan rumah atau kelemahan individu yang tidak bersedia dengan ujian yang diberikan oleh Allah SWT.

Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya. Doa selepas tawaf wida’, terselit ungkapan mengharap kepada Allah SWT agar mengizinkan diri ini menjadi tetamuNya di lain waktu. Kepiluan dan kesedihan meninggalkan Kaabah mengalahkan kesedihan sewaktu meninggalkan anak-anak ketika hendak berangkat ke sini. Aku dan isteri tidak berkata-kata sepanjang meninggalkan Kaabah menuju ke hotel. Masing-masing asyik melayani perasaan pilu dan hiba. Namun harapan tinggi menggunung agar Allah perkenankan doa kami untuk kembali menziarahi Nabi dan Baitullah.

Ringkasnya, perbandingan sewaktu 1403H dan 1428H ini sudah pasti amat ketara. Di kala muda, aku tidak dapat menghayati tentang kerja haji yang aku lakukan kerana lebih kepada ikut-ikutan sahaja berbanding dikala usia matang ini. Begitu juga aku melihat jemaah yang telah lanjut usia, batasan-batasan yang ada, kekadang menghalang mereka dari melaksanakan kerja haji yang akhirnya kurang penghayatan dapat dirasai. Oleh itu, izinkan aku di sini untuk menggalakkan pada keluarga ku dan keluarga Saujana Utama, untuk memasang niat bagi mengerjakan haji sewaktu tenaga masih ada. Semoga bumi Masy’aril Haram menjadi persaksian untuk kita di hadapan Rabbul Jalil. InsyaAllah.