Monday, June 29, 2015

KINI AKU KEMBALI (2015 -2011)

Assalamualaikum.

Alhamdulillah masih diberi peluang untuk menghirup udara yang tidak perlu dibayar bahkan tidak perlu dikenakan GST. Diam tak diam telah hampir 4 tahun aku tidak bernukil di sini. Mungkin banyak lagi media sosial yang lebih cepat dan tersebar untuk mendapatkan maklumat tidak kira apa pun kategorinya samada ilmu, fitnah dan sebagainya. Maka kita lah sebagai nakhoda untuk memilih arah mana untuk kita menjuruskan maklumat yang kita perolehi. 

Kini aku kembali, bukan kerana apa tetapi sekadar ditegur oleh seorang kenalan baru menyentak ingatan terhadap blog yang telah lama ditinggalkan. Meski pun 4 tahun berlalu namun terlalu banyak peristiwa yang dilihat, di dengar dan diperkatakan sehingga beruban rambut kian bercambah disebab takutnya bila mengenangkan semula kesemua peristiwa itu.

Apa yang ternyata, ketika aku telah kembali sudah pasti usiaku semakin bertambah dan tempoh hidupku semakin berkurang. Ianya mengingatkan aku kepada arwah ayah, emak, cek (andak), mai dan walid (abang iparku) yang telah pergi dahulu ke pangkuan Penciptanya. Begitu juga tenaga ku juga semakin berkurang dengan sesekali penyakit menghinggap di tubuhkan ku bagi mengingatkan aku kepada kematian.

Dalam dunia yang penuh mencabar dan peningkatan ilmu yang Allah berikan kepada manusia untuk dimenafaatkan, maka aku juga tidak ketinggalan untuk mendapat nikmat dari kasih sayang yang Allah berikan kepada hambanya. Dengan ilmu yang diberikan kepada mereka yang dipilih maka aku kini tidak memerlukan sangat kepada penggunaa kaca mata untuk melihat. Beberapa kali rancangan untuk merawat mataku di tangguh disebabkan faktor-faktor kewangan dan perasaan takut. Namun demikian bila mengenangkan keperluan mata ini sememangnya amat penting maka aku cuba mengenepikan perasaan takut dan menguiskan sedikit mana-mana lebihan dari tabungan hasil penjimatan yang menjadi tataurus kehidupan ku. Semoga aku dapat menfaatkan penglihatan yang sudah baik berbanding sewaktu menggunakan khidmat kaca mataku kepada perkara yang boleh memberikan pahala kepada ku untuk bekalanku di akhirat sana. Seperti kata doktor yang menjalankan proses lasik ke atas ku, dia berkata azamlah selepas boleh melihat tanpa kacamata maka mata kanan diinfakkan untuk membaca AlQuran dan mata kiri bermusafir untuk melihat Kaabah. 

Biar pun aku kini kembali, tidak bermakna aku tidak akan ke mana mana selepas ini. Setiap yang hidup akan merasai mati dan pasti akan pergi tidak akan kembali lagi. Itu lah tajuk nasyid yang dipopularkan oleh kumpulan Rabbani. Maka bila sampai waktu untuk aku pergi tidak kembali lagi, maka perlulah aku memastikan setiap coretan yang aku nukilkan dapat memberikan sedikit menafaat kepada aku bila aku dipersoalkan setiap tindak tanduk yang aku lakukan semasa aku di dunia.

Kini Ramadan yang ke berapa, mungkin hari yang ke 12. Fasa terakhir tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi akan kita tempuhi buat kali ini dan tidak ada jaminan untuk kita bertemu di Ramadan yang akan datang. Setiap Ramadan, bila kita membaca surah Al Qadr, kita yakin Allah S.W.t tidak pernah memungkiri janji untuk menganugerahkan malam Al-Qadr. Pasti dari satu malam di Bulan Ramadan akan ada malam Al-Qadr yang mana istemewanya malam tersebut melebihi dari 1000 bulan. Aku juga sering mendengar penceritaan orang yang berjumpa dengan malam tersebut. Namun bagi aku sama sama lah kita berazam untuk beristiqomah dalam melaksanakan ibadah sehingga akhri Ramadan dan  mengharapkan agar dalam waktu kita beribadah itu, adalah waktu di mana berlakunya apa yang diceritakan Al-Qadr itu.

InshaAllah, kita berjumpa lagi. Wasallam. 

No comments:

Post a Comment