Sunday, August 29, 2010

OMRA OH OMRA – 29HB JULAI – 7HB OGOS 2010

Omra oh Omra, begitulah kata hatiku ini. Dulu sebelum 23hb Jun, ada kawan ajak pergi buat umrah dan seterusnya melawat Syria dan Istanbul. Melompat jugak bila diajak walaupun baru pergi pada bulan Mac hari tu tapi disebabkan ada kerja yang belum selesai terpaksa aku batalkan hasrat untuk ikut kawan ku. Tetibanya aje dia hantar gambar menanti subuh di Makkah, adus terasa rindunya dengan suasana Kaabah di Masjidil Haram. Takpe le kata hatiku, InsyaAllah adalah rezeki tu nanti. Tapi kalau diikut-ikutkan, berapa banyak pun kita pergi buat umrah, aktivitinya sama tetapi pengalaman pasti berbeza-beza. Kerinduan pasti menyebabkan kita meronta-ronta untuk berusaha pergi ke sana.

Begitulah, bila hati ni asyik teringat aje nak ke sana, ada aje yang tukang mengajak. Tuan Zainal Rawi tetiba ngajak aku. Alasan dia, dia tak kenal dengan `ground handler’ di Makkah dan meminta aku perkenalkan dengannya. Apa lagi terus kata boleh, ingatkan dia memain rupanya betul. Selesaikan kerja yang tak seberapa tu, aku pun bersiap untuk ke sana. Pihak KOP Travel & Tours Sdn Bhd minta gambar dua (2) keping dan buku perubatan serta passport. Alamak aku punya suntikan dah tamat tempoh, hmmm tawakkal aje le. Aku bagi dan terus tidak dibangkitkan oleh pihak Travel. Aku tidak tahu siapa yang turut serta dalam kumpulan jemaah kali ini yang mengikuti KOP Travel & Tours Sdn Bhd. Namun dimaklumkan keluarga di kalangan Pegawai Polis PDRM.

Sampai waktunya Isteriku, Adik Aie dan Gjoy (adik ipar) menghantar ku ke KLIA. Tanya lokasi Tuan Zainal, masih lagi belum sampai. Hmmm sudah potong 5 markah sebagai petugas. Aku tengok jemaah telah tiba terlebih dulu walaupun kakaitangan KOP Travel & Tours Sdn Bhd yang lain telah muncul. Aku terus ke tempat Jemaah dan kakitangan berkumpul dan memaklumkan jumlah beg dan bungkusan yang aku bawa untuk ditagkan dengan pengenalan KOP Travel. Kelihatan Ketua Polis Selangor YDH Dato’ Khalid bin Abu Bakar turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada pegawainya. Bagus kata hatiku. Sempat bergambar bersama Dato’ dan juga pegawainya bagi tujuan sebagai kenangan. Aku di minta untuk berada di KLIA selewat-lewatnya 4 jam. Apa nak buat. Hmmm berlegar-legar le aku di KLIA, Sempat tukar duit lagi, macam nak pergi sebulan. Rasa macam tak cukup aje duit yang dibawa. Dapat panggilan telefon dari Tuan Zainal, berkumpul di depan ATM Maybank jam 2.00 petang sebelum masuk ke tempat menunggu.. Sampai waktu yang telah ditentukan, aku melihat semua jemaah berkumpul dan jumlah termasuk aku hanyalah seramai 10 orang. Tak le ramai. Senang di kendalikan InsyaAllah. Selepas sedikit taklimat, kami pun beredar dengan menaiki pengangkutan yang membawa kami ke ruang menunggu. Di situ aku bertemu dengan Dato’ Ismail bin Ibrahim, mantan Pengarah IKIM. Sentiasa lembut pertuturannya dan jelas setiap apa yang dikeluarkan dari mulutnya. Rupanya dia dapat jemputan dari Rabitah Makkah (satu badan NGO la agaknya) untuk beliau membuat pembentangan di Makkah, Jeddah dan Madinah). Aku pun ambil kesempatan bergambar dengannya sebagai kenangan.

Jam menunjukkan 2.30 petang, dan pengumunan oleh kakitangan MAS untuk penumpang memasuki ke dalam kapal telah dibuat. Aku merupakan kumpulan pertama di arahkan masuk. Dalam kapalterbang aku duduk bersebalahan dengan Tuan Zainal, ok le boleh le berborak-borak. Mengambil perhatian kami seorang pramugari yang cukup aktif dan kami rasa dia memang benar-benar sukakan kerjayanya. Tak henti-henti melayan penumpang sejak dari kapalterbang naik sampai le kapalterbang mendarat dan dia juga memastikan tandas sentiasa berada di dalam keadaan bersih. Kalau aku lah hmmm memang tak sempat nak tengok tandas, banyak kerja akan ku beri alasan walaupun pergerakan hanya di dalam kapalterbang aje. Aku tidak tahu kenapa pramugari tu mesara dengan kami samada aku yang hengsem, heee….heeee atau tengok aku seolah-olah menemankan seorang ayah (Tuan Zainal yang dah beruban – jangan marah ek) dan terharu dengan sikap ku agaknya (jejaka perasan), di akhir penerbangan sebelum mendarat di lapangan terbang Jeddah, kami diberikan sebungkus plastik kacang seorang. Sempat mengambil gambar dia sebagai bukti dan jika MAS meminta kami mencalonkan pekerja terbaik, aku pasti aku dan Tuan Zainal tidak teragak-agak untuk mencalonkan dia. Semoga dia berjaya dengan kerjayanya itu.

Sampai di dalam kawasan Imegresen Jeddah, kali pertama aku membeli sim kad Saudi untuk berhubung dengan cinta hatiku di Malaysia. Beli SR 80 dapat credit SR70. Ok le tu. Terus SMS pada cinta hatiku yang aku telah selamat mendarat di Jeddah. Sementara menunggu giliran aku untuk disemak passport oleh pihak Imegresen, aku menghubungi Hj Nasir dan beliau telah berada diluar. Selesai pengumpulan bag jemaah kami pun keluar secara berkumpulan dan bertemu dengan Hj Nasir. Dari segi layanan, aku masih letakkan Hj Nasir sebagai orang yang pandai menjaga hati jemaah. Memperkenalkan jemaah dengan Hj Nasir, sementara menunggu passport, Hj Nasir membelikan kami roti untuk mengalas perut sementara perjalanan ke Madinah di teruskan. Di samping itu kami bercadang untuk solat Jamak di Lapangan Terbang Jeddah tidak kesampaian kerana tandas tidak mempunyai air. Kali pertama juga aku menghadapi suasana ini. Itu yang aku katakan pada awal, pengalaman berbeza-beza yang akan kita tempuhi setiap kali kita mengerjakan umrah atau pun haji.

Selesai semuanya, kami pun bergerak dengan menaiki van yang boleh mengisi jemaah kami. Aku duduk dibahagian tengah antara pemandu dan penumpang sebelah yang tidak mempunyai tempat sandar menyebabkan aku terhoyong hayang disebabkan mengantuk. Di awal perjalanan, kami mengingatkan Mutawif kami iaitu Ust Khotib, bahawa kami belum solat Mahgrib dan Isyak. Dan aku yakin pemandu van adalah merupakan orang tempatan yang tahu selok belok perjalanan di antara Madinah dan Mekkah berbanding sebelum ini yang aku ikuti Travel lain. Kami berhenti di satu tempat yang biasa menjadi persinggahan sementara sewaktu aku mengerjakan haji dan umrah. Solat maghrib dan Isyak berjemaah. Aku di amanahkan untuk mengimamkan solat Jamak tersebut. Sedang kami mendirikan solat tersebut, tetiba dua orang Pak Arab berdiri disebelah aku. Eh dia ni nak jadi imam ke tapi bila aku ruku’, dia turuti perbuatanku. Pelik betul Pak Arab ni. Mazhab mana le agaknya makmum boleh berdiri sebaris dengan imam. Bila selesai, aku toleh ke belakang ramai makmum dari keturunan Arab yang masbuk bersama kami. Selesai jemaah membeli keperluan asas sepeti air mineral kami pun teruskan perjalanan. Mengambil masa lebih kurang 5 jam, kami pun sampai ke Hotel Wasal Arleem. Hotelnya kira Ok le tapi tidak sama dengan pakej sebelum ini yang aku ikuti lebih besar dan selesa. Takpe le itu rezeki yang diberikan kepada kami.

Aktiviti biasa di Madinah ziarah makam Rasulullah S.A.W, ziarah luar ke Bukit Uhud. Di sini aku kurang pasti, sebelum ini lawatan ku ke kubur Saidina Hamzah tidak ada apa yang menarik buat ku, tetapi disatu cermin yang pecah aku memasukkan hidung ku, sungguh harum bauan yang ku hidu. Pada mulanya aku sangkakan ada orang yang menyapukan minyak wangi ke cermin di kawasan itu tetapi aku hidu setiap cermin tidak pulak berbau, bila aku ke ruang satu lagi cermin yang pecah dan ku ulangi untuk menghidu, bauan yang sama yang dapat ku hidu. Ku tanya diriku lagi jika di dalam kawasan kuburan itu di simbah minyak wangi sudah tentu bau wangian itu akan semerbak hingga keluar kawasan tetapi ia hanya berbau wangi bila ku hidu di kawasan cermin yang pecah. Hmmm. Menarik pengalamanku kali ini. Kata hatiku. Masjid Quba’ dan pasar tamar tempat yang routin bila semua jemaah buat umrah dan haji. Solat di Raudhah perlu banyak kesabaran dan waktu yang tepat. Aku terpaksa bangun jam 1.30 malam untuk dapat ruang menunaikan solat sunat di ruang raudhah kerana kebiasaannya waktu itu tidak ramai orang yang berada di dalam kawasan masjid dan raudhah. Minatku terhadap Imam Masjid Nabawi yang sedap sungguh bacaannya dan konsisten tetap menjadi buruanku. Shiekh Salah Al Bidr, aku cuba bersalam dengannya namun dihalang oleh polis pengiring. Hampa sekejap. Namun bila dah dikatakan rezeki untuk bersalam dengannya telah ditentukan oleh Allah, maka tidak semena-mena selepas subuh itu dia terus pulang kerumah. Maka sewaktu perjalanannya ke tempat letak kereta, aku dapat bersalam dengannya dan mengambil gambarnya walaupun polis tadi yang menghalangku memberi amaran. Puas rasanya. Selepas pulang berehat di Hotel, mula berkumpul untuk ziarah luar seperti yang aku katakan awal tadi. Separuh jalan, dapat panggilan mengatakan akan bertolak ke Makkah petang ini. Terkejut aku dibuatnya. Apa ni. Potong 20 markah, kata hatiku. Alasan yang diberikan oleh pihak Rimbun amatlah tidak munasabah. Macam ada yang tak kena. Tergesa-gesa jemaah bersiap. Janji lepas zohor bertolak, namun hampir 2.30 petang akhirnya bergerak di sebabkan usaha Hj Nasir untuk dapatkan kenderaan tambahan.

Seperti yang aku katakan pemandu kali ini memang merupakan orang tempatan dan tahu selok-belok perjalanan. Sampai ke Miqat iaitu di Masjid Bir-Ali begitu cepat sekali. Selesai solat sunat dan berniat kami pun bergerak. Sekejap-sekejap aku terlena. Terjaga semula dan terlena kembali. Tetiba, kelihatan banyak kenderaan berhenti di tepi jalan. Eh apa hal lak ni, kata hati ku. Rupa-rupanya sekumpulan Baboon berkeliaran di satu kawasan menunggu pengguna lebuhraya memberikan makanan. Eh , sejak tahun 1981, 2007, 2009 dan 2010 tidak pernah aku dengar ada baboon di kawasan ini. Macam mana pulak kali ada dan dari mana dia datang?. Satu lagi pengalaman baru. Pelik juga rasanya. Sempat juga le aku mengambil gambar sebagai bahan bukti. Berhenti seketika kemudian, kami teruskan perjalanan. Melepasi waktu maghrib, kami pun sampai di Hotel Ukhuwah. Haji Nasir sedia menunggu. Beg kami masih belum tiba. Namun makan telah terhidang dan apa lagi, kami pun menikmati hidangan yang disediakan. Sungguh menyelerakan. Jam sepuluh setelah semua jemaah bersedia, kami pun di bawa untuk menunaikan umrah pertama. Selesai hampir jam 12 malam dan pulang ke Hotel mandi dan kembali semula ke masjid untuk tunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak yang belum kami dirikan.

Selesai waktu subuh, aku pun ambil kesempatan untuk berehat. Telah menjadi perhatian oleh jemaah sebilik dengan aku, Mereka mengatakan bahawa nikmat mudah tidur memang dimiliki oleh aku. Memang benar. Letak aje kepala, dah tak sedar apa pun. Aktiviti harian di Makkah seperti biasa yang pernah aku lalui. Aku buat perancangan untuk menziarahi kubur arwah kakak ku di Sarayek, namun seperti yang telah sedia maklum, tidak ada tanda di kubur yang dapat menentukan di mana kuburnya. Sekurang-kurangnya aku mendoakan untuk dia. Semoga dia tenang bersemadi di sana. Kenalan di Makkah Hj Dolah, mengajak kami datang ke rumahnya dan di hidangkan kami dengan hidangan yang sungguh menyelerakan iaitu Nasi Arab. First class punya sehingga di maklumkan isteri Tuan Ismadi sempat mendapatkan resepi untuk membuat nasi tersebut.

Berjumpa aku denganrakan Facebook iaitu Hj Arshad, Pengurus Hotel Al-Manazel di Ajyad. Seronok berjumpa dan berkenalan dengannya. Sewaktu aku ziarahi hotelnya, dia sedang meraikan pelajar-pelajar Mesir yang datang bercuti ke Makkah. Layanannya sungguh mesra dan pada satu hari, dia menjemput makan di hotelnya sempena mengakikahkan cucunya. Sedap makanan yang dimasak. Tapi disebabkan pantang terpaksa le makan sikit aje. Di situ juga aku bertemu dengan bekas kakitangan KPD iaitu Abang Shahrul. Allah maha kuasa kat situ pulak diketemukan. Sehingga aku hendak pulang ke Malaysia, Hj Arshad membekalkan buah tangan untuk dibawa pulang. Seronok aku berkenalan dengannya.

Umrah ke tiga, ke Hudaibiyah. Seperti biasa, namun suasana agak lengang. Hanya kami sahaja jemaah yang ada pada ketika itu. Sempat ke ladang unta untuk melihat Kenyut, Kenyit dan kunyit (unta-unta yang diberi nama oleh aku). Minum susu unta, Aku mula lalu untuk meminumnya masa umrah bulan Mac lalu dan ku ulangi kali ini. Sampai semula di Hotel waktu maghrib telah pun berkumandang. Kami bersetuju untuk solat berjemaah dan sekali lagi aku diminta menjadi imam di Masjidil Haram. Heee…Heee dah sama taraf dengan Imam Sheikh Abdul Rahman As-Sudais. Tapi makmum aku hanya 9 orang aje le. Selesai solat kami pun bergerak secara berasingan untuk memulakan kerja-kerja tawaf dan saie. Aku memuji Tuan Ismadi dan Isteri melayani kedua ibubapanya. Bukan senang ini kekadang ujian Allah terhadap anak memang tidak boleh diambil ringan namun kasih sayang mereka terhadap kedua ibu bapanya memang terserlah. Aku cukup terharu bila berkaitan dengan hal-hal sedemikian.

Kali ini juga, aku dapat menunaikan solat zohor di Masjid yang diberi gelaran sebagai Masjid Kuching. Ini disebabkan selesai tawaf wida’ aku kena meninggalkan Masjidil Haram dengan hati yang sayu untuk berangkat kembali pulang ke Malaysia. Semua proses pengangkutan dan kemasukan barang ke dalam kapalterbang diuruskan oleh Ustaz Khotib. Memang bertanggungjawab Ustaz Khotib dalam amanah yang diberikan kepadanya oleh Hj Nasir.

Begitulah kesahnya bila mengingatkan kembali pengalaman kali ini bila mengerjakan umrah. Peristiwa yang menitiskan airmata tanpa diduga ialah apabila Allah beri peluang kepada ku untuk mengucup Hajarul Aswad. Namun dari berbagai cerita, saat yang paling manis apabila kita sudah berada berhadapan dengan Hajarul Aswad, kita akan rasa ketenangan dan seolah-olah waktu itu tidak ada sesiapa yang menganggu kita untuk mengucupnya. Moga Allah perkenankan untuk aku datang kembali ke bumi yang penuh barakah ini.