Tuesday, December 29, 2009

TAFAQUH FIDDEEN - AKTIVITI MASJID SAUJANA, SAUJANA UTAMA

Penghujung tahun semakin melabuhkan tirainya. Sehingga penghujung 31hb Disember 2009, bermacam-macam jawatankuasa dan penganjur ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti untuk meraikan tahun baru 2010. Terpulanglah kepada penganjur untuk ummah ke aktiviti yang sihat atau pun tidak. Tempat pun yang disediakan hanya ada dua iaitu Syurga dan Neraka.

Alhamdulillah, aku dapat menghadiri buat kali pertama aktiviti ceramah yang dianjurkan oleh AJK baru Masjid Saujana, Saujana Utama. Malam tadi 29hb Dis 2009, program pertama di bawah Pakej Tafaquh Fiddeen ini dibuka dengan Forum Perdana. Bermula selepas solat maghrib dan berakhir pada 9.30 malam. Tajuk berkaitan dengan Maal Hijrah. Ahli Panel terdiri daripada Ust Ridzwan Nor (Penceramah Bebas) dan Ustaz Nor Hamzah manakala Moderatornya ialah Ust Taufik dari UIA. Program ini akan berterusan sehingga 3hb Jan 2010.
Penyampaian yang menarik. Kalau ikut kepada tajuknya, sudah bertahun-tahun aku mendengarnya. Perubahan pada diri aku slow juga. Kekadang rasa malu dengan Allah. Banyak rezeki yang diberikan tapi masih lagi liat nak buat kerja-kerja untuk memertabatkan agama.

Sedikit bicara Tafaquh Fiddeen yang dapat di simpan dalam ingatan ku. Diantaranya, Kenapa orang kafir marah Nabi berhijrah walaupun pada masa yang sama Nabi di tindas di bumi Makkah. Kalau nak difikirkan, jika nabi sekadar nak mengerjakan amal-amal ibadah dalam islam, seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji. Maka di bumi Makkah pahalanya berlipat kali ganda berbanding dengan Madinah. Semuanya boleh dibuat di Makkah dan tidak perlu kepada penghijrahan.
Tetapi penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi yang paling utama adalah ianya merupakan perintah Allah S.W.T di mana ayat Al-Quran yang bermaksud: Mereka (manusia) itu merancang dan Allah juga merancang, maka perancangan Allah adalah sebaik-baik rancangan. Yang Kedua penghijrahan itu adalah bertujuan bukan sekadar berpindah tempat untuk mengamalkan ibadah tetapi lebih kepada memertabatkan agama Islam. Yang Ketiga, Untuk melaksanakan hijrah ini, ianya tidak terlepas dari niat yang betul dan pengorbanan (jihad). Yang Keempat, penghijrahan ini adalah merupakan strategi Nabi untuk menjadikan Madinah sebagai Pangkalan Kuasa dan Perkembangan Agama Islam. Ini kerana penduduk Madinah menerima Islam dan dari situ Nabi memulakan penghantaran utusan ke merata tempat untuk menyebarkan Agama Islam.

Setiap yang dilakukan mesti mempunyai halangan. Di antara halangan yang disebutkan oleh Ustaz ialah yang pertama Nafsu, Yang kedua Kejahilan dan yang Ketiga.....(Lupa), Inilah masalah aku yang tak bawak buku nota. Perasan boleh ingat semua.

Walaubagaimanapun, tak semua, dapat sikit dan catatkan dalam blog aku ini pun dah cukup baik buat diri ini. Mudah-mudahan anak-anak aku dapat menafaatkan blog aku ini.
Buat anak-anakku, Jadilah seperti disebutkan oleh Ustaz, Jadikanlah diri kita ini orang mencari (belajar) ilmu, jika tidak belajar jadi lah orang yang mendengar ilmu (ceramah), jika tidak jadilah orang yang sayang kepada orang yang suka kepada ilmu dan JANGANLAH JADIKAN diri kita dalam golongan yang tidak suka kepada semua di atas.


Friday, December 25, 2009

Warkah untuk anakku Aiman (Along)

Salam sayang dari ayahmu.

Along...... warkah ini ayah tujukan khas kepada Along dengan harapan menjadi sumber inspirasi untuk Along menghadapi peperiksaan SPM pada tahun 2010 dan meneruskan kehidupan Along.

Along...... Perpisahan atau kematian antara kita tidak seorang pun tahu. Walaupun kita semua yakin akan perpisahan atau kematian itu pasti datang tetapi kita tetap tidak menjangkakan jika ianya berlaku. Kita sama-sama pernah mendengar kuliah maghrib Ust Hishamuddin di SurauAl-Hidayah tentang kematian dan berbagai cara nyawa di cabut. Oleh itu ketidakpastian bilakah kita akan berpisah membuatkan ayah mengambil kesempatan ini untuk mengirimkan warkah ini khusus untuk Along dan mungkin ia adalah warkah terakhir buat kita.

Along....... tahun 2010 adalah merupakan tahun terakhir Along berada dialam persekolahan menengah. Ianya menentukan perjalanan seterusnya ke mana sebenarnya yang hendak dituju. Pilihlah jalan seperti yang disampaikan oleh Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W kerana jalan itu jugalah yang akan diperakui oleh Allah S.W.T. Gunakanlah sebaik mungkin masa yang Allah berikan kepada Along untuk mengorak langkah bagi mencapai kejayaan dalam akedemik dan juga keperibadian diri. Kita telah diuji dengan keputusan PMR terdahulu dan mungkin tersemat di dalam hati Along suatu hari nanti Along akan menggantikan keputusan yang baik untuk Along dan juga keluarga dan hari yang nanti kan itu semakin hari semakin hampir iaitu SPM.

Along..... dalam surah Luqman,ayat 13 – 19, Allah S.W.T mencatitkan nasihat Luqman (seorang manusia biasa seperti kita) kepada anaknya. Ini menunjukkan bahawa nasihat Luqman itu di perakui oleh Allah S.W.T sebagai nasihat yang baik dan boleh membentuk peribadi anaknya. Sehinggakan nasihat itu di catitkan di dalam Al-Quran yang suci lagi mulia. Oleh itu, sebagai seorang ayah, maka naluri untuk melihat anak ayah menjadi seperti anak Luqman yang diceritakan dalam Al-Quran tetap ada dalam sanubari ayah.

Ayat Al-Quran bermaksud:

13]
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
[14]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
[15]
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
[16]
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
[17]
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
[18]
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[19]
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Sekadar tujuh ayat sebagai panduan kepada anaknya. Nasihat di atas adalah nasihat yang asas sebagaimana kebanyakan ayah di dunia ini menasihatkan anaknya. Jadi individu yang perlu memainkan peranan yang penting samada nasihat ini diterima dan dilaksanakan adalah seorang anak. Apa yang perlu kita lakukan ialah sentiasa perlu berfikir tentang apa yang Allah S.W.T sampaikan kepada hambaNya melalui Al-Quran.

Along..... ambillah kesempatan maksud ayat Al-Quran itu untuk Along cernakan dalam diri Along. Walaupun pada mulanya ia mungkin berat untuk dilakukan tetapi ayah yakin jika kita ingin berjaya dengan erti kejayaan yang sebenar iaitu kejayaan yang diredhoi oleh Allah, maka kita dapat melawan semua halangan yang datang.

Along.... sememangnya Along adalah waris yang terhampir dengan ibu dan ayah, kerana Along anak yang tua dalam barisan anak-anak ayah yang lain iaitu Angah, Afiq, Nurul dan adik A’ie. Setiap tindak tanduk akan menjadi ikutan buat mereka. Baik awalnya maka yang hujung mengikut begitulah sebaliknya. Namun ayah yakin bahawa Along seorang abang yang bertanggungjawab kepada adik-adik dan apatah lagi kepada ibu dan ayah. Ayah masih ingat lagi suatu ketika bila ibu bercerita betapa risaunya Along menunggu kepulangan ayah dari kerja dalam keadaan hari hujan yang amat lebat sehingga Along mengambil tindakan dengan mendirikan solat dan berdoa kepada Allah S.W.T tentang keselamatan ayah. Waktu itu Along hanya berumur 13 tahun sahaja. Ayah begitu bangga dengan Along bila ibu berceritakan kepada ayah. Dan samada Along sedar atau pun tidak sebenarnya Allah S.W.T telah memakbulkan doa Along. Maka jangan berhenti berdoa kepada Allah S.W.T. kerana Allah sentiasa mendengar doa kita.

Along.... dalam usia 17 tahun ini, semua ramaja di dunia beranggapan mereka telah matang dan boleh berfikir. Namun jiwa seorang remaja kekadang menyebabkan ramai remaja terpesong dari jalan yang disampaikan oleh Nabi kita. Kerana apa berlaku sedemikian, kerana mereka tidak berfikir secara rasional dan panjang. Ayah juga pernah melalui zaman remaja. Ayah juga dapat rasakan kepayahan untuk meletakkan diri kita pada garisan yang lurus sedangkan pada masa yang sama rakan-rakan sebaya mengharapkan kita juga. Maka pada ketika itulah kita memerlukan Allah dan Rasul untuk kita membuat keputusan. Harapan ayah agar setiap keputusan Along adalah mengikut kehendak Allah dan Nabi.

Along.....akhir sekali Ayah harap Along sentiasa sematkan di dalam hati Along bahawa perubahan dan kejayaan seseorang adalah bergantung kepada dirinya sendiri. Ayah dan Ibu hanya dapat menjadi sokongan terhadap setiap keputusan dan tindakan Along. Berdoalah sentiasa kepada Allah agar dipeliharakan diri Along sentiasa berada di garisan yang diredhoi oleh Allah dan Ibu serta Ayah. Ayah dan Ibu sentiasa mendoakaan kejayaan Along pada tahun ini dan juga hari-hari seterusnya. Semoga Along dapat melawan kelemahan yang ada demi masa depan Along.

Salam sayang: Ayah dan Ibu.

Wednesday, December 9, 2009

ANTARA AZAM DAN HISAB

Dalam kita semua menempuhi tahun-tahun mendatang, lebih-lebih lagi pada penghujung tahun pastinya sibuk dimerata media membicarakan tentang azam. Pada tahun 2009, itulah persoalannya iaitu apakah azam anda? adakah azam anda telah tercapai dan apakah azam baru anda?.
Maka berbondong-bondonglah azam rekaan sesingkat 5 minit sekadar untuk dijadikan bahan bicara. Maka riuh rendahlah corong-corong radio, television dan suratkhabar mengiakan dan membicarakan azam tersebut walaupun pada hakikatnya tak siapa pun yang tahu sebenarnya apakah azam yang diceritakan itu benar-benar azam yang tercatit seawal tahun yang lalu.
Bagi tahun 2008, ianya telah menjadi kenangan (past), tahun 2009 (present) adalah hadiah yang kita terima hasil dari usaha kita dan 2010 seterusnya (future) adalah perkara yang tidak tentu dan hanya kepada Allah kita kembalikan bagi mengharapkan yang baik buat kita sehinggalah kita bertemu denganNya.
Bagi sebuah negara azam mereka mungkin diluahkan melalui `budget' yang dibentangkan setiap tahun. Berdasarkan kepada budget, kawalan dan pemantauan dibuat bagi memastikan pendapatan dan perbelanjaan tidak tersasar dari apa yang telah `dibudgetkan' agar azam yang dirancangkan akan mencapai sasarannya iaitu `Rakyat didahulukan pencapaian di utamakan'. Begitu juga dengan organisasi perniagaan yang berorientasikan keuntungan, maka setiap tahun Perancangan Perniagaan (Business Plan) turut dibentangkan kepada Lembaga Pengarah untuk membuat jangkaan sasaran syarikat berdasarkan kepada azam yang dirancangkan. Akhirnya kepada ruang lingkup yang lebih kecil iaitu individu, mereka juga mempunyai azam yang tersendiri dan azam itu sentiasa berubah dari hari ke sehari berdasarkan kepada keperluan mereka, sebenarnya.
Namun dalam kita membicarakan tentang azam, kita hanya mencorakkan ke mana hala tuju kita dalam mencapai azam kita. Jarang kita meletakkan konsep yang diajarkan oleh Islam iaitu "Matlamat tidak menghalalkan cara". Habis-habis pun bila ada yang membangkitkan tentang hukum fekah tersebut, maka mereka akan dipinggirkan dan dicop sebagai mereka yang tidak berdaya maju dan kehadapan. Dengan alasan "ini adalah dunia perniagaan dengan tambahan", "jika nak bicara tentang hukum duduk di surau dan masjid le". Mereka terlupa nyawa dan tempoh yang singkat ini merupakan perniagaan bagi kita. Dan Untung ruginya, kita selaku pengurusnya akan menerima habuan dari Pemegang Saham kita iaitu Allah S.W.T. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang Allah telah menawarkan perniagaanNya kepada kita dan kita sering Alpa dengan tawaran tersebut sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir.
Dalam mengaitkan antara azam dan hisab ini, di antara hadis yang sering memperingatkan kita ialah Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Sentiasanya ada motto ini dalam segala tindakan kita maka hala tuju kita untuk mencapai azam kita dapat di kawal dengan lebih sempurna dan selamat. Keberkatan, halal merupakan ciri utama dalam mencapai azam yang telah dirancang. Biar pun sedikit yang kita capai tetapi berkualiti adalah lebih baik berbanding jika banyak tetapi tidak dilorong dengan cara yang dibenarkan. Semuga azam yang kita rekakan itu adalah merupakan rekaan yang datang dari Allah S.W.T dan bukan dari ilham makhluk yang mendapat laknat dari ALLAH S.W.T. Selamat berazam dan menempuhi tahun baru dan menyambut Maal Hijrah.

Tuesday, December 1, 2009

TERBANG KE LONDON (21HB - 27HB NOV 2009)

Aku mengenali Kota London bila mana sewaktu zaman kanak-kanak ku. Itu pun jiran mengajak untuk bermain MONOPOLI. Permainan itu mengajar untuk kita membuat pelaburan di sesuatu lokasi yang terletak di Kota London seperti Mayfair, Oxford Street, Trafalgar Square dan lain-lain lagi. Sekadar bermain namun tidak pernah terlintas untuk ke sana. Ini kerana sepanjang pengetahuan aku semasa kecil, hanya mereka yang mempunyai kelebihan kepandaian akademik saja yang dapat menjejak kaki ke sana.

Itulah hakikat bahawa pemikiran manusia tidak dapat mengatasi kehendak PenciptaNya. Siapa sangka aku yang seadanya tetiba digerakkan oleh Allah S.W.T untuk pergi kesana bagi melihat kehebatan manusia di sana. Perancangan yang tidak dijangka, kawanku seperti biasa Chan ingin ke sana dengan tujuan untuk membawa anaknya melihat jalan-jalan sekitar kota London. Ini disebabkan tahun hadapan dia bercadang untuk menghantar anaknya melanjutkan pelajaran dalam bidang Mechanical Engineering. Sebenarmya dia memang hendak mengajak aku tapi takut-takut mengganggu waktu pekerjaanku. Namun bila aku memberi respon untuk ikut serta, terus dia bersetuju.

Aku mula mengambil tugas iaitu membeli tiket secara online melalui Air Asia.com. Katanya murah dan itulah sebabnya di antara dia memberitahu aku peluang untuk pergi ke London. Di samping itu, memandangkan perjalanan ke London hanya aku, Chan dan anaknya, beliau mencadangkan agar perjalanan itu lebih kepada yang ringkas dan bukan bermewah-mewahan. Jadi dia mencadangkan agar penginapan di London menggunakan Malaysia Hall London. Selain murah, makanan yang pastinya halal disamping masakan Malaysia. Dia betul-betul ambil berat tentang makanan yang aku boleh makan. Maklumlah tempat negara yang bukan Islam.

Sampai hari yang dirancangkan, aku bertolak kerumahnya. Waktu penerbangan ialah pada jam 3.40 petang dan kami sampai di Terminal LCCT Sepang jam 1.05 tengahari dengan menaiki bas. Sementara dia menukar wang GBP, aku pergi menunaikan solat zohor dan asar secara jamak.Selesai solat dan makan McD, kami masuk untuk mendapatkan tiket dan terus ke ruang menunggu. Tepat pada waktunya kapalterbang Air Asia X berlepas dan perjalanan mengambil masa selama 12 jam dengan menaiki Air Bus. Sepanjang dalam kapalterbang cukup membosankan.
Sampai di Lapangan Terbang Stansted, London jam 10.10 malam waktu England. Kelam Kabut Chan membeli tiket keretapi ke Kota London untuk mendaftar masuk ke Malaysia Hall. Walaupun aku telah memaklumkan kepaa pengurusan Malaysia Hall yang kami agak lewat sampai namun tiada maklumbalas dari pihak mereka. Dengan menaiki keretapi kesana dengan mengambilkira sesat di waktu malam, kami sampai jam 1.35 pagi di Malaysia Hall dan malangnya kami tidak dibenarkan masuk kerana waktu pendaftaran adalah pada jam 2.00 petang hingga jam 8.00 malam. Kami boleh menerima alasan tersebut tetapi cara petugas bercakap menyebabkan kami kurang selesa. Aku mula terfikir bahawa walaupun rakyat Malaysia yang bertugas di sana, budaya mereka telah terikut-ikut cara rakyat England. Selepas berbincang bertiga, pada awalnya kami bercadang berjalan-jalan di sekitar Bayswater sementara menunggu pagi, namun cuaca yang terlalu sejuk akhirnya kami menyewa satu bilik di Byron Hotel dengan kadar 50 pound dari jam 3.00 pagi hingga 7.00 pagi. Keesokan paginya kami minum di kantin Malaysia Hall dan bertemu dengan sepasang suami isteri. Beliau mengajak kami untuk ikut serta ke Wembley. Kami setuju untuk ikut serta Abang Mohd Azmi dan Kak Khadijah. Agak membosankan sesampai di sana, kami meminta izin untuk kembali lebih awal ke Kota London dengan alasan yang diberikan oleh Chan untuk membawa aku melihat persekitaran Kota London. Akhirnya sampai ke malam baru balik ke Malaysia Hall.

Di antara tempat yang dilawati ialah Madame Tussauds di mana tempat patung-patung pelakon ternama diukir. London Bridge dan semestinya gedung-gedung jualan. Penat bukan main sampai sakit kai dibuatnya.
Pada 23hb Nov 2009, bermula bertolak ke Cardiff untuk melawat pembekal alatganti Land Rover iaitu Bearmach. Sampai di sana jam 10 pagi. Perbincangan terus dibuat dan lawatan gudang simpanan alatganti. Pengurus Jualan Bearmach adalah seorang berbangsa Morocco bernama Muhammad Karbass. Yang pastinya walaupun dia beragama Islam, namun ianya hanya tinggal nama dan pengakuan secara lisan sahaja. Selesai perbincangan kami dihantar ke hotel IBIS di pekan Cardiff. Selepas pendaftaran masuk, kami terus berjalan di sekitar pekan. Pada pandangan aku, Cardiff adalah satu tempat yang tenang dan selesa untuk ditinggal.

Sehari di Cardiff, keesokan harinya pada 24hb Nov 2009, kami bertolak ke Craven Arms pula untuk lawatan kedua iaitu Britpart. Kawasan ini lebih ke dalam dan seolah-olah kawasan kampung. Suasana tenang dan lebih tenang dari Cardiff. Tidak ada gedung jualan. Malam tersebut, kami dapat melelapkan mata lebih awal kerana tidak ada aktiviti yang boleh dibuat. Di sini kami tinggal di Hotel Travelodge.

Seterusnya pada 25hb Nov 2009, bertolak pula ke Shrewsbury Didcot untuk satu lagi lawatan iaitu ke AllMakes 4 x 4 dan berakhir di Wolverhampton, Birmingham untuk melawat kedai second hand Land Rover dan balik ke London pada hari yang sama.

Pada 26hb Nov mula mencari cenderahati untuk isteri dan anak-anak. Kami ke Arsenal dahulu sebab Jian Han nak beli Jersey. Pergh satu jersey ajedekat RM400. Sebelum tu dia belia kasut adidas berharga RM500. Aku tak boleh ikut rentak mereka. Dapat datang ke London pun dah pun dikira hebat. Ibu mertua pulak tetiba nakkan batu untuk dibuat cincin. Mana nak cari kat London ni. Kalau kat Makkah boleh le. Beli cenderahati aje dah dekat Rm 600, terperanjat juga le. Tapi le bila tentu datang lagi ke London ni. Berjalan sampai ke malam. Letih betul.

Hari terakhir iaitu 27hb Nov 2009, selepas sarapan pagi kami mula berjalan lagi. Chan tak jemu membawa aku melawat ke merata tempat yang dia tahu. Selain Hard Rock Cafe London tenpat terakhir ialah Trafalgar Square. Kalau kat Malaysia macam Dataran Merdeka. Selesai berjalan, baru kami tergesa-gesa balik ke Malaysia Hall mengambil beg dan terus ke Stansted Airport untuk berlepas pulang ke Malaysia. Namun kalau orang bertanya nak gi lagi tak, aku akan jawab kalau di beri pilihan aku akan ke Makkah.