Thursday, July 8, 2010

Jika isteri menangis dihadapanmu, "Hargailah ia sebelum terlewat."

(NUKLAN INI DISEDUT DARI SEORANG YANG MENGHANTAR MELALUI EMAIL, PEMILIK BLOG INI TIDAK BERTANGGUNJAWAB DENGAN LUAHAN TERSEBUT)

NAMUN, AIR MATA YANG AMAT BERNILAI OLEH SESEORANG TIDAK KIRA SAMADA SUAMI, ISTERI, INDIVIDU DAN PEMIMPIN ADALAH AIR MATA YANG DITITISKAN KERANA ALLAH S.W.T

INI KERANA TIDAK ADA SUATU PUN DI DIUNIA INI ADALAH MILIK KITA DAN AKU ADALAH MILIKMU (ALLAH)...JEMPUT BACA LUAHAN INI......

Jika seorang isteri menangis dihadapanmu,
itu bererti dia tidak dapat menahannya lagi.

Jika kau memegang tangannya saat dia menangis,
dia akan tinggal bersamamu sepanjang hidupmu...

Jika kau membiarkannya pergi,
dia tidak akan kembali menjadi dirinya yang dulu, selamanya!

Seorang isteri tidak akan menangis dengan mudah,
kecuali didepan orang yang sangat dia sayangi, dia akan menjadi lemah!
Seorang isteri tidak akan menangis dengan mudah,
hanya jika dia sangat menyayangimu.
Dia akan menurunkan rasa EGOnya .


Wahai suami2,
jika seorang isteri pernah menangis karenamu,
tolong pegang tangannya dengan penuh pengertian.
Kerana dia adalah orang yang akan tetap bersamamu sepanjang hidupmu disaat
kau terperuk terlalu dalam .

Wahai suami2,
jika seorang isteri menangis keranamu,
tolong jangan menyia-nyiakannya...
Mungkin, kerana keputusanmu, kau merosakkan kehidupannya.

Saat dia menangis didepanmu, saat dia menangis keranamu...
Lihatlah jauh kedalam matanya. Dapatkah kau lihat dan kau rasakan SAKIT
yang dirasakannya keranamu ?

Apakah keistimewaan perempuan ini?
Dibalik KELEMBUTANYA dia memiliki kekuatan yang begitu dahsyat..
TUTUR katanya merupakan KEBENARAN...
SENYUMANnya adalah SEMANGAT bagi orang yang dicintainya...
PELUKAN & CIUMANnya bisa memberi KEHANGATAN bagi anak2nya...

Dia TERSENYUM bila melihat temannya tertawa..
Dia TERHARU, MENANGIS bila melihat KESENGSARAAN pd org2 yg dikasihinya...
Dia mampu TERSENYUM dibalik KESEDIHANnya...
Dia sangat GEMBIRA melihat KELAHIRAN...
Dia begitu sedih melihat KEMATIAN..
TITISAN air matanya bisa membawa PERDAMAIAN.

Tapi dia sering dilupakan oleh SUAMI kerana 1 hal.
Bahawa "Betapa BERHARGAnya dia".

Monday, July 5, 2010

ULANG TAHUN KELAHIRAN DI KALA USIA KU 44 TAHUN

5hb Julai ketemu lagi bagi sesi 2010. Pada tarikh Keramat itu, dahulu 44 tahun yang lalu aku di lahirkan. Pasti kedua ibu bapa ku gembira dengan kehadiran ku walaupun sebelum aku, mereka telah mempunyai anak seramai 10 orang tetapi meninggal seorang. Maka aku anak yang ke 10. Di antara sebab kenapa mereka gembira kerana pertama aku anak lelaki yang kedua dalam keluarga setelah yang pertama hingga ke lapan semuanya puteri. Berazam sungguh mereka untuk mendapatkan anak lelaki dan akhirnya dimakbulkan oleh Allah. Sebab kedua mereka gembira, aku rasakan ialah mereka perlihara dan jagai aku dengan baik walaupun kalau dilihat sumber kewangan bapa ku terlalu kecil untuk menyara 10 orang anak dan seorang isteri, namun begitu tidak di berikan kepada orang malah dididik aku untuk menjadi manusia sebaik yang mungkin.
44 tahun telah berlalu. Kedua ibu bapa ku pun telah tiada. Kini aku pula mengambil tanggungjawab seperti mereka sebagai seorang ayah yang berusaha mendidik 5 orang anak-anak ku. Memang begitu mencabar untuk membesarkan anak-anak di kala manusia kebanyakannya hilang arah tujuan. Aku sentiasa berdoa agar Allah memelihara diri ku dan keluarga dalam apa bentuk keadaan sekalipun.
Dalam tahun ini 2010, sehingga 5hb Julai 2010 bermacam-macam peristiwa yang dilalui. Ada yang sedih dan ada juga yang gembira. Kematian sudah menjadi satu tajuk sedih bagi setiap manusia. Tidak kira ianya melibatkan saudara terdekat atau rakan kenalan. Bagi aku kedua-duanya ada. Pada awal tahun 2010 iatu pada Januari 2010, bekas Pengerusi syarikat ku iaitu Tan Sri Mohd Sedek bin Hj Mohd Ali telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan dan berada dalam keadaan koma selama hampir 4 bulan. Dan yang keduanya adalah Kakak ku yang ke empat iaitu Hajjah Siti NoorHafizah bt Hj Hasbullah meninggal pada 19hb April 2010 sewaktu berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrahnya. Begitulah lumrah, yang hidup pasti merasai mati. Dan yang terakhir adalah kenalan ku Wong, kakitangan di syarikat rakan baik ku Chan, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.30 pagi pada 6hb Julai 2010. Terakhir pada hari aku mencoret coretan ini, aku dapat berita kawan baik ku semasa di Malaysia Mining Corporation Berhad juga telah meninggal dunia pada bulan lepas. Namanya Abdul Razak bin Sulaiman. Al-Fatihah buat almarhum.
Dalam kesedihan itu, kita perlu teruskan kehidupan ini. Kegembiraan yang tidak disangka-sangka bila mana aku dapat bertemu dengan rakan-rakan sekelas ku di Sekolah Menengah Padang Tembak. Pertemuan itu buat masa ini hanya melalui alam maya menerusi Facebook. Melihat kejayaan masing-masing dalam kehidupan berkeluarga, tentu sekali yang paling gembira adalah guru-guru yang pernah mengajar kami. Pastinya mereka akan mendapat balasan dan imbuhan di atas usaha mereka mendidik kami. Nama seperti Noman & Nomi (adik beradik kembar), Hashim, Afizal, Afri, Noraida, Norhayati, Pam, Shila, Zairul Azmaini, Mazliah, Normah, Hafsah, Azman, Sariah, Norashikin, Wan Fatiah dan ramai lagi yang pasti mengimbau kembali nostalgia sewaktu alam persekolahan. Dan di antara mereka, ada juga yang kedengaran telah pergi dahulu bertemu dengan Tuhannya seperti Zubir, Isa dan Suzana. Berbagai cerita lagi yang lucu didengari bila bertemu dengan kawan baik ku...Ku doakan semoga kalian berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa di rahmati oleh Allah.
Kini setahun usia ku telah berkurangan, namun dalam ucapan yang diterima, ramai mendoakan semoga panjang umur dan murah rezeki. Semoga doa mereka menjadi pendorong kepada ku untuk terus memenuhi ruang-ruang usia yang masih diberikan kepada ku. Dalam ucapan yang diterima, aku merasa bangga apabila Dato' Mohd Ismail Che Rus, yang juga bekas Pengerusi syarikat ku menghantar ucapan melalui SMS. Teks ucapannya berbunyi:"Salam. Wishing u HAPPY BIRTHDAY. May u blessed with all d very best in life insyaAllah =D". Dia adalah orang yang pertama memberikan ucapan tersebut. Aku bangga bukan kerana ianya datang dari seorang yang bergelar Dato' tetapi keperihatinannya terhadap bekas kakitangan dan sentiasa menjadi orang yang pertama mendahului yang lain. Ini adalah tahun pertama dia menghantar ucapan hari lahirku kerana tahun ini dia baru tahu tarikh lahir ku. Namun ucapan-ucapan yang lain, seperti ucapan hari raya dan apa saja perayaan yang berkaitan pasti dia yang pertama aku terima ucapan.
Tidak ketinggalan juga ku terima ucapan dari isteri tersayang dan juga dari anak-anak ku. Berbagai ragam cara mereka menyampaikan ucapan secara face to face sehingga membuat aku sentiasa tersenyum bila mengingat gelagat mereka. Aku sentiasa bersyukur dengan ahli keluarga yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.
Semoga bertemu lagi di tahun hadapan. Wassalam.

Friday, June 25, 2010

AGM KPD KALI KE 75

Pada 23hb Jun 2010, berlangsung mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad ("KPD") kali ke 75 yang di adakan di hotel milik KPD iaitu
KL International Hotel. Dan aku seperti biasa dijemput bagi menghadiri majlis perasmian yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Yang DiPertua KPD iaitu Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar. Aku mula mengenali Tan Sri Ismail apabila beliau dilantik sebagai Pengarah KPD. Dia seorang yang baik, mempunyai sifat kebapaan dan seorang yang berpandangan jauh dan bersungguh untuk memajukan KPD.

Pada jam yang telah ditetapkan, Beliau diiringi oleh Dato Pengerusi KPD dan dif-dif kehormat yang lain. Sesampai di tempat dimana aku berdiri, dia bersalam dengan aku dan menyapa 'hensem min'. Heee...Heee...itu ajele yang dapat ku balas. Ucapan aluan-aluan dibuat oleh Dato Amir bin Sulaiman selaku Pengerusi seterusnya melaporkan prestasi KPD dan anak syarikat.Kemudian disusuli dengan ucapan Tan Sri Ismail dimana seterusnya beliau telah merasmikan majlis tersebut.

Mesyuarat di tangguhkan bagi memberi ruang para perwakilan membuang undi dan para jemputan di arak ke tempat menjamu selera. Selesai menjamu selera maka nampak ketergesaan Tan Sri yang mengambil berat tentang tugasnya untuk berangkat pulang, namun sempat berjabat tangan dengan semua jemputan di ruang makan dan berpelukan dengan rakan-rakan lama yang masih menyumbang kepada KPD dan anak syarikat.

Bila di kenang-kenangkan, dalam tempoh yang lama iaitu 75 tahun, KPD jika disamakan dengan manusia, ianya telah menempuhi peringkat tua dan tidak berdaya tetapi jika kita menganggap dia adalah sebuah institusi, walaupun usianya telah lanjut sehingga 75 tahun, namun sepatutnya dia tetap kukuh dengan pertambahan ahlinya, dengan kemajuan teknologi bagi menyokong segala operasinya dan kemasukan tenaga-tenaga baru dalam organisasi bagi menjamin kesinambungan operasi KPD berjalan dengan sempurna.

Bagi aku, aku tidak menyalahkan mana-mana institusi yang mengalami masalah tetapi yang patut dipersalahkan adalah mereka-mereka yang diberi amanah untuk mengendalikan institusi tersebut. Manusia masa kini semakin bijak mengambil peluang berbanding manusia terdahulu. Sebagai contoh, mungkin manusia dahulu yang menubuhkan institusi Koperasi ini mempunyai matlamat yang ikhlas bagi membantu ahlinya. Koperasi ibarat tempat berlindung yang dibina manakala ahlinya adalah merupakan keluarga dalam rumahtangga. Segala badai yang melanda akan diharungi bersama. Sekiranya terdapat halangan dan rintangan, mereka tidak mengajak orang luar mencampuri urusan mereka tetapi sebaliknya menjadikan orang luar sebagai garispanduan bagaimana Koperasi terus dapat bertapak dan terus maju demi kebajikan ahlinya. Ahli sentiasa setia dan terus bersama dengan Koperasi walaupun berbagai halwa yang dihidangkan diluar Koperasi yang lebih menggiurkan berbanding yang ditawarkan oleh Koperasi. Kesetiaan inilah yang aku rasakan sebagai satu kekuatan dan semangat yang tidak luntur yang menyebabkan Koperasi dapat bertahan. Namun ketahanan Koperasi tidak akan terus kekal jika matlamat ahli yang semakin 'bijak' dan mempunyai agenda tersendiri serta mendahulukan kepentingan diri berbanding kepentingan Koperasi dan ahlinya.

Dalam beberapa siri persembahan kertas kerja oleh beberapa wakil organisasi yang berjaya, aku masih lagi meletakkan kepercayaan terhadap apa yang dipersembahkan oleh kumpulan syarikat yang di terajui oleh YBhg Tan Sri Hashim Ali. Di suatu persembahan yang berbeza masa dan tempat, Tan Sri Hashim Ali dan Ketua Pegawai Operasinya menyampaikan tajuk visi dan misi syarikat tanpa mempunyai percanggahan dari sudut isi dan objektif syarikat. Ini bermakna apa yang digariskan sebagai visi dan misi syarikat telah berjaya di terapkan di dalam sanubari setiap pekerjanya. Ini akan lebih memudahkan objektif syarikat dapat dilaksanakan di capai oleh setiap pekerja di dalam organisasi tersebut. Dalam konteks ini, kalau kita semak bacaan kita di dalam surah Al-Fatihah, ayat yang ke lima yang bermaksud "tunjukkan kami jalan yang lurus". Ini membuktikan kepada kita bahawa sekiranya kita ingin berjaya dalam apa bidang sekalipun, kita perlu sentiasa berada di situasi yang lurus. Matlamat dan objektif kita mestilah jelas dan lurus, perlaksanaannya juga mestilah tidak dibengkang bengkokkan demi memastikan matlamat yang kita ingin capai tidak melibatkan kepentingan peribadi dan perkara yang tidak jelas, meletakkan amanah yang diberikan di atas sekali yang sepatutnya dijunjung di mana kita berada. Sekiranya kita dapat mengekalkan perkara-perkara tersebut, maka institusi yang diterajui oleh kita dapat di selamat dan dimajukan. Jika tidak baiklah kita keluar dari organisasi dan menjalankan urusan sendiri untuk kepentingan sendiri tanpa menggunakan saluran-saluran institusi di mana kita diamanahkan untuk kepentingan diri.

Dalam konteks Koperasi Polis, aku tidak dapat menerima kenapa pihak PDRM tidak menyokong sepenuhnya Koperasi dalm isu pemberian kerja-kerja yang terdapat di PDRM. Ini amat berbeza berbanding dengan pihak Kementerian Pertahanan, Tentera Laut Diraja Malaysia. Mereka sedia memberi keutamaan kepada LTAT dan syarikat subsidiarinya dalam pemberian kontrak walaupun ianya tidak mempunyai tanggungjawab untuk memberikan keutamaan kepada institusi tersebut. Alasan mereka memberi keutamaan kepada LTAT dan Syarikat subsdiarinya ialah mereka akan memperolehi pulangan dividen pada hujung tahun. Sekiranya terdapat kekurangan pada LTAT dan syarikat subsidiarinya, mereka akan duduk semeja untuk menyelesaikan masalah.

Oleh yang demikian, aku rasa Koperasi boleh bernafas semula dan maju seperti tahun-tahun kejayaannya sebelum ini jika mereka-mereka yang diberi amanah dan kuasa sementara di PDRM dapat memberikan keutamaan kepada Koperasi dengan meletakkan satu objektif "Kejayaan Koperasi adalah Kejayaan Kita dan kita akan menikmati bersama kejayaan tersebut".

Aku dapat merasakan kepayahan dan kesungguhan orang terdahulu yang berusaha untuk memajukan Koperasi kerana aku juga anak kepada anggota polis yang mana arwah bapa ku pernah dilantik sebagai salah seorang Anggota Lembaga di Koperasi ini. Semoga Koperasi dapat dimajukan semula tanpa adanya agenda yang tersembunyi.

Thursday, June 10, 2010

PENGALAMAN KU KE HONG KONG 1HB JUN 2010 – 5HB JUN 2010

Mana ada ku sangka dapat peluang ke Hong Kong untuk menggantikan Dato’ Anuar Bashah bagi menghadiri seminar tentang Kawalan Keselamatan. Pada awalnya Dato’ bersetuju untuk ikut serta rombongan APSA ke Hong Kong dan semua kos di tanggung oleh PSMB. Namun disaat akhir, beliau tak dapat pergi disebabkan hal tertentu dan meminta aku menggantikannya. Aku akur dengan arahannya, apa tidaknya dapat pergi ke tempat orang, ambil le peluang.

Pada hari yang di tetapkan iaitu pada 1hb Jun (Selasa), adik ipar ku Gjoy bersedia untuk menghantarku ke KLIA. Semua ahli rombongan perlu ada di KLI jam 7.00pagi. Aku sampai tepat waktu yang ditetapkan dan tak nampak lagi batang hidung Tuan Mat. Aku telefon dia dan dia memaklumkan dia telah hampir di KLIA. Lega rasanya. Bertemu dengan Tuan Mat dan kami pun terus berjumpa dengan ahli kumpulan yang lain. Sambil minum dan berbincang, waktu untuk daftar masuk pun tiba dan kami kesemuanya mula bergerak ke ruang menunggu. Aku tidak berapa sihat sebenarnya dengan batuk yang tak henti-henti sejak seminggu. Sempat aku ke farmasi di KLIA untuk membeli strepsil sebagai bekalan.

Dalam kapalterbang, di sebelah aku, seorang yang pendiam. Aku belum kenal dengan beliau lagi dan tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tekak pun tak berselera untuk makan makanan yang disediakan disebabkan lauknya memang ubat gout. Tetiba Presiden APSA Malaysia Dato’ Mustapa Hj Ali duduk di sebelah aku, Aku kata tidak ada sesiapa duduk di situ. Dia pun terus tidor untuk berehat agaknya. Aku tidak mahu menggangu beliau. Hampir tiga jam dua puluh minit kapten kapal memaklumkan bahawa kapalterbang akan mendarat, agak kurang cekap pendaratan yang dibuat, tetapi selamat. Selesai pemeriksaan imigresen, sempat mengambil gambar sementara menunggu bas datang menjemput kami untuk dihantar ke hotel Empire di Causeway Road. Sesampai di hotel, sekumpulan kami pergi ke satu restoran yang
dicadangkan oleh kakitangan Hotel, nama retoran tersebut ialah `AH LONG PAKISTAN RESTAURANT HALAL FOOD’, hmm bunyi halal dan Pakistan tu boleh le tahan, tapi tak leh masuk makanan yang ditawarkan. Jadi menu pertama di hari pertama aku di Hong Kong ialah capati sahaja. Selesai makan dengan menu yang tidak menyelerakan, aku membeli beberapa sisir pisang untuk pemangkin di dalam bilik hotel, sampai di bilik aku terus solat jamak dan qasar zohor dan asar dan terus terlena kerana keletihan dan sememangnya hobi ku. Terjaga dari tidur jam 5.15 petang. Disebabkan tidak ada apa-apa perancangan, maka aku hanya menonton tv di bilik hotel sehinggalah waktu lena kali kedua jam 9.30 malam selepas selesai menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu maghrib dan isya’. Selesai hari pertama yang rumusannya agak susah bagi aku untuk menikmati makanan yang sesuai dengan seleraku.

2hb Jun 2010, Rabu (Hari kedua), aku bangun jam 4.30 pagi. Difahamkan waktu subuh, zohor dan asar di Hong Kong lebih awal dari di Malaysia walaupun waktu negaranya menyamai dengan waktu di Malaysia. Selepas selesai solat, aku lelapkan mata sekejap sementara menanti jam menunjukkan pukul 8.00 pagi untuk kami berkumpul di lobi hotel untuk bergerak bersama ke Bangunan di mana
Pameran dan Seminar di adakan. Dengan perut yang tidak cukup makanan, aku mula rasakan badanku agak ringan dan mungkin aku menghadapi masalah pitam. Sampai di bangunan tersebut dengan menaiki keretapi bawah tanah, kami mencari sarapan untuk mengalas perut….tekak ku masih degil untuk menerima makanan yang dijual. Untuk menyamai dengan rakan sekumpulan, maka aku hanya meminta kopi hitam untuk ku. Amboi pekat dan kelat kopi hitam ni dan aku rasa, perut aku akan meragam kerana tak biasa dengan rasa kopi hitam ini. Benar jangkaan ku, dalam masa menghadiri perasmian pameran dan seminar perut dan kepalaku mula menarik perhatian ku dengan memulaskan perut dan menyakitkan kepalaku. Sewaktu lawatan ke ruang pameran aku tidak dapat menahan memulasnya perutku dan terpaksa aku menukar budaya ku bila berada di dalam tandas
. Nak buat macam mana. Selepas selesai di dalam tandas, perutku bertambah kosong dan berjangkit ke kepala menyebabkan rasa nak pitam menjadi-jadi. Pengsan aku ni karang, detik hati ku. Aku terus pergi mencari makanan walaupun tekak ini kembang untuk menelannya. Dengan kos makanan dan minuman berjumlah HK54 dolar, ada sedikit kemajuan pada diriku sementara waktu makan tengahari. Arrgghhh…..terasa nak menjerit aku apabila melihat menu yang dihidangkan. Dengan menu yang boleh menyebabkan aku mendodoi kerana kesakitan gout dan kehalalan yang mencurigakan. Akibatnya aku cuba memberi alasan untuk tidak memakan makanan yang dihidangkan. Aku hanya meneguk air teh cina yang boleh aku minum. Akhirnya aku terpaksa dengan sedikit keyakinan memakan menu sayur rebus dan ikan yang dikukus.

Di situ aku mula berkenalan dengan isteri Tuan Zaid yang panggilan mesranya sebagai Mak Ungku. Aku cerita masalah permakananku dan dengan hati yang ikhlas, dia menawarkan bubur yang dibawa dari Malaysia kepada ku untuk makan malam nanti. Namun takkan aku nak pergi ke
bilik Tuan Zaid semata-mata untuk meminta bubur tersebut. Detik hatiku. Malu le, baru aje berkenalan walaupun aku merasakan mereka sekeluarga memang mesra dan baik hati. Akhir sekali aku tak makan selain dari mee Maggie yang aku bawa dan buah pisang kaki yang aku beli dari gerai buahan. Tetiba loceng bilik ku berdenting, Tuan Mat memberi bubur yang dikirimkan oleh Mak Ungku melalui isterinya. Baik sungguh MakUngku. Janji Tuan Mat untuk cari makan malam tidak kesampaian disebabkan hujan. Malam tu tak leh tidur nyenyak. Kejap-kejap terjaga. Sampai jam 3.00 baru terlena.

Hari ketiga (Khamis -3hb Jun 2010), Aku bangun seperti biasa untuk menunaikan kewajipan walaupun tidak kira dimana aku berada. Selesai tugasku, aku termenung sebentar dan melihat bubur yang diberikan. Cubalah kata hatiku dan aku terus memanaskan air untuk mengembangkan bubur tersebut. Selesai aku dengan bubur, terus aku berlari ke tandas untuk mengeluarkan semula apa yang di makan. Arggghhh….ini tak boleh jadi. Takkan makanan buatan Malaysia pun aku tak boleh terima. Aku cuba mee Maggie perasa sayuran. Begitu juga jadinya. Sah lah memang perut aku tak boleh menerima apa-apa yang cuba aku telan. Naya ni. Kata hati ku. Sampai terdetik mungkin aku terpaksa di semadikan di Hong Kong, berbeza dengan kakak ku yang disemadikan di tanah Haram, Makkah. Aku kuatkan semangat. Siap sedia selepas Tuan Mat telefon mengatakan berkumpul di lobi jam 9.15 pagi Tunggu yang lain dan juga Dato’ Mustapa, jam menunjukkan pukul 9.35 pagi. Seketika itu baru Dato’ Mustapa keluar dari lif hotel. Bersalaman dan berbincang lagi mengenai Persatuan Pengawal Keselamatan, barulah kami gerak dengan menaiki teksi. Sampai di Bangunan Pameran dan Seminar, ku lihat di meter teksi bayaran yang perlu dibuat adalah berjumlah HK33 dolar. Tuan Mat bayarkan sebab dia duduk di tempat duduk depan. Berjalan kea rah dewan seminar, ternampak delegasi Malaysia duduk di VIP Lounge dan kami terus pergi bagi memenuhi ruang yang masih kosong. Tunggu dan berborak, waktu menunjukkan jam 10.30. Aku bertanya kepada salah seorang delegasi, takde `presentation' ke pagi ni. Jawabnya ada tapi dalam bahasa cina. Hmmm apa yang nak difahamkan. Tetiba Tuan Zaid mengajak Hj Mokhtar (orang yang pendiam sewaktu didalam kapalterbang) untuk turut serta isteri dia yang kini berada di Mong Kok suatu lokasi membeli belah, Wah ini ada peluang aku ikut, Aku mencelah, Tuan ajak le Tuan Mat, pasti saya akan ikut dibelakang. Sememnagnya aku tak tahu jalan dan perasaan takut sentiasa ada. Tuan Mat pun bersetuju dan kami bergerak dengan menaiki teksi. Nah kau, HK77 dolar tambang yang dikenakan. Bukannya jauh. Sampai di Mongkok kami mencari lorong Ladies Market (tempat macam Jalan Chow Kit) akhir berjumpa juga dengan pasangan Tuan Mat dan Tuan Zaid. Maka kami pun mengikut le mereka
membeli belah. Aku beli sikit aje. Mana ada duit. Puas kami berjalan dibawa oleh Mak Ungku dan Kak Rodiah. Harap Tuan Mat dan Tuan Zaid, alamat kat lobi hotel aje le kami sampai. Hee...Hee. Sebelum ke Disney sempat kami makan di restoran Turki. Kemudian kami ke Disneyland, Cable Car CityGate Outlet dan banyak tempat sampai sakit kaki dibuatnya. Tapi aku lihat Mak Ungku dan Kak Rodiah masih steady. Sampai semula di hotel jam 9.00 malam. Aku dan Tuan Mat pergi beli nasi untuk makan malam. Seperti biasa aku masuk aje ke bilik hotel, badan ku mula tak sihat. Muntah dan ceret beret. Makan le nasi kosong 4 sudu kecik untuk buat syarat makan ubat. Terus tidur lepas tu.

Hari Keempat (4hb Jun 2010 – Jumaat) Berkumpul jam 9.00 pagi untuk program satu hari `free and easy’. Tempat pertama adalah ke Konsulat Malaysia. Lebih kurang satu jam kami berangkat ke Pusat Islam Cina Muslim di Masjid Ammar. Makan disitu barulah tekak ni memberi ruang untuk menerimanya. Sedap rasanya. Padahal rupa dan rasanya sama tapi dah kata halal dan makanan muslim cina, itu yang belasah
terus. Pelik kan. Selesai makan dengan tanpa ada rasa kerisauan tentang kehalalannya, maka aku bersiap sedia untuk menunaikan solat Jumaat. Ada sikit beza kaedah solat Jumaat yang dilaksanakan di situ. Selepas Azan waktu, imam akan membaca kitab seolah-olah tazkirah tanpa berdiri di mimbar, habis dia bagi tazkirah terus dia solat sunat Jumaat. Kemudian Muadzin akan azan sekali lagi dan imam akan naik ke mimbar terus baca
doa. Habis doa terus solat Jumaat. Di situ aku berjumpa dengan bekas Setiausaha Koperasi Polis yang telah bermastautin di Hong Kong.
Namanya Ibrahim bin Jaafar. Dah 30 tahun di sana. Dia menjadi Setiausaha di Koperasi pada tahun 1967 – 1970. Hebat kuasa Allah dapat bertemu orang Malaysia yang ada kaitan dengan syarikat kita. Kira Orang lame. Orang perak kata. Selepas solat Jumaat, terus mener
us membuat lawatan dari satu tempat kesatu tempat, ke Madame Tassauds, pantai Repulse Bay kat situ rumah mahal-mahal di tepi bukit termasuk rumah Jackie Chan. Malam makan di India Restaurant (Halal) lepas tu terus balik ke hotel dan terus kemas untuk pulang pada esok hari. Dapat panggilan dari penyelaras untuk berkumpul di lobi jam 5.45 pagi sebab bas akan bergerak jam 6.00 untuk ke lapangan terbang.

Hari Kelima (5hb Jun 2010 – Sabtu) Bangun jam 4 pagi dan terus bersiap. Selepas solat, sempat tengok tv dulu. Telefon berbunyi menandakan `morning call’ untuk sedarkan kami. Aku turun jam 5.30 pagi dan membuat pembayaran di kaunter berjumlah HK152 dolar sebab aku minum air mineral dan coke. Perjalanan ke lapangan terbang dan proses daftar masuk betul-betul dua jam dan tunggu masuk ke perut kapalterbang lebih kurang 45 minit. Selamat tinggal Hong Kong. Nak datang lagi mungkin tunggu perniagaan dengan bekas Setiausaha Koperasi Polis menjadi, kalau tak takyah datang. Sampai di KLI jam 12.00 tengahari. Kali ni pendaratan yang dibuat oleh Kapten Kapalterbang lebih baik dari masa mendarat di Hong Kong dan Gjoy bersama Afiq, Nurul dan Adik A’ie datang 15 belas minit selepas aku menunggu mereka.

Secara rumusannya, pihak penyelaras sepatutnya mengambil berat tentang pemakanan di Pameran dan Seminar tersebut agar delegasi yang tahap dusun seperti aku tidaklah tercangak-cangak nak cari makan.

Saturday, May 15, 2010

GOUT OH GOUT - HARI ITU DALAM SEJARAH

Entah bila aku kena gout ni aku tak begitu pasti, tapi yang seingat aku, selepas aku terlanggar tunggul di tanah perkuburan selepas menziarahi kubur arwah ayah ku, terus kaki ku bengkak. Kalau orang tua, sudah pasti dia kata aku terlanggar istana ke rumah ke tempat permainan orang yang tidak kelihatan. Hmm... itulah seperti kata Kak Normah yang aku minta di `tengok-tengok'kan kaki ku. Bila pergi ke klinik, doktor kata aku kena gout. Macam tak percaya aku. Aku bukannya pecinta makanan laut. Tapi aku akur bila setelah beberapa kali aku diserangi gout ni selepas memakan makanan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penyakit gout ini.

Pada 14hb Mei 2010, jam 4.30 pagi, aku merasakan tanda-tanda serangan telah menghinggap ke kaki ku. Mula bisa-bisa merayap ke kaki kiri ku. Aduh macam mana ni kata ku. Hari ini (Jumaat) banyak yang nak kena buat, nak ada discussion tentang showroom barang-barang aksesori Polis dengan Danial, nak sign cek, nak dapatkan Dato' Wong dan Tuan Mat tandatangani Akaun yang telah diodit. Lepas subuh aku mula bersiap kononnya bersemangat untuk terus ke pejabat. Namun semangat gout ni lebih kuat dari semangat aku. Makin sakit. Aku kata kalau aku teruskan juga pasti tak sampai ke pejabat. Isteri ku nasihat tak payah pergi. Akihrnya aku tak pergi dan mula sms pada mereka-mereka yang terlibat dengan kerja-kerja tersebut.

Duduk di rumah makan ubat yang sedia ada. Eh makin menjadi sakitnya. Pelik aku kata, terdetik hati ini. Tak pernah sesakit begini. Makan ubat lagi. Dah tak ikut peraturan demi berusaha menghilangkan sakit. Namun bertambah sakit. Ahhh....semakin sakit dan semakin tak tahan aku menikmatinya. Akhirnya telefon isteri ku untuk ajak pergi ke klinik. Dia pula kata ada kelas dan dalam 9.40 akan balik. Mana tahan, kaki dan berdenyut kuat sekuat tsunami. Aku bersiap dan tekad pergi sendiri jika isteriku tak sampai. Sedang bersiap, dia pun sampai. Terus aje pergi tanpa membuang masa. Sampai di klinik punya le ramai pesakit dan gout ku menjadi-jadi la pulak. Aku pun meraung secara sopan namun sebutan-sebutan yang terkeluar dari mulutku tetap dengan kalimah Allah. Alhamdulillah aku berdoa semoga kalimah ini kekal terkeluar dari mulutku sewaktu akhir hayatku nanti.

Tiba giliranku, terus aku masuk dengan kerusi roda untuk berjumpa doktor. Doktor kata kena suntik. Alamak, ini yang aku takut. Aku tanya doktor kat mana nak kena inject. Dia kata kat punggung. Aduh hai. kena baring pulak. Sakit bercampur takut. Isteri ku tahu memang aku takut dengan suntikan. Dalam sakit-sakit masih sempat tanya doktor dah boh bius ke. Itu yang buat isteri aku tergelak dan doktor pun geleng kepala. Dia pun cuba tenangkan aku dengan menyuruh aku baca bismillah. Aku turuti suruhan dia. Eh tak sakit, rasa macam gigit semut aje. Ye le sakit gout tu mengatasi sakit kena suntikan. Isteriku pun cerita pengalaman dia nak bersalin. Macam tu lah katanya, masa ibu nak bersalin dah sakit sangat, doktor nak buat apa pun buat la janji cepat dapat bersalin. Kesian pulak dengarnya.

Lepas di suntik, macam pyshco pulak tetiba aje rasa kurang. Nasib baik ada anak yang boleh tolong untuk posing sama-sama ambik gambar. Itulah yang boleh diharapkan. Lepas makan ubat dan terus tidur, Qado' malam tadi yang tak dapat tidor sebab tahan sakit. Tengoklah posing aku tidor lepas kena suntikan. Kalau orang ajak mandi laut pun aku taknak. Sebab bukannya tak suka tapi kalau terserempak dengan jerung, jangan ke gout aku yang hilang dengan aku-aku sekali akan hilang. Baik duduk diam-diam kat rumah.

Harap-harap itulah kali pertama dan terakhir aku menggunakan kerusi roda.











Monday, April 19, 2010

KEKANDAKU SITI NOR HAFIZAH (ANDAK) DALAM KENANGAN


Seperti biasa, kematian adalah merupakan perkara yang pasti namun bila berlakunya tiada siapa yang dapat menyangka dan sukar untuk mempercayainya. Lebih-lebih lagi keluarga terdekat. Begitu juga dengan apa yang aku rasakan.

Aku mempunyai sepuluh (10) orang adik beradik yang terdiri dari Siti Nashriah (Along), Siti Norizan (Angah), Siti Norshidah (Alang), Siti NorHafizah (Andak), Siti Nor Ikmar (Mai), Siti Nor Ishikin (Adah), Siti NorHayati (Uda), Siti Nor Mala (Acik), Nor Azmi (Pak Teh) dan aku Nor Izmin (Ucu).

Selepas kematian kedua ibu bapa ku pada tahun 2000, aku terasa kematian terlalu hampir dengan generasi ku iaitu adik beradik ku akan menunggu giliran untuk menyusuli ibu bapa ku. Namun semuanya adalah urusan Allah S.W.T. Perasaan kematian itu lebih terasa apabila setiap kali aku dapat berpeluang mengerjakan Haji dan umrah di mana kematian pada setiap waktu dapat dilihat.



Kini hilang seorang dari ahli generasiku iaitu andak. Seorang yang kelakar dalam keluargaku dan juga seorang yang tabah menghadapi ujian Allah S.W.T kepada dirinya. Mungkinlah agaknya Allah ingin mengembirakan dan meraikannya dengan mencabut nyawa di tanah yang penuh berkah iaitu di Makkah.

Pada mulanya sewaktu aku ingin mengerjakan umrah pada bulan Mac 2010, aku ajak dia sekali untuk turut serta, tetapi dia telah daftar dengan Hijjaz Travel. Namun selepas aku kembali dari menunaikan umrah dia menalipon ku bertanyakan samada Ustaz Mokhtar adalah dari kumpulan MSD dan aku mengiyakan. Dia kata dia akan pergi dengan kumpulan Ust Mokhtar kerana Hijjaz adalah masalah. Itulah saat akhir aku dapat berborak dengannya. Seperti biasa dialah satu-satunya kakak yang sering bertanyakan berbagai soalan untuk menyelesaikan masalahnya. Baik dari untung pelaburan dia, nak tukar riyal untuk pergi buat umrah dan minta aturkan bilik dia dengan kawannya sewaktu di Makkah.

Akhir tarikh pemergiannya aku sempat bertanya jam berapa bertolak dan dia menjawab melalui SMS akan bertolak jam 9 pagi kerana kapalterbang bertolak jam 12. tengahari. Begitulah hubungan bicara aku dan andak sebagai adik beradik sebelum Allah S.W.T menjemputnya bukan sekadar tetamuNya di Makkah tetapi menjemputnya kembali kepangkuanNya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang-orang yang Solehah. Amin

Monday, March 29, 2010

UMRAH AMAL 2010 – 18HB MAC – 28HB MAC 2010

Menjadi tetamu Allah adalah sebaik-baik tetamuNya. Itulah yang dilafazkan oleh kawanku dalam Facebooknya tempoh hari. Dan untuk menjadi tetamuNya kekadang kalau kita nak menggunakan kaedah matematik untuk mengira samada cukup tak masa, duit maka memang sukar untuk kita ke sana. Yang paling penting kita berdoa dan berusaha agar Allah memilih dan mencalonkan kita dalam calon-calonNya yang layak menjadi tetamuNya samada tetamu bagi mengerjakan Haji atau pun Umrah.

Setahun lalu aku pergi iaitu pada bulan Mei 2009, di dalam doa selepas tawaf Wida’ aku sentiasa berdoa agar aku diizinkan menjadi tetamuNya lagi dan dalam perancangan serta berdasarkan kepada kemampuan kewangan aku bercadang jika diizinkan empat (4) tahun lagi aku akan menjejakkan kaki ke bumi Makkah. Tetiba aku mendaftar sebagai ahli FB dan kenalan ku yang mana aku mengikuti Travel syarikatnya pada tahun lepas bercadang untuk mengadakan pakej Umrah Amal pada bulan Mac 2010. Aku terus berhubung dengan beliau melalui FB dan beliau membenarkan aku menjual pakej tersebut. Maka aku mula mengambil tindakan dan pada awalnya permintaan begitu menggalakkan walau pun pada waktu itu sibuk dengan urusan mereka-mereka yang hendak mengerjakan ibadat haji sedang dijalankan. Aku dok kira-kira ada 35 orang yang bersetuju untuk mengikut pakej tersebut. Seronok bukan kepalang kerana ini kali kedua aku buat marketing untuk kerja-kerja umrah. Kali pertama pada tahun 2009 dan hanya sepasang suami isteri yang ikut iaitu Tengku Kudin dan isterinya.

Aku disekat oleh musim haji, walaupun hati ini meronta-ronta untuk mendapatkan iteneri dari Hj Shukri. Beliau kata sabar Hj, kita selesaikan urusan Haji. Aku akur dan terus berdoa agar semua jemaah yang bersetuju untuk pergi sentiasa istiqamah dengan niat mereka. Selesai musim Haji, aku kembali mengingatkan Hj Shukri dan beliau mula mengambil tindakan. Namun yang melesetkan semangatku ialah ramai dari jemaah umrah yang pada awalnya bersetuju telah menarik diri. Arrgghhh. Ujian Allah agaknya kata hatiku dan dipujuk oleh isteriku.Hj Shukri pula mula membuat susulan dan aku maklumkan hanya 8 orang sahaja. Dia pun tersenyum dan kata hari tu ada 35 kata. Aku pun garu kepala tapi aku tetap kata akan aku usahakan. Sedikit semangat yang berbaki aku teruskan juga untuk buat marketing dan sasaran aku adalah Maulana. Lobi punya lobi, Allah bukakan pintu hatinya untuk membawa keluarga dan emak dan adiknya. Yang sedia ada Ruszaini dan isteri serta ibu dan mertuanya. Kemudian kawan Bahazin dan kemudian Kawan kakak ku di Shah Alam, kemudian Razak Cemara dan Leman.

Peringkat ini yang buat aku pening. Sekejap pergi sekejap tak nak pergi. Sekejap Ok sekejap ada masalah. Yang terakhir dua orang dari daerah lain yang berminat untuk ikut pakej murah tanpa makan dan memang pakej ini lah paling bersesuaian pada pandangan aku. Dia telefon aku sewaktu akau berada di Sabah. Aku maklumkan akan berjumpa dengannya sebaik balik dari Sabah. Sejurus jumpa di Kg Attap, pada mulanya dia berminat sungguh dan bercerita yang dia beberapa kali telah menunaikan Hj dan Umrah. Maka senang le sampuk aku. Dia janji hari Isnin akan buat bayaran dan serahan paspot dan gambar. Tetiba, pagi Isnin Hj Shukri telefon aku sewaktu aku dalam perjalanan ke pejabat bertanyakan jemaah tersebut. Hj Shukri maklumkan yang jemaah tu macam tak percaya harga yang ditawarkan dan beliau beritahu aku yang beliau mengesahkan kepada jemaah tu, kalau dia tak percaya, maka ikut dulu. Balik baru bayar. Aku pun ketawa dan aku yakin dengan apa yang Hj Shukri katakan kerana dia adalah pemilik MSD Travel & Tours Sdn Bhd. Setengah jam kemudian, jemaah tu pun telefon aku dan katanya dia tak jadi pergi sebab ada hal. Tetapi tanpa pengetahuan dia aku tahu yang dia pergi dengan Travel lain. Takde rezeki le tu.

Pada 14hb Mac taklimat dibuat, Penerangan Hj Shukri cukup jelas kepada jemaah dan InsyaAllah 18hb Mac ini jam 9.00 pagi akan berkumpul di KLIA untuk menaiki Yemen Air. Aku kiranya akan membantu wakil MSD Travel untuk mengendalikan jemaah ini. Dan aku berharap akan dapat mempelajari sesuatu yang menafaat. Samapi hari yang ditunggu, semua jemaah telah berkumpul dan tiket telah diuruskan oleh Hj Shukri. Sedikit taklimat yang diberikan kepada aku. Kami masuk ke balai menunggu. Kapalterbang Yemen telah pun tiba. Naik aje ke dalam perut kapalterbang, punya la ramai orang Indonesia yang pulang ke Jakarta dari Dubai. Rupanya mereka bekerja di sana dan pulang bercuti.

Penerbangan mengambil masa 15 jam. Dari KL ke Jakarta (transit 1 jam, sempat solat jamak Asar dan zohor), pastu ke Dubai (transit 45 minit), pastu ke Yemen (transit 3 jam dan tukar kapalterbang, sempat jamak maghrib dan isyak). Sampai di Jeddah waktu Subuh. Selesai Subuh kami bertolak ke Madinah dengan mengambil masa 5 jam. Sampai di Madinah waktu solat Jumaat, kami tidak dapat masuk sehingga selesai solat Jumaat. Pemandu muassasah pulak tak tahu sangat jalan sekitar Madinah, ambik masa 1 jam juga berpusing-puisng dan akhirnya jumpa Hotel Mawaddah Salam. Lega aku.

Masalah dengan muassasah timbul lagi bila terdapat sedikit keliru tentang booking bilik. Selesai dapat masuk bilik hampir jam 5 petang. Solat zohor dan asar di bilik sahaja. Kemudian bersiap untuk solat mahgrib dan ziarah Makam Rasulullah. Punya lah ramai manusia dan badan yang sangat letih, aku hanya ziarah makam dan tidak sempat solat di Raudhah. Hari kedua jam 1.30 pagi baru aku ke Raudhah untuk solat sunat disitu dengan keadaan tenang dan aman kerana kurang manusia pada waktu tersebut. Sepanjang di Madinah aku dibantu oleh Ustaz Hafiz yang kebetulan juga membawa jemaah pakej umrah amal. Jemaah dia hanya 9 orang jadi aku minta kebenaran Hj Shukri untuk dia join kami satu bas untuk buat ziarah.

Selesai tempoh di Madinah, waktu berangkat ke Makkah, Hj Burhan (adik Hj Shukri) cadang tiga bas gerak sekali. Lagi seronok dan pemandu bas kali ni agak biasa dengan jalan ke Makkah. Senang le sikit. Malangnya sampai di Makkah, Ustaz Hafiz tertinggal bag kecik dia dalam bas dan terus hilang. Paspot, duit, handphone dan kunci lesap. Walau pun dia tenang tapi nampak hilang fokus. Kesian dia. Ada yang buat kutipan dan dapatle sikit untuk Bantu dia. Sepanjang di Makkah badan agak keletihan. Mungkin kurang tidor dan banyak memikirkan maslahat jemaah. Maklumlah kena bertugas tapi seronok bila jemaah puashati. Di Makkah jumpa dengan pelajar di Universiti Madinah, Syakirin namanya. Seronok berbual dengan orang yang ada ilmu dan fikrah Islam. Minta dia doakan agar dapat aku sentiasa datang menziarahi Makam Nabi dan Baitullah.

Terasa sangat waktu terlalu singkat, hari yang keberangkatan balik telah tiba, tawaf wida selepas subuh mengharapkan untuk datang lagi. Selamat tinggal Baitullah.