Wednesday, April 20, 2011

DURIAN OH DURIAN




Sejak aku berkawan dengan Chan, makan durian telah menjadi aktiviti tahunan selain dari makan hair raya aku, makan hari raya dia, company trip dan lelain lagi. Namun seperti biasa aku tidak akan bertanya atau meminta agar semua itu diraikan oleh beliau untukku.


Ayah, bila nak beli buyan (durian), tanya A’ie dalam bahasa pelatnya. Nanti le. Tapi adik nak buyan, sambungnya lagi. Ok lah, malam nanti kita beli. Hmmm...itu yang malas nak beli durian kat tepi jalan. Tak sampai penuh satu Tupperware, harga RM75.00. Sabar aje le. Anak punya pasal. Makan mentah sikit dan buat pengat sikit. Tak puas betul. Seminggu lepas tu, Angah balik cuti minggu. Dalam kereta sewaktu perjalanan balik kerumah dari KL Sentral, Angah pulak Tanya, ayah...Uncle Chan tak ajak makan durian ke. Aku jawab mesti ajak punya tapi tak tahu bila. Mungkin minggu depan kot. Ala...mengeluh angah kerana dia tak balik minggu depan. Taknak anak tu kempunan, belikan lagi durian. Begitu juga jadinya, separuh busuk. Tapi dapat juga le angah merasa durian.


Hj, esok free ke. Dia tanya aku. Free...meeting dah abis. Kenapa. Esok mau kena pergi Kuantan. Ok jawab aku. Keesokan harinya selepas singgah ke pejabat dan buat kerja yang patut, aku terus ke bengkel Chan. Sekejap ah Hj, mau call. Ok No problem. Kemudian kami pun bertolak ke Kuantan. Seperti biasa singgah ke McD untuk sarapan. Dalam perjalanan ke Gambang, bagitu banyak orang menjual durian. Aku buat tak kesah aje tetiba Chan menyuarakan, Hj minggu depan I call brother I tanya durian sudah ada ke belum. Ok jawab ku. Durian Pahang sejak aku kenal Chan, memang aku kelaskan durian yang terbaik. D24, Musang King dan apa-apa aje pastinya sedap bila di kopek dan tidak berulat.


Selesai urusan dengan pihak 34 Workshop di Gambang Kuantan, kami pun balik. Hj kita minum dulu. Takpe le Chan, I dah penuh perut. Kejap aje Hj kita minum di Mc D. Hmmm ok la. BUat tempahan melalui drive thru’, sambil memandu, sekejap aje aku abiskan air coke.


Hujung minggu telah pun hampir. Hj this Sunday, free ke. Kita pergi makan durian. Aisey, Dato Md Nor punya anak kawin le. Alamak, Kol Azlan pun mau kawinkan anak. Amacam. Takpe nanti discuss sama Boss, katanya. Pagi esoknya, jam 8.00 pagi Chan call tanya aku pergi Majlis Dato’ jam berapa. Aku kata dalam jam 12.30 tengahari. Ok kita jumpa di sana. Lepas makan terus pergi Bentong, kebun durian jiran dia. Ok. Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Kami pun bersiap-siap untuk mengambil A’ie dan Nurul di rumah Apit di Kg Dato’ Harun. PJ.


Selesai makan di majlis Dato’ Mohd Nor, aku pun berangkat menuju ke Petronas arah ke Karak untuk solat dan tunggu Chan di situ. Separuh perjalanan, hari pun mula mengalirkan airnya. Aisey

ni yang tak syok, nak makan durian mesti tak selesa. Tapi takpe baru separuh jalan dan tokey kebun pun belum sampai lagi. Setiba di Pekan Bentung, singgah dulu makan ais krim, aku tak berapa nak lalu sebab pertama hujan dan kedua baru lepas makan nasi dan ais krim di majlis perkahwinan anak Dato’ Mohd Nor. Aku dan isteri sekadar memesan air 100+. Sesudah selesai minum, kami pun gerak ke kebun durian. Pergghh nak kena naik bukit lak pulak. Aku suruh Isteri, Nurul dan A’ie naik Land Rover yang dipandu oleh Awai manakala aku jalan kaki mendaki bukit. Eleh dekat aje dan kalau ikut jalan pintas lagi dekat tapi tetap kena mendaki. Aku pun mengambil keputusan untuk menrentasi jalan pintas yang lembab kesan baru lepas hujan. Sampai diatas, terus buka kopek durian. Makan sebanyak yang disukai tidak dikenakan bayaran tapi banyak mana pun boleh makan, habis-habis pun 3 biji. Lepas tu dah muak. Sedang aku dok pilih durian, terasa kaki ku semacam ada benda yang bergerak dan rasa basah yang tidak menyelesakan.


Aku kuis-kuis dengan jari kaki tanpa melihatnya namun masih tidak selesa juga rasanya. Kemudian aku bongkok dan menggunakan jari tangan pulak. Aleh-aleh tengok kesan darah yang banyak. Alamak apa kena ni. Semak punya semak, ada sekor pacat sudah gemok dengan darahku yang tercinta. Amboi, aku sedap makan durian, dia sedap isap darahku. Darah tetap keluar. Kol Rosli kata Hj, biasanya kalau pacat tu tak tercabut sendiri, darah akan sentiasa keluar. Ye ke. Aku bubuh minyak kapak, kemudian tuan punya kebun bagi aku sehelai daun dan suruh aku genyeh-genyeh dan tutupkan pada kesan darah tersebut. Aku pun akur dan buat seperti yang diarahkan. Kemudian Kol Rosli nak lawat kebun, aku kata kat Chan aku nak balik dulu. Disuruhnya aku bungkus durian untuk bawa balik. Aku pun ambil 4 biji. Lalu ditegurnya aku, Hj ambil lagi. Hmmm akupun tambah 4 biji lagi. Kemudian ucap terima kasih dan kami sekeluarga balik rumah. Sampai rumah jam 6.45 petang. Terasa puas betul makan durian yang berkualiti baik tapi kalau dapat lagi...lagi seronok.

Friday, March 25, 2011

KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) ALONG AIMAN

Selepas dapat keputusan PMR dengan hanya mendapt 2 A dan beberapa gred yang lain, terasa kekesalan ada pada Aiman. Namun untuk meneuteralkan emosi untuk kembali bersemangat memang agak sukar. Lebih-lebih lagi dengan berada di sekeliling kawan yang lebih kurang aje pencapaiannya. Namun sebagai ayah dan ibu yang sentiasa menyayangi anak-anak, kami sentiasa berusaha untuk memberi semangat kepada Aiman.

Ayah, along nak mohon masuk teknik. Ok, jawab ku. Daftar secara on-line. Teknik mana Yah nak mohon. Aku kata cari teknik yang tak bercampur dengan vokasional. Nape jawabnya. Ye le kalau ada vokasional, pertama, murid ramai pasti kawalan dan tumpuan kurang oleh pihak sekolah. Kedua, suasana sekolah penting, jika teknik semuanya semangat belajar melebihi dari semangat main sebab subjek teknik lagi berat. Sambung ibunya. Setelah meneliti senarai teknik, maka pilihan pertama ialah Sekolah Teknik Persiaran Brash, Ipoh. Dulu ibunya sekolah disitu. Selesai daftar secara online, kami pun tunggu, keputusan peperiksaan PMR. Bila dapat keputusan dan keputusan permohonan pun dikeluarkan dan Aiman berjaya memasuki sekolah tersebut. Terasa seronok Aiman dapat masuk dan persiapan dibuat untuk daftar diri pada 23hb Februari 2009.

Sampai waktu yang diarahkan, Kami sekeluarga pergi menghantar Aiman ke Sekolah Teknik. Eh tetiba dia macam tak suka. Kami berdua sentiasa berusaha menenangkan emosi dia dan menyakinkan dia bahawa ini adalah pilihan yang terbaik yang Allah telah lorongkan. Nak tak nak dia ikut sahaja. Selesai pendaftaran kami pun balik dengan masing-masing timbul perasaan hiba. Ye lah tak pernah berpisah. Minggu depan Aiman telefon, dia kata nak balik. Berderau hati kami, dia taknak belajar di sana ke. Rupanya balik wajib cuti, maknanya semua murid kena balik kampung. Dengar dia bercerita tak seronok kerana takde kawan, dia minta tolong kalau dapat masukkan Enot kawan dia ke sekolah yang sama. Alamak aku bukannya Menteri Pendidikan. Tapi camne pun cuba le yang mana boleh. Akhirnya Enot dapat masuk dan Aiman pun nampak seronok.

Setahun berlalu begitu cepat. Keputusan peperiksaan akhir tingkatan 4 tidak begitu memberangsangkan. Cuti sekolah pun tidak diisi dengan ulangkaji. Aku semakin risau. Sentiasa berdoa di sepertiga malam agar Allah beri perubahan pada kami sekeluarga. Cuti persekolahan tamat dan kami menghantar Aiman untuk masuk semula ke sekolah dengan rayuan untuk mendapatkan asrama dan berjaya. Sebelum pulang, aku menyerahkan sampul surat kepada Aiman dengan memberikan coretan sebagai nasihat kepada Aiman. Dengan harapan dia akan membacanya. Kami pulang dan kehidupan berjalan seperti biasa. Tetapi ada nampak perubahan kepada Aiman dari sudut pelajaran. Nampak dia ada kesungguhan untuk belajar dan meminta kebenaran untuk menghadiri kelas tambahan diluar sewaktu hari Sabtu dan Ahad di Ipoh. Aku perlu menulis surat kebenaran kepada guru untuk surat pelepasan. Sehari demi sehari berlalu dan saat untuk menduduki peperiksaan pun tiba. Kami menghantar dia ke sekolah. Sebelum pulang dia peluk dan mencium tangan aku dan ibunya meminta restu dan doakan kejayaannya. Di saat itu aku telah nampak ada cahaya kejayaannya. Dan kami sentiasa berdoa. Ibunya berpuasa setiap kali dia menduduki peperiksaan pada hari yang telah dijadualkan. Hinggalah akhir kertas, kami menjemputnya di sekolah. Macamana Along, jawabnya ok kot. Alhamdullillah, kata ku.

Waktu cuti, Aiman bekerja dan telah nampak dia sudah dewasa dan boleh berfikir. Aku masih beranggapan dia masih kanak-kanak dan perlu diberi pengawasan sepenuhnya. Tidak boleh tidak rupanya mereka semakin membesar dan perlu memberi kepada mereka ruang untuk berfikir dan bertindak secara orang dewasa. Kami sentiasa mengingatkan dan menasihatkan sahaja.

Seperti biasa, masa begitu cepat berlalu dan tidak disedari, tarikh keputusan SPM telah diumumkan iaitu pada 23hb Mac 2011. Nak ayah hantar Along ke, tanyaku. Takpelah ayah, along pergi dengan kawan-kawan. Pastu duduk sana sampai hari Ahad sebab ada perlawanan rugbi persahabatan. Ok la. Jawabku. Pagi selasa 22hb Mac 2011, Aiman ikut aku pergi kerja dan aku hantar dia ke perhentian Jalan Duta. Malam kami telefon, katanya demam dan nak tidur. Hati kami berdebar-debar menunggu keesokkan harinya.

Hari Rabu 23hb Mac 2011 telah pun tiba, aku ambil cuti untuk duduk di rumah. Tapi nak kena tukar absober kereta yang dah rosak. Sebelum keluar ke bengkel, aku hantar SMS kat Along dengan nasihat, solat sunat dua rakaat dan berdoa, kemudian sujud syukur dengan apa yang Allah bagi..Aiman jawab ok. Aku pun terus ke bengkel. Sementara menunggu 

pertukaran absober dibuat, bertalu-talu sms masuk menawarkan tempat ke IPTS. Aku bertambah risau. Aku kata bukan aku yang nak dapat keputusan tapi aku pulak yang dapat sms. Tetiba jam 11.23 masuk MMS dari Aiman. Berderau aku melihatnya. Eh apa banyak sangat A ni. Betul ke. Aku terus telefon Aiman. Tanyakan kedudukan sebenar. Betul lah Ayah, Along dapat 5A, 1B, 3C dan 1D. Sukanya aku dan bergenang air mata kegembiraan. Terus aku telefon isteriku dan memaklumkan keputusan Aiman padanya. Dengan suara yang terketar-ketar kedengaran, menandakan kegembiraan dan terharu, Isteriku mengingatkan supaya melakukan sujud syukur. Alhamdulillah. Tahniah Aiman. Semoga menjadi suntikan kepada adik-adik yang lain. Dan pada hari itu juga, pulang dari sekolah, Afiq kata pada ku, Ayah afiq peksa no. 1. Gelak besar aku kegembiraan.

Seperti yang telah dijanjikan sebelum exam dulu, inilah diantara hadiah yang diberikan, Yamaha 
Nouvo (RM6,600). Nasib baik ada kedai motor dekat dengan rumah. Jalan kaki pun dah sampai untuk berurusan.Makan masa dua minggu juga untuk tempahan. Mungkin ramai ibu bapa yang berjanji dengan anak-anak untuk beli motor jenis yang sama. Apa-apa pun pesanan untuk Along, gunakan motor ini untuk kegunaan pergi kuliah nanti di samping aktiviti-aktiviti yang menfaat.

Wednesday, March 23, 2011

KE BANDUNG PULAK 27HB FEB – 2HB MAC 2011



Lama dah kita tak pukul, kata Dato Halim kat aku. Hmm...betul jugak tu Tok, jawabku. Tanya le Chairman, dia nak main kat mana. Tapi kali ni kalau main kat Bandung ke menarik jugak, sambung Dato’ Halim. Ok le, nanti saya tanya Dato’ Chairman. Itulah pembuka kata sebelum mesyuarat Board diadakan pada bulan Jan 2011.


Dato’ Wong terus buka dairi untuk tengok tarikh yang sesuai. Kita pergi lepas raya Cina la ye. No problem. 21hb tak boleh sebab i nak hantar wife untuk monthly check up .Kalau 27hb Feb boleh. Kata Dato’ Wong. Sementara aku pergi tengok persediaan mesyuarat, Dato’ Halim dan geng-geng mengadap Chairman. Setuju....sahut Chairman. Bukan main seronok, kata hatiku. Maklumkan orang pencen, apa nak buat lagi. Kita dok ngikut aje le...Ok Izmin, Chairman setuju. U inform le Cheah untuk buat arrangement. Ok. Jawabku. Aku terus telefon Mr Cheah. Ok Tn Hj. Jawab Mr Cheah. Aku uruskan tiket. Pada mulanya seramai lapan orang (Geng Golf Riuh) aje. Akhirnya ada yang bawa isteri dan keluarga. Keseluruhannya seramai 17 orang. Meriah juga le nampaknya.


Hari yang di tetapkan telah tiba. Berkumpul di KLIA di kaunter L18. Dato’ Halim kata, bagus you punya arrangement Izmin. Biasa aje Dato’. Kombinasi Mr Cheah, saya dan KOP Travel. Bagus3, sahut Dato Halim. Selesai check in bagasi, kami pun masuk ke bilik menunggu.



Ramai juga yang nak ke Bandung. Panggilan untuk memasuki perut kapalterbang telah dibuat dan kami beratur untuk tujuan itu. Perjalanan memakan masa 2 jam 10 minit.

Setiba di Lapangan Terbang, wakil agency disana telah menunggu dan terus menaiki kenderaan seterusnya ke Restoran Simpang Raya (makanan Padang) untuk makan tengahari. Dalam perjalanan ke restoran, Eric menceritakan sedikit sebanyak tentang sejarah Bandung. Orangnya terdiri dari orang Sunda. Ketinggian dataran dari aras laut adalah setinggi 700 kaki. Patut lah sejuk. Sampai di Restoran, dari pintu bas hingga ke pintu masuk restaoran, peniaga barang-barang cenderahati berebut-rebut menghampiri kami untuk memujuk dan menyakinkan kami untuk membeli barangan jualan mereka. Baru sampai, apa yang nak dibeli. Penat pun tak hilang lagi. Selesai makan, Pemandu Pelancung Eric namanya terus mencadangkan untuk memulakan aktiviti membuang uang (shopping le tu). Kaum Datin-Datin bukan main seronok lagi. Kaum Dato’-Dato’ mula menunjukkan situasi cemas. Kami yang bujang-bujang relak aje sambil melihat reaksi mereka. Sambil menceritakan sedikit sebanyak tentang Bandung, kami sampai di lokasi yang dimaksudkan. Bagi aku yang tidak minat untuk membeli belah, aku lihat tempatnya biasa aje. Mungkin murah la kot tapi bukannya percuma kalau nak dapatkannya. Selesai membeli belah oleh ahli rombongan, kami pun pergi ke Hotel untuk check in. Aku sebilik dengan Hj Zakaria. Rehat sebentar keluar semula untuk makan malam di Kembara (Restoran makanan Sunda). Sedap lagi makanan Melayu Malaysia. Balik dari makan malam, aku terus tidur kepenatan. Nasib baik esok jam 11 pagi waktu Bandung.


Selepas sarapan pagi, wakil agency mencadangkan agar golfer bertolak jam 9.30 pagi, ini kerana perjalanannya memakan masa hampir satu jam. Setelah Van yang mengendalikan perjalanan


Golfer sampai, kami pun bertolak ke tempat yang ditetapkan. Namanya Mountain View Golf Resort. Sejuk dan cantik permandangannya. Mash ada 45 minit lagi untuk Tee-Off. Sambil duduk berborak, Dato Halim cadang untuk mengisi perut kerana hampir tengahari baru nak mula main. Kami bersetuju dan Dato Halim dituruti oleh Tuan Mat membuat tempahan sandwich. Kami pun turun ke tempat buggy. Setelah susunan di atur, kami mula bergerak ke tempat tee-off yang pertama. Bergambar sudah menjadi tradisi sebagai kenangan. Kemudian aku nampak pekerja menghantar dua bungkus sandwich. Mereka diarah untuk letakkan dibuggy Dato’ Chairman dan Dato’ Mohd Nor. So kami beranggapan, bungkusan kami akan sampai

sebentar kemudian. Tee-Off dimulakan oleh Dato Amir dan seterusnya diikuti mengikut protokol. Selepas kumpulan kami selesai memukul di lubang pertama, Dato Zulhasnan tanya aku, Izmin, sandwich kita mana. Hmm...aku jawab mungkin kejap lagi diaorang hantar. Dato’ Zul pun jawab ok. Saya lapar katanya. Aku pun tersenyum. Sehingga lubang ke lapan, sandwich tak sampai-sampai. Aku mula mengandaikan bahawa semua bungkusan tadi adalah untuk dibahagikan sesama yang ada tetapi sedikit salah faham hingga kumpulan Dato Amir sahaja yang menikmati sandwich tersebut. Dato Zul nampak kelaparan sungguh, kesian jugak dibuatnya. Aku pun lapar. Bila terserempak dalam jarak yang agak dekat tetapi sukar untuk memahami maksud, Dato’ Zul menjerit kepada Dato Md Nor sambil tunjuk tanda isyarat, makanan. Apa yang Dato’ Md Nor faham, dia ingat game macam mana, lalu dia pun jawab Abih dah......Maksudnya game hancus.... Sampai kesudah Dato’ Zul tak merasa sandwich. Selesai main, mandi dan solat, kami pun bercerita tentang sandwich tersebut dan ianya menjadi satu bahan ketawa yang sukar dilupakan sampai bila-bila. Sehingga ke hotel dan makan malam pada hari tersebut masih lagi bercerita tentang sandwich. Game pertama Golf telah pun selesai. Pasukan utama kami cukup berpuashati dan gembira. Mungkin dapat melepaskan ketegangan kerja di pejabat. Aku mengusik Mr Cheah, Kata ku padanya..balik KL nanti aku nak buat novel ‘Cinta Caddy’. Semua gelak dan sambil mengenakan Mr Cheah. Makan malam di Restoran SEAFOOD katanya. Balik ke bilik hotel sementara tunggu kaum ibu sampai dari membeli belah. Selesaikan tanggungjwab dengan mendirikan solat jamak dan sejukkan badan lalu terus turun ke lobi. Jam 7.30 malam waktu tempatan kami terus ke tempat makan (SEAFOOD) tapi tak macam restoran seafood pun. Belasah aje le. Sedang kami menikmati hidangan, kumpulan Datin-Datin pun sampai. Menyelerakan hidangan yang disediakan. Selesai kedua-dua kumpulan menikmati hidangan, kami pun berangkat balik ke Hotel untuk berehat.

Hari kedua, aktiviti Golf kami adalah di Giri Grahana Golf Course. Jauhnya mengambil masa 45 minit. Dengan kemahiran pemandu pelancung kami, kami sampai ke destinasi tepat pada masa yang dirancangkan. Kawasannya nampak lebih eksklusif dan cukup jaga imej. Itulah yang aku fikirkan.


Kami pasukan yang haru biru, tak kira di mana, bising dan gelak ketawa menjadi bekalan kami. Nak jadi cerita, buggy depan kami baru nak tee-off dan pada ketika itu kami berborak dan gelak besar. Di tegurnya kami sekumpulan oleh group depan kami. Rupanya mereka bertaruh dalam permainan tersebut. Itu yang leceh. Kami pun memandang antara satu sama lain. Memulakan pukulan yang baik dan seterusnya hingga akhir. Aku rasa hari ini lebih baik dari hari semalam dari segi markah yang aku perolehi. Tapi aku hanya sekadar untuk mengisi masa sukan aku aje. Setidak-tidaknya ada juga beriadah untuk mengeluarkan peluh. Sebelum memulakan permainan hari ini kami cadang nak ikut Dato’ Zul ke Jakarta untuk ziarah anaknya yang belajar di sana. Namun setelah mengambilkira banyak faktor maka hanya Dato’ Zul saja yang pergi dan kami hanya menghantarnya ke Perhentian Bas ke Jakarta. Sesampai di hotel, aku membantu Dato’ Md Nor untuk mengambil set golf Dato’ Zul untuk simpan dalam biliknya. Bersiap-siap selepas Maghrib untuk ke Kampung Daun suatu lokasi restoran makanan yang cukup damai dan indah dengan berkonsepkan wakaf dan di hiasai anak sungai yang berdesiran, cukup untuk menaikkan selera makan malam di situ Bertempat di dataran setinggi 1000 kaki dari aras laut menyebabkan suasana sejuk menyegarkan minda kami. Hampir dua jam setengah kami bersantai disana, dan kami balik untuk berehat dan berkemas-kemas untuk pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.


Hari terakhir, selepas sarapan, aku pergi mencari cenderahati untuk isteri dan anak-anak. Walaupun tidak semua yang diminta oleh anak-anak dapat aku cari tetapi tetap mengadakan cenderahati buat mereka. Selesai membeli belah buat kali terakhir kami pun berangkat ke Lapangan Terbang dan dalam perjalanan, Dato’ Pengerusi mencadangkan ke Shenzen pula pada bulan Julai. Agrrrhhh parah aku ni. Hehehehe. Walaubagaimanapun kami tetap gembira dengan kumpulan kami ini. Kena labur lebih banyak untuk dapat duit belanja ke Shenzen.

Tuesday, February 15, 2011

PERJUMPAAN KELUARGA WARIS HJ HASBULLAH DAN HAJJAH RAUDHAH PADA 4HB FEB 2011


Lama juga tidak ada dibuat perjumpaan aktiviti bersama keluarga waris Hj Hasbullah dan Hajjah Raudhah. Apa pun bagi mengadakan majlis seumpama ini sokongan setiap keluarga dan pengorbanan masa perlu ada pada setiap waris untuk memastikan majlis ini terlaksana. Teringat ucapan arwah ayah sewaktu perjumpaan yang serupa di adakan di rumah Pak Uda dan Uda di Hutan Melintang. Ayah berpesan aktiviti seumpama ini hendaklah diteruskan kerana ianya adalah aktiviti yang baik dan dapat merapatkan silaturrahim.

Mai le datang umah Alang. Aku dapat sms dari Alang mengajak datang ke rumahnya. Lauk apa tanya ku selamba. Alang jawab Ayam Sujud resepi arwah mak. Sedap tu, aku jawab tapi kami

la ni berada di Ipoh hantar Angah balik asrama dan akan bertolak balik ke Sg Buloh jam 5.00 petang. Hari tu bertarikh 15b Januari 2011. Tak sempat kot. Dia jawab takpe datang le makan malam, kami raikan makmai dan mak dah. SMSnya lagi. Aku dah congak-congak memang malas sebab penat dan nak kena gosok baju kerja bila sampai dirumah. Jam 8.00 malam baru letakkan badan untuk rihat sebentar, masuk lagi sms dari Walid. Mai le dah sampai umah ke. Aku terpaksa jawab tak sempat le. Aku cadangkan kita buat kenduri arwah ayah le kebetulan tahun 2011 adalah tahun di mana hari dan tarikh 21.01.2011 adalah sama hari dan tarikh 21.01.2000 bersamaan hari Jumaat sewaktu ayah meninggal sebelas tahun yang lalu. Dapat maklumbalas dari Alang katanya buat kat umah Min le, dah lama adik beradik tak datang umah Min. Alamak kata hatiku. Buat kat umah yang tua atau yang nombor dua tua atau yang nombor tiga tua le. Lebih afdhal kataku untuk mengelak. Alang diam, tak tahu le samada dia kecil hati atau sedang berfikir. Kemudian masuk sms dia menjemput untuk mengadakan majlis tahlil arwah dan perjumpaan keluarga pada 4hb Feb 2011. Tempat belum ditentukan. Itulah kelebihan Alang aku ni. Dia akan usahakan agar hubungan adik beradik dapat dijalinkan dan dia sentiasa berusaha ke arah itu. Seminggu selepas itu masuk lagi SMS mengagihkan lauk-lauk yang perlu disediakan oleh keluarga masing-masing. Aku diarah untuk membawa anggur dan air sirap bandung. Dua hari kemudian, Alang hantar sms lagi dengan menyatakan tempat lokasi majlis tersebut akan diadakan iaitu di NUR LAMAN BESTARI di Ulu Yam.

Alamak, hari tu Hari Raya Cina, Angah balik hari Rabu. Pasar Borong buka ke. Macam-macam bermain dalam fikiran ku. Mana lagi nak ingatkan kerja yang diberikan untuk diselesaikan oleh Bos di pejabat. Namun dalam hal-hal sebegini aku dah agak biasa untuk berfikir bagi menyelesaikan setiap tugas mengikut keutamaan dan menggunakan saluran yang sesuai. Aku call Abang Zack. Bang, Pasar borong buka ke esok (Hari Rabu 3hb Feb 2011). Dia kata buka dan kenapa. Aku terus kata tolong belikan saya anggur dalam 10 kilo. Nanti saya bayar. Ok jawabnya. Selesai satu masalah. Tetiba rakanku sms minta tengok2 WS dia sewaktu dia berada di Jepun cuti bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina. Aku jawab ok. Bila selesai kerja ku di pejabat. Aku pergi ke pejabat subsidiari ku untuk melihat Pajero yang dijanjikan oleh En Said untuk dibawa pulang ke pejabat. Hampeh bayang pun takde. Aku terus ke WS sebelum aku balik ke pejabat. Semuanya berjalan dengan baik. Aku SMS kat rakan memaklumkan semuanya ok. Dia ucapkan terima kasih kerana membantu. Dalam pukul 3, Angah telefon mengatakan dia dah berada di Medan Gopeng untuk bertolak ke KL Sentral lebih kurang jam 4.30 petang. Aku anggarkan jam 7.00 malam baru akan sampai di KL. Rupanya jam 6.30 dia dah sampai kerana dapat naik bas lebih awal. Macam biasa, dia bercerita sampai kerumah. Lepas solat maghrib, aku ajak isteriku untuk pergi ke Central Mart dan pasar malam untuk tambah apa yag kurang. Selesai beli semua barang keperluan untuk esok barulah terasa lega. Nurul beritahu esok pagi dia ada tuisyen ganti dari 8 - 10 pagi. Aku ngangguk kepala tanda akan diuruskan. Aku masuk tidur awal kerana penat dan jaga seperti biasa jam 4.30 pagi. Selepas subuh aku mula bantu apa yang boleh seperti masukkan anggur dalam bekas, masukkan tong air dalam kereta dan kemudian pergi hantar nurul tuisyen.


Tugas mengejut Along, Angah dan Afiq memang leceh. Dari kul 9.00 sampai 9.45 baru selesai ketiga-tiga putera kesayangan aku ni bangun. Hmmm banyak kena bersabar dengan diorang ni. Dah siap semuanya, kami pun terus pergi mengambil nurul dan terus ke destinasi.

Sampai di Persimpangan Batu Caves dan Ulu Yam, Eh mana jalan nak ke Ulu Yam ni. Alamak dia dah tutup, mesti ada jalan baru yang aku tak tahu. Kat Batu Caves pulak bukan main sesak, mungkin ada ngaji pagi tu kot. Pak Long dan Pak Uda dah mula call aku. Aku sendiri pun dah sesat kataku. Aku cuba hubungi Alang untuk selesaikan masalah tu. Aku gunakan GPS aku dan aku selalu macam tak yakin dengan GPS ni tapi ikut aje. Tetiba eh dah sampai kat simpang yang biasa untuk menuju ke Ampangan Ulu Yam. Hehehehe gelak aku tanda hairan. Hebat ciptaan manusia yang Allah berikan. Memang betul lokasi yang diarahkan, aku nampak simpang ke lokasi tersebut dengan terpampang kain rentang “Selamat Datang, Waris Hj Hasbullah dan Hajjah Raudzah” dengan gambar lama kami sewaktu majlis yang sama di rumah Angah di Port Dickson. Aku terus berhentikan keretaku dan mengambil gambar pertama untuk majlis tersebut. Selesai mengambil gambar, aku terus masuk ke kawasan Eco Resort dan berselisih dengan Wafi dan Hazim, sambil mengangkat tangan terus memakirkan kenderaan ku. Mengangkat barang ke lokasi di tepi sungai dan dah ramai yang sampai. Pak Long dan Pak Andak masih belum sampai. Bersalaman

dan bertanya khabar. Majlis kemudian dimulakan sejurus Along sekeluarga dan Abang Din bersama Iwan dan Ash tiba. Bacaan Yaasiin dan tahlil untuk ahli keluarga yang telah pergi terlebih dahulu terutama ayah, emak dan andak. Selesai bacaan dan doa, maka menderulah masing-masing untuk menikmati hidangan yang telah tersedia.
Hmmm.......... tengah lapar, apa pun sedap. Makan itu makan ini, minum air bandung. Pastu dok lihat sungai...nak mandi ke tak. Aku memang tak suka lebih-lebih lagi setelah mengalami pengalaman ngeri sewaktu angah berusia dalam umur 4 tahun, dia dihanyutkan di sungai di Ulu Yam ni le. Dan aku tidak dapat menyelamatkannya. Namun Allah mengasihani aku, tetiba ada makhluk hitam seperti manusia keluar dari sungai dan mengangkat angah ke tebing. Aku bersyukur dan tak sempat berterima kasih kepada makhluk tu kerana tetiba aje dia hilang dari pandangan.

Akhirnya selepas solat Zohor aku pun turun dalam keadaan tidak ada keyakinan di sebabkan kedudukan dalam sungai yang tidak rata dan berbatu-batu. Alamak punyalah sejuk air ni. Pergh

dah mula menggigil. Cepat-cepat aku cari batu untuk duduk dan melihat A’ie bermain-main dan sesekali aku percikkan air ke mukanya. Setelah penat dan kesejukan yang tidak tertahan, aku pun naik ke darat semula bersama isteriku dan A’ie. Terus pergi ke chalet untuk mandi dan tukar pakaian. Sebelum balik kami ambil gambar beramai-ramai sebagai kenangan dan kami cuba mengambil gambar mengikut susunan sewaktu 40 tahun yang lalu ketika angah melangsungkan perkahwinan. Dengan saiz dan keadaan sekarang dan kerusi yang tidak disediakan, susunan kami pada ketika ini tidak begitu teratur namun cukup bermakna bagi kami adik beradi. Pada tahun
ini, gambar yang diambil tidak dihadiri oleh angah kerana ada urusan lain dan ketiadaan andak yang telah pergi meninggalkkan kami pada tahun 2010 yang lau. Al-Fatihah untuk arwah Ayah, Mak dan Andak. Semoga mereka aman di sana. Sehingga berjumpa lagi. Adios....

Monday, January 17, 2011

CORETAN JANUARI 2011

Terlalu banyak kata-kata semangat yang disebut bagi memotivasikan seseorang. Ianya bergantung kepada situasi yang sesuai. Sebagai contoh dalam radio sewaktu aku dalam perjalanan pergi dan balik di antara rumah dan pejabat, terdapat satu iklan yang berkaitan dengan kata-kata semangat yang hanya melibatkan tiga patah perkataan . Di antara kata-kata yang tersebut, ”Saya sayang awak”, “Awak sungguh hebat”, “Memang salah saya”, “Kamu pasti gagal”.

Kebiasaannya kita akan dengar kata-kata semangat ni sewaktu pertandingan, sewaktu peperiksaan dan juga tak ketinggalan sewaktu awal tahun masuk sekolah. Guru-guru menjadi fokus oleh murid-murid untuk mendengar kata-kata semangat. Aku juga pernah melalui dan menerima kata-kata semangat dan aku mula mengambil berat dan memahami sungguh-sungguh kata-kata semangat yang diberikan sewaktu aku belajar di Universiti Putra Malaysia. Seorang Pensyarah yang begitu objektif dan positif. Hari pertama memulakan mata pelajarannya. Dia berkata kepada murid tuanya termasuk aku dengan kenyataaannya, “Kamu semua pada hari pertama kelas saya ini, saya telah merekodkan kamu semua dapat markah `A’ dalam mata pelajaran yang saya ajar. Namun apa bila sampai penghujungnya, kamu lah yang akan menentukan markah sebenar yang akan kamu perolehi”. Pergggghhhhh.... betul-betul bersemangat aku dibuatnya tapi realitinya sampai penghujung, semangat pun tah kemana aku cuma dapat B+ matapelajaran tersebut.

Berbalik suasana si sekolah, yang mungkin banyak menerima kata semangat ialah murid tahun 1, murid tingkatan 1 (yang baru dapat keputusan UPSR) dan murid tingkatan 4 (yang dapat keputusan PMR dan menunggu untuk pindah sekolah jika dapat). Bila dengar anak balik dari sekolah, katanya cikgu cerita pasal subjek biologi, cikgu kata jangan harap le kamu nak skor, pengalaman cikgu sebelum ni semuanya dapat teruk. Cikgu....cikgu, kata hati ku. Tapi aku yakin, apa yang diluahkan sebenarnya adalah sikap mereka sendiri. Dengan itu kita boleh le menilai sedikit sebanyak sikap seseorang apabila dia berkata-kata. Anak aku dah mula goyah bila dia dengar kata cikgu tersebut. Dia mula nak tukar subjek lain yang boleh menyebabkan bebanan kepada dia sendiri kerana bila tukar subjek, dia kena belajar sendiri kerana sekolah tidak menyediakan kelas untuk subjek bercampur-campur ni. Hmmm... sabar la angah, kot-kot angah dapat Teknik, kita pindah sekolah le, jawab aku. Tetiba pada 7hb Jan (hari Jumaat, jam 3.43 petang, aku dapat panggilan dari Sekolah Teknik Ipoh mengatakan Ammar kena lapor diri pada hari Isnin 10hb Januari 2011. Terus aku SMS pada isteri dan Ammar. Bukan main seronok Ammar dapat berita tu. Tapi macam mana aku nak hantar, aku ada Sesi Sumbang Saran pada hari Isnin. Takpe aku akan cuba sampai di Ipoh seperti yang di janjikan.

Hari Sabtu dan Ahad mula buat persiapan Ammar. Barang keperluan mandi, tidur dan sekolahnya. Seronok nampaknya. Lebih-lebih lagi bila bagi duit poket macamana aku bagi pada Along dia dulu. Meleret senyum sampai ke telinga. Anak-anak, kata hati ku, seronoknya jadi anak.

Hari Isnin pun tiba, Ammar pergi sekolah dengan berpakaian biasa untuk dapatkan surat berhenti sekolah. Aku dari pejabat, memantau dia takut-takut ada sebarang masalah yang timbul. Kekadang bebudak ni bukan nya tahu sangat nak berbicara. Ammar cerita lagi bila dalam kereta, Kakak kerani tu ingat angah bukan kelas Ibnu Sina tapi macam budak kelas tak pandai. Pastu aku selamba aje jawab, kenapa angah tak cakap kat akak tu, angah ingat dia macam cleaner aje. Dia gelak aku pun gelak sama. Itu lah, manusia ni hanya melihat luaran dan rupa yang elok. Yang tak berapa nak elok rupanya dianggapnya tak pandai le, tak baik le, pengganas le dan bermacam-macam lagi, sedangkan kalau kita tengok kes yang besar-besar yang mengakibatkan penipuan berbilion-billion ringgit kebanyakkannya orang yang rupa paras yang segak yang melakukannya. Dunia-dunia.

Habis aje sesi tersebut, aku terus tidak memandang ke belakang. Hidupkan enjin dan terus meluru ke rumah. Semua dah siap. Hanya Aku, isteriku, Ammar dan A’ie saja yang turut serta. Hujan pulak sepanjang jalan. Dengan kederasan enjin berkuasa kuda 2.4 kenderaan ku, aku menekan sehingga 140km/ jam. Serah pada tuhan tentang keselamatan kami. Alhamdulillah sampai di sekolah Teknik jam 4.00 petang. Kira saat-saat akhir untuk hari itu. Namun semua guru dan kakitangan sekolah yang aku berurusan memang memberikan kerjasama yang baik. Tahniah guru-guru dan kakitangan SMTI.

Selesai semua urusan, kami berborak dengan Ammar. Nampak dia gelisah sewaktu kami hendak pulang. Matanya merah tetapi tidak mengalirkan air mata. Kami bersalaman dan terus ke Jaya Jusco di sana untuk makan. Sebelum selesai urusan Ammar, aku tidak rasa lapar tetapi sejurus sampai di Jusco, macam-macam yang ingin dimakan. Seperti biasa, aku menawarkan kepada isteriku untuk membuat pilihan makanan apa yang ingin dicuba. Maka kami pun memasuki satu Restoran dan akhirnya kami merasakan bahawa kami membuat pilihan yang tepat untuk menikmati makanan di Restoran itu.

Sebelum itu, kami pergi mencari baju A’ie untuk menukar baju yang dipakai kerana dia terkencing dalam seluar jeansnya. Kami singgah di Petronas Hentian Sebelah di Simpang Pulai untuk mengerjakan solat jamak Maghrib dan Isyak kemudian terus memandu kereta untuk pulang. Sampai di rumah aku terus mandi dan makan roti yang dibeli kerana terasa lapar. Aku terus tidur untuk merehatkan badan yang terasa bagai nak pecah pinggang dan kebas kaki ku menekan pedal keretaku.

Semoga Ammar gembira di sekolah baru yang mana merupakan bekas sekolah ibunya dan alongnya. Tercapai le hasrat dia hendaknya tentang apa yang diimpikan kelak. Aku dan isteri hanya berusaha untuk menyediakan keperluannya dan menyokong dengan kata-kata semangat. Selebihnya terserahlah kepadanya untuk berjaya. Amin.

Tuesday, December 28, 2010

MASA

Masa itu memang amat berharga. Itu sebab terdapat peribahasa `Masa itu emas’. Ada yang berkata kita dah tak cukup masa, kita kena segera. Ada yang kata, `Jangan buang masa’ dan kebiasaannya kita akan dengar dalam dewan peperiksaan, Masa dah tamat, sila berhenti.

Sebenarnya semua kata-kata, peribahasa itu selaras dengan ayat masa iaitu dalam surah Al-Asr (Demi masa) yang maksud ayatnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh, dan ingat mengingat demi kebenaran dan ingat menginat demi kesabaran”.

Berdasarkan kepada ayat ini, maka timbullah kata-kata manusia berhubung dengan masa ini. Ini menunjukkan fitrah manusia ini selari dengan ketentuan dan arahan dari Tuhannya. Namun kita telah dicalar dengan kebongkakan dan sikap dengki Syaitan yang memohon kepada Allah untuk merosakkan kehidupan manusia di dunia ini. Maka bermacam-macam yang terjadi ke atas manusia disebabkan oleh tipu daya syaitan terutama berkaitan dengan masa.

Kita pasti dapat merasakan pada ketika ini semua manusia berkata cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar dah hampir kepada penghujung tahun 2010. Aku pun rasanya baru mencoretkan tentang azam baru pada tahun lepas yang mana rasanya semuanya tidak tercapai atau pun tidak sempurna. Tapi begitu lah masa tidak pedulikan kita dan terus meninggalkan kita sekiraya kita leka dan lalai. Bagaimana manusia menentukan masa, kita pernah belajar tapi masa yang sebenarnya hanya Allah saja yang mengetahui. Ada satu badan yang mengendalikan dan mengawal pergerakan masa dunia dengan di bantu dengan sistem dan peralatan yang berkaitan dengan masa namun jika kita bandingkan beberapa utas jam yang digunakan oleh setiap individu, kita dapati waktu yang ditunjukkan pasti berbeza dari saat, minit dan jam berdasarkan kepada di mana lokasi dan garisan latitud dan longitud mereka berada. Di situ kita sudah dapat melihat kebesaran tuhan dan pengendalianNya dalam mengatur segala urusan di bumi dan cakerawala. Bila kita melihat kebesaran Allah terhadap pengerakan cakerawala pasti tidak tercapai oleh akal kita bagaimana kehebatan dan kekuasaan Allah terhadap makhlukNya. Setiap benda yang berada di langit dan di bumi atau diplanet mana sekali pun tetap mengikut masa yang telah ditentukan oleh Allah. Dan akhir sekali para saintis telah mengkaji bahawa satu hari nanti semua cakerawala tidak mengikut putaran masa yang di tetapkan dan maka akan hancurkan semua cakerawala dan waktu itulah di namakan sebagai Kiamat. Berlakunya kiamat itu bukan bermakna Allah lemah tetapi sebaliknya waktu itu adalah penentuan sebagai hari pembalasan kepada manusia tentang setiap amalan yang dibuatnya di muka bumi ini.

Pernah satu ketika aku disurh oleh Bekas Pengerusi Surau Al-Hidayah untuk mencedok dan menulis semula ceramah yang disampaikan oleh seorang penceramah. Aku rasa itulah tugas pertama dari sudut penulisan yang diberikan oleh Pengerusi surau pada ketika itu. Alah, untuk taip semula apa susahnya. Rupa-rupanya susah. Sebabnya nak mengolahkan penyusunan ayat berbanding ceramah yang disampaikan secara selamba agak sukar untuk memberikan kefahaman kepada mereka yang tidak mempunyai kesempatan untuk hadir pada majlis ceramah tersebut. Di antara isi kandungan ceramah tersebut ialah bagaimana kehidupan manusia berada di lima alam yang berbeza dan manusia tidak boleh ingkar terhadap tempoh yang diberikan kepada mereka. Lima (5) alam tersebut ialah Alam Roh, Alam Rahim (dalam kandungan ibu), Alam Dunia, Alam Barzah dan akhir sekali Alam Akhirat. Sewaktu di alam roh, Allah SWT pernah bertanya kepada semua roh yang akan dihidupkan di alam dunia dengan pertanyaan “Adakah Aku Tuhanmu, maka jawaplah semua roh dengan jawapan Maka Kami menyaksikan” namun apabila manusia dibebaskan dari alam kandungan ibu ke alam dunia, ramai yang mengingkari penyaksian tersebut dan sering cuai dan lalai dengan masa yang diberikan. Lalai dan cuainya manusia terhadap masa yang diberikan disebabkan mereka leka dengan keindahan dunia. Itu yang menjadikan manusia terkejar-kejar kemewahan dunia tanpa meyedari yang kemewahan itu tidak boleh dibawa ke alam akhirat atau pun menjamin mereka bahagian di dunia dan juga diakhirat. Sedangkan Nabi Muhammad pernah memberikan perumpamaan bahawa dunia ini disamakan dengan bangkai haiwan yang tidak berharga.

Dalam Al-Quran, Allah SWT menceritakan bagaimana bila sampai waktunya untuk manusia kembali kepadaNya, maka tidak terlewat atau tercepat walau sesaat sekalipun dan juga diceritakan bahawa manusia akan menyesal pada ketika itu dan meminta kepada Allah SWT untuk memberi peluang kembali ke dunia agar dapat mereka membuat amalan walau sesaat sekali pun.

Dari sudut keduniaan, masa memang begitu penting bagi manusia yang ingin berjaya. Dengan sedikit ilmu yang Allah berikan kepada manusia, manusia boleh merekacipta berbagai-bagai alat yang boleh mempercepatkan perjalanan hidup. Itu yang kekadang kita terasa sangat bahawa masa berjalan begitu cepat. Sebagai contoh, dulu orang pergi haji sewaktu aku kecil dikatakan mengambil masa enam (6) bulan pergi dan balik dengan menaiki kapal laut. Sekarang hanya lapan (8) jam sahaja sudah boleh menjejakkkan kaki ke bumi Arab. Dulu kalau nak ke Utara atau Selatan Semenanjung Malaysia, kena ikut jaan lama makan masa lapan (8) jam baru nak sampai. Kini separuh masa dari masa dahulu dapat dijimatkan dengan adanya Lebuhraya Utara Selatan. Dulu nak cari lokasi berpusing-pusing masih tak jumpa-jumpa, kini dengan menggunakan GPS, telefon bimbit dapat menunjuk arah ke lokasi yang kita nak cari dengan tepat. Betapa hebatnya ilmu manusia. Ini yang menyebabkan manusia akan hilang pertimbangan dan merasakan ingin menguasai dunia yang menyebabkan bumi menjadi mangsa kerakusan mereka-mereka yang bijak pandai. Tidak kurang juga mereka yang diberikan kelebihan ilmu tersebut sentiasa bersyukur kepada pemilikNya.

Namun nilai manusia itu samada bijak, cerdik, kaya atau pun miskin bergantung kepada ketaqwaannya kepada Tuhannya. Moga-moga aku dan generasi pewarisku sentiasa berada di dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Amin.

Monday, November 22, 2010

HARI ULANG TAHUN PERKAHWINAN KU

Setiap bulan aku cuba mencoretkan sesuatu dalam blog aku sebagai dairi bulanan. Tapi bulan November masih belum ada idea untuk dituliskan. Sehinggalah pagi 10hb November 2010, aku telah mendapat sumber apabila sedang aku menghirup (milo + oat), dia bertanya, tak ucap apa-apa pada Ibu. Aku mengangguk tanda faham. Berhenti seketika dari menghirup lalu memandang wajahnya dan ucapan ringkasku padanya. Selamat Ulang Tahun Perkahwinan. Terima Kasih kerana sudi menjadi isteri saya dan menjaga saya dengan baik sepanjang perkahwinan ini. Semoga Allah merahmati kita dan ampunkan dosa kita.

Itulah ayat yang ku abadikan di Facebook yang kini menjadi gilaan ramai untuk berkomunikasi.
“Sedang menghirup (milo + oat), dia bertanya, tak ucap apa-apa pada Ibu. Aku mengangguk tanda faham. Berhenti seketika dari menghirup lalu memadang wajahnya dan ucapan ringkasku padanya. Selamat Ulang Tahun Perkahwinan. Terima kasih kerana sudi menjadi isteri saya dan menjaga saya dengan baik sepanjang perkahwinan ini. Semoga Allah memberkati kita dan ampunkan dosa kita”
41 minutes ago •

• Zairulazmaini Ahmad Zahari, Azman Roslan, Zawaliah Ishak and 12 otherslike this.

o
Roslan Ismail amin... Tahniah
39 minutes ago • Like
o
Izmin Hasbullah Terima kasih.
38 minutes ago • Like
o
Ariff Jemain Oh. Sungguh menyentuh perasaan. Selamat ulang tahun tuan!
31 minutes ago • Like
o
Mazliah Bt Othman tahniah..semuga jodoh berkekalan sehingga ke akhir hayat..amin..
30 minutes ago • Like
o
Izmin Hasbullah Yang Ariff: Terima kasih Tuan. Jangan lupa doakan untuk kami.
29 minutes ago • Like
o
Izmin Hasbullah Maz: Terima Kasih.
29 minutes ago • Like
o
Aina Mardiyah semoge kekal hingga ke syurga ♥♥♥
23 minutes ago • Like
o
Izmin Hasbullah Aina: Amin...
22 minutes ago • Like
o
Lyla Ibrahim waaa...
congrats2...
semoga berkekalan n trus diberkati...
18 minutes ago • Like
o
Izmin Hasbullah Lyla: InsyaAllah dan Amin
17 minutes ago • Like
o
Hawayah Mohd Tahir Tahniah & Happy Anniversary.....moga berbahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat......ehhhh...ehhhh....Anniversary Min & Man sama ye......


Between You and Shasha Osman

Shasha Osman November 10 at 10:36am Report
“sgt terharu dgn tanda penghargaan u terhadap isteri u. airmata bergenang membaca, menghayati dan mengerti akan maksud ucapan itu. i doakan agar u sekeluarga bahagia hingga ke akhir hayat.”

Ucapan tahniah dari kengkawan, yang diterima setakat 10.36 pagi, 10hb November 2010. Itu le keistemewaan IT sekarang ni, bukan sahaja untuk tujuan kerja tetapi merapatkan silaturrahim. Tak ketinggalan juga IT boleh jadi bahan fitnah sesama manusia. Pokok pangkalnya tepuk dada dan tanya tujuan kemana arah yang nak dituju.

Berbalik tentang hari ulangtahun perkahwinan, ianya merupakan salah satu hari-hari yang diraikan oleh seseorang. Bergantung sejauh mana `sentimental value’ yang dirasakan oleh seseorang.

Itulah ucapan yang diterima dari kengkawan, ucapan biasa, ucapan terharu, ucapan mengusik semuanya ada. Dan apabila sampai dirumah, isteriku berikan kad ucapan hasil tangannya sendiri. Di muka hadapan tertulis Happy 19th Anniversary. Sekali pandang macam hasil seni murid darjah 4. Tapi aku tetap bangga dan menghargai. Di dalamnya tertulis:

Wahai Suami....

Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau kurang meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang aku bersuara tanpa berfikir
Semua perkataanku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tanganku
Sementara aku cerita kehidupan isteri
Harap mengerti...

Kadang-kadang aku sakiti hatimu
Apabila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangimu

Kadang-kadang aku berubah
Pada pandanganmu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersamamu

Ingin aku beritahumu.....
Betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku
Kau pelindungku – wahai suami tercinta

Daripada isterimu:
10hb Nov 2010


Terharu bila membacanya, bila kita dihargai. Kadangkala kita membuat andaian sendiri yang tidak menyamai dengan apa yang diharapkan oleh isteri kita. Komunikasi antara dua pihak akan meningkatkan persefahaman antara suami isteri. Mudah-mudahan kaedah komunikasi kami sentiasa dapat diuruskan dengan baik sehingga akhir hayat.

Dalam usia 19 tahun perkahwinan ini berbagai ujian susah dan senang di lalui bersama. Tidak ada satu perkahwinan pun yang boleh memberi jaminan akan sentiasa berada di dalam keadaan aman dan tenang. Namun yang paling penting cara penyelesaian yang positif perlu digunapakai. Dari itu kita akan dapat mempelajari kesilapan dan memperbaiki di masa hadapan.

Semuga Allah panjang usia perkahwinan ini dan sentiasa Allah melindungi kami dari segala mihnah dunia. Amin..