Friday, June 25, 2010

AGM KPD KALI KE 75

Pada 23hb Jun 2010, berlangsung mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad ("KPD") kali ke 75 yang di adakan di hotel milik KPD iaitu
KL International Hotel. Dan aku seperti biasa dijemput bagi menghadiri majlis perasmian yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Yang DiPertua KPD iaitu Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar. Aku mula mengenali Tan Sri Ismail apabila beliau dilantik sebagai Pengarah KPD. Dia seorang yang baik, mempunyai sifat kebapaan dan seorang yang berpandangan jauh dan bersungguh untuk memajukan KPD.

Pada jam yang telah ditetapkan, Beliau diiringi oleh Dato Pengerusi KPD dan dif-dif kehormat yang lain. Sesampai di tempat dimana aku berdiri, dia bersalam dengan aku dan menyapa 'hensem min'. Heee...Heee...itu ajele yang dapat ku balas. Ucapan aluan-aluan dibuat oleh Dato Amir bin Sulaiman selaku Pengerusi seterusnya melaporkan prestasi KPD dan anak syarikat.Kemudian disusuli dengan ucapan Tan Sri Ismail dimana seterusnya beliau telah merasmikan majlis tersebut.

Mesyuarat di tangguhkan bagi memberi ruang para perwakilan membuang undi dan para jemputan di arak ke tempat menjamu selera. Selesai menjamu selera maka nampak ketergesaan Tan Sri yang mengambil berat tentang tugasnya untuk berangkat pulang, namun sempat berjabat tangan dengan semua jemputan di ruang makan dan berpelukan dengan rakan-rakan lama yang masih menyumbang kepada KPD dan anak syarikat.

Bila di kenang-kenangkan, dalam tempoh yang lama iaitu 75 tahun, KPD jika disamakan dengan manusia, ianya telah menempuhi peringkat tua dan tidak berdaya tetapi jika kita menganggap dia adalah sebuah institusi, walaupun usianya telah lanjut sehingga 75 tahun, namun sepatutnya dia tetap kukuh dengan pertambahan ahlinya, dengan kemajuan teknologi bagi menyokong segala operasinya dan kemasukan tenaga-tenaga baru dalam organisasi bagi menjamin kesinambungan operasi KPD berjalan dengan sempurna.

Bagi aku, aku tidak menyalahkan mana-mana institusi yang mengalami masalah tetapi yang patut dipersalahkan adalah mereka-mereka yang diberi amanah untuk mengendalikan institusi tersebut. Manusia masa kini semakin bijak mengambil peluang berbanding manusia terdahulu. Sebagai contoh, mungkin manusia dahulu yang menubuhkan institusi Koperasi ini mempunyai matlamat yang ikhlas bagi membantu ahlinya. Koperasi ibarat tempat berlindung yang dibina manakala ahlinya adalah merupakan keluarga dalam rumahtangga. Segala badai yang melanda akan diharungi bersama. Sekiranya terdapat halangan dan rintangan, mereka tidak mengajak orang luar mencampuri urusan mereka tetapi sebaliknya menjadikan orang luar sebagai garispanduan bagaimana Koperasi terus dapat bertapak dan terus maju demi kebajikan ahlinya. Ahli sentiasa setia dan terus bersama dengan Koperasi walaupun berbagai halwa yang dihidangkan diluar Koperasi yang lebih menggiurkan berbanding yang ditawarkan oleh Koperasi. Kesetiaan inilah yang aku rasakan sebagai satu kekuatan dan semangat yang tidak luntur yang menyebabkan Koperasi dapat bertahan. Namun ketahanan Koperasi tidak akan terus kekal jika matlamat ahli yang semakin 'bijak' dan mempunyai agenda tersendiri serta mendahulukan kepentingan diri berbanding kepentingan Koperasi dan ahlinya.

Dalam beberapa siri persembahan kertas kerja oleh beberapa wakil organisasi yang berjaya, aku masih lagi meletakkan kepercayaan terhadap apa yang dipersembahkan oleh kumpulan syarikat yang di terajui oleh YBhg Tan Sri Hashim Ali. Di suatu persembahan yang berbeza masa dan tempat, Tan Sri Hashim Ali dan Ketua Pegawai Operasinya menyampaikan tajuk visi dan misi syarikat tanpa mempunyai percanggahan dari sudut isi dan objektif syarikat. Ini bermakna apa yang digariskan sebagai visi dan misi syarikat telah berjaya di terapkan di dalam sanubari setiap pekerjanya. Ini akan lebih memudahkan objektif syarikat dapat dilaksanakan di capai oleh setiap pekerja di dalam organisasi tersebut. Dalam konteks ini, kalau kita semak bacaan kita di dalam surah Al-Fatihah, ayat yang ke lima yang bermaksud "tunjukkan kami jalan yang lurus". Ini membuktikan kepada kita bahawa sekiranya kita ingin berjaya dalam apa bidang sekalipun, kita perlu sentiasa berada di situasi yang lurus. Matlamat dan objektif kita mestilah jelas dan lurus, perlaksanaannya juga mestilah tidak dibengkang bengkokkan demi memastikan matlamat yang kita ingin capai tidak melibatkan kepentingan peribadi dan perkara yang tidak jelas, meletakkan amanah yang diberikan di atas sekali yang sepatutnya dijunjung di mana kita berada. Sekiranya kita dapat mengekalkan perkara-perkara tersebut, maka institusi yang diterajui oleh kita dapat di selamat dan dimajukan. Jika tidak baiklah kita keluar dari organisasi dan menjalankan urusan sendiri untuk kepentingan sendiri tanpa menggunakan saluran-saluran institusi di mana kita diamanahkan untuk kepentingan diri.

Dalam konteks Koperasi Polis, aku tidak dapat menerima kenapa pihak PDRM tidak menyokong sepenuhnya Koperasi dalm isu pemberian kerja-kerja yang terdapat di PDRM. Ini amat berbeza berbanding dengan pihak Kementerian Pertahanan, Tentera Laut Diraja Malaysia. Mereka sedia memberi keutamaan kepada LTAT dan syarikat subsidiarinya dalam pemberian kontrak walaupun ianya tidak mempunyai tanggungjawab untuk memberikan keutamaan kepada institusi tersebut. Alasan mereka memberi keutamaan kepada LTAT dan Syarikat subsdiarinya ialah mereka akan memperolehi pulangan dividen pada hujung tahun. Sekiranya terdapat kekurangan pada LTAT dan syarikat subsidiarinya, mereka akan duduk semeja untuk menyelesaikan masalah.

Oleh yang demikian, aku rasa Koperasi boleh bernafas semula dan maju seperti tahun-tahun kejayaannya sebelum ini jika mereka-mereka yang diberi amanah dan kuasa sementara di PDRM dapat memberikan keutamaan kepada Koperasi dengan meletakkan satu objektif "Kejayaan Koperasi adalah Kejayaan Kita dan kita akan menikmati bersama kejayaan tersebut".

Aku dapat merasakan kepayahan dan kesungguhan orang terdahulu yang berusaha untuk memajukan Koperasi kerana aku juga anak kepada anggota polis yang mana arwah bapa ku pernah dilantik sebagai salah seorang Anggota Lembaga di Koperasi ini. Semoga Koperasi dapat dimajukan semula tanpa adanya agenda yang tersembunyi.

No comments:

Post a Comment