Tuesday, December 28, 2010

MASA

Masa itu memang amat berharga. Itu sebab terdapat peribahasa `Masa itu emas’. Ada yang berkata kita dah tak cukup masa, kita kena segera. Ada yang kata, `Jangan buang masa’ dan kebiasaannya kita akan dengar dalam dewan peperiksaan, Masa dah tamat, sila berhenti.

Sebenarnya semua kata-kata, peribahasa itu selaras dengan ayat masa iaitu dalam surah Al-Asr (Demi masa) yang maksud ayatnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh, dan ingat mengingat demi kebenaran dan ingat menginat demi kesabaran”.

Berdasarkan kepada ayat ini, maka timbullah kata-kata manusia berhubung dengan masa ini. Ini menunjukkan fitrah manusia ini selari dengan ketentuan dan arahan dari Tuhannya. Namun kita telah dicalar dengan kebongkakan dan sikap dengki Syaitan yang memohon kepada Allah untuk merosakkan kehidupan manusia di dunia ini. Maka bermacam-macam yang terjadi ke atas manusia disebabkan oleh tipu daya syaitan terutama berkaitan dengan masa.

Kita pasti dapat merasakan pada ketika ini semua manusia berkata cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar dah hampir kepada penghujung tahun 2010. Aku pun rasanya baru mencoretkan tentang azam baru pada tahun lepas yang mana rasanya semuanya tidak tercapai atau pun tidak sempurna. Tapi begitu lah masa tidak pedulikan kita dan terus meninggalkan kita sekiraya kita leka dan lalai. Bagaimana manusia menentukan masa, kita pernah belajar tapi masa yang sebenarnya hanya Allah saja yang mengetahui. Ada satu badan yang mengendalikan dan mengawal pergerakan masa dunia dengan di bantu dengan sistem dan peralatan yang berkaitan dengan masa namun jika kita bandingkan beberapa utas jam yang digunakan oleh setiap individu, kita dapati waktu yang ditunjukkan pasti berbeza dari saat, minit dan jam berdasarkan kepada di mana lokasi dan garisan latitud dan longitud mereka berada. Di situ kita sudah dapat melihat kebesaran tuhan dan pengendalianNya dalam mengatur segala urusan di bumi dan cakerawala. Bila kita melihat kebesaran Allah terhadap pengerakan cakerawala pasti tidak tercapai oleh akal kita bagaimana kehebatan dan kekuasaan Allah terhadap makhlukNya. Setiap benda yang berada di langit dan di bumi atau diplanet mana sekali pun tetap mengikut masa yang telah ditentukan oleh Allah. Dan akhir sekali para saintis telah mengkaji bahawa satu hari nanti semua cakerawala tidak mengikut putaran masa yang di tetapkan dan maka akan hancurkan semua cakerawala dan waktu itulah di namakan sebagai Kiamat. Berlakunya kiamat itu bukan bermakna Allah lemah tetapi sebaliknya waktu itu adalah penentuan sebagai hari pembalasan kepada manusia tentang setiap amalan yang dibuatnya di muka bumi ini.

Pernah satu ketika aku disurh oleh Bekas Pengerusi Surau Al-Hidayah untuk mencedok dan menulis semula ceramah yang disampaikan oleh seorang penceramah. Aku rasa itulah tugas pertama dari sudut penulisan yang diberikan oleh Pengerusi surau pada ketika itu. Alah, untuk taip semula apa susahnya. Rupa-rupanya susah. Sebabnya nak mengolahkan penyusunan ayat berbanding ceramah yang disampaikan secara selamba agak sukar untuk memberikan kefahaman kepada mereka yang tidak mempunyai kesempatan untuk hadir pada majlis ceramah tersebut. Di antara isi kandungan ceramah tersebut ialah bagaimana kehidupan manusia berada di lima alam yang berbeza dan manusia tidak boleh ingkar terhadap tempoh yang diberikan kepada mereka. Lima (5) alam tersebut ialah Alam Roh, Alam Rahim (dalam kandungan ibu), Alam Dunia, Alam Barzah dan akhir sekali Alam Akhirat. Sewaktu di alam roh, Allah SWT pernah bertanya kepada semua roh yang akan dihidupkan di alam dunia dengan pertanyaan “Adakah Aku Tuhanmu, maka jawaplah semua roh dengan jawapan Maka Kami menyaksikan” namun apabila manusia dibebaskan dari alam kandungan ibu ke alam dunia, ramai yang mengingkari penyaksian tersebut dan sering cuai dan lalai dengan masa yang diberikan. Lalai dan cuainya manusia terhadap masa yang diberikan disebabkan mereka leka dengan keindahan dunia. Itu yang menjadikan manusia terkejar-kejar kemewahan dunia tanpa meyedari yang kemewahan itu tidak boleh dibawa ke alam akhirat atau pun menjamin mereka bahagian di dunia dan juga diakhirat. Sedangkan Nabi Muhammad pernah memberikan perumpamaan bahawa dunia ini disamakan dengan bangkai haiwan yang tidak berharga.

Dalam Al-Quran, Allah SWT menceritakan bagaimana bila sampai waktunya untuk manusia kembali kepadaNya, maka tidak terlewat atau tercepat walau sesaat sekalipun dan juga diceritakan bahawa manusia akan menyesal pada ketika itu dan meminta kepada Allah SWT untuk memberi peluang kembali ke dunia agar dapat mereka membuat amalan walau sesaat sekali pun.

Dari sudut keduniaan, masa memang begitu penting bagi manusia yang ingin berjaya. Dengan sedikit ilmu yang Allah berikan kepada manusia, manusia boleh merekacipta berbagai-bagai alat yang boleh mempercepatkan perjalanan hidup. Itu yang kekadang kita terasa sangat bahawa masa berjalan begitu cepat. Sebagai contoh, dulu orang pergi haji sewaktu aku kecil dikatakan mengambil masa enam (6) bulan pergi dan balik dengan menaiki kapal laut. Sekarang hanya lapan (8) jam sahaja sudah boleh menjejakkkan kaki ke bumi Arab. Dulu kalau nak ke Utara atau Selatan Semenanjung Malaysia, kena ikut jaan lama makan masa lapan (8) jam baru nak sampai. Kini separuh masa dari masa dahulu dapat dijimatkan dengan adanya Lebuhraya Utara Selatan. Dulu nak cari lokasi berpusing-pusing masih tak jumpa-jumpa, kini dengan menggunakan GPS, telefon bimbit dapat menunjuk arah ke lokasi yang kita nak cari dengan tepat. Betapa hebatnya ilmu manusia. Ini yang menyebabkan manusia akan hilang pertimbangan dan merasakan ingin menguasai dunia yang menyebabkan bumi menjadi mangsa kerakusan mereka-mereka yang bijak pandai. Tidak kurang juga mereka yang diberikan kelebihan ilmu tersebut sentiasa bersyukur kepada pemilikNya.

Namun nilai manusia itu samada bijak, cerdik, kaya atau pun miskin bergantung kepada ketaqwaannya kepada Tuhannya. Moga-moga aku dan generasi pewarisku sentiasa berada di dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Amin.

No comments:

Post a Comment