Monday, July 5, 2010

ULANG TAHUN KELAHIRAN DI KALA USIA KU 44 TAHUN

5hb Julai ketemu lagi bagi sesi 2010. Pada tarikh Keramat itu, dahulu 44 tahun yang lalu aku di lahirkan. Pasti kedua ibu bapa ku gembira dengan kehadiran ku walaupun sebelum aku, mereka telah mempunyai anak seramai 10 orang tetapi meninggal seorang. Maka aku anak yang ke 10. Di antara sebab kenapa mereka gembira kerana pertama aku anak lelaki yang kedua dalam keluarga setelah yang pertama hingga ke lapan semuanya puteri. Berazam sungguh mereka untuk mendapatkan anak lelaki dan akhirnya dimakbulkan oleh Allah. Sebab kedua mereka gembira, aku rasakan ialah mereka perlihara dan jagai aku dengan baik walaupun kalau dilihat sumber kewangan bapa ku terlalu kecil untuk menyara 10 orang anak dan seorang isteri, namun begitu tidak di berikan kepada orang malah dididik aku untuk menjadi manusia sebaik yang mungkin.
44 tahun telah berlalu. Kedua ibu bapa ku pun telah tiada. Kini aku pula mengambil tanggungjawab seperti mereka sebagai seorang ayah yang berusaha mendidik 5 orang anak-anak ku. Memang begitu mencabar untuk membesarkan anak-anak di kala manusia kebanyakannya hilang arah tujuan. Aku sentiasa berdoa agar Allah memelihara diri ku dan keluarga dalam apa bentuk keadaan sekalipun.
Dalam tahun ini 2010, sehingga 5hb Julai 2010 bermacam-macam peristiwa yang dilalui. Ada yang sedih dan ada juga yang gembira. Kematian sudah menjadi satu tajuk sedih bagi setiap manusia. Tidak kira ianya melibatkan saudara terdekat atau rakan kenalan. Bagi aku kedua-duanya ada. Pada awal tahun 2010 iatu pada Januari 2010, bekas Pengerusi syarikat ku iaitu Tan Sri Mohd Sedek bin Hj Mohd Ali telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan dan berada dalam keadaan koma selama hampir 4 bulan. Dan yang keduanya adalah Kakak ku yang ke empat iaitu Hajjah Siti NoorHafizah bt Hj Hasbullah meninggal pada 19hb April 2010 sewaktu berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrahnya. Begitulah lumrah, yang hidup pasti merasai mati. Dan yang terakhir adalah kenalan ku Wong, kakitangan di syarikat rakan baik ku Chan, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.30 pagi pada 6hb Julai 2010. Terakhir pada hari aku mencoret coretan ini, aku dapat berita kawan baik ku semasa di Malaysia Mining Corporation Berhad juga telah meninggal dunia pada bulan lepas. Namanya Abdul Razak bin Sulaiman. Al-Fatihah buat almarhum.
Dalam kesedihan itu, kita perlu teruskan kehidupan ini. Kegembiraan yang tidak disangka-sangka bila mana aku dapat bertemu dengan rakan-rakan sekelas ku di Sekolah Menengah Padang Tembak. Pertemuan itu buat masa ini hanya melalui alam maya menerusi Facebook. Melihat kejayaan masing-masing dalam kehidupan berkeluarga, tentu sekali yang paling gembira adalah guru-guru yang pernah mengajar kami. Pastinya mereka akan mendapat balasan dan imbuhan di atas usaha mereka mendidik kami. Nama seperti Noman & Nomi (adik beradik kembar), Hashim, Afizal, Afri, Noraida, Norhayati, Pam, Shila, Zairul Azmaini, Mazliah, Normah, Hafsah, Azman, Sariah, Norashikin, Wan Fatiah dan ramai lagi yang pasti mengimbau kembali nostalgia sewaktu alam persekolahan. Dan di antara mereka, ada juga yang kedengaran telah pergi dahulu bertemu dengan Tuhannya seperti Zubir, Isa dan Suzana. Berbagai cerita lagi yang lucu didengari bila bertemu dengan kawan baik ku...Ku doakan semoga kalian berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa di rahmati oleh Allah.
Kini setahun usia ku telah berkurangan, namun dalam ucapan yang diterima, ramai mendoakan semoga panjang umur dan murah rezeki. Semoga doa mereka menjadi pendorong kepada ku untuk terus memenuhi ruang-ruang usia yang masih diberikan kepada ku. Dalam ucapan yang diterima, aku merasa bangga apabila Dato' Mohd Ismail Che Rus, yang juga bekas Pengerusi syarikat ku menghantar ucapan melalui SMS. Teks ucapannya berbunyi:"Salam. Wishing u HAPPY BIRTHDAY. May u blessed with all d very best in life insyaAllah =D". Dia adalah orang yang pertama memberikan ucapan tersebut. Aku bangga bukan kerana ianya datang dari seorang yang bergelar Dato' tetapi keperihatinannya terhadap bekas kakitangan dan sentiasa menjadi orang yang pertama mendahului yang lain. Ini adalah tahun pertama dia menghantar ucapan hari lahirku kerana tahun ini dia baru tahu tarikh lahir ku. Namun ucapan-ucapan yang lain, seperti ucapan hari raya dan apa saja perayaan yang berkaitan pasti dia yang pertama aku terima ucapan.
Tidak ketinggalan juga ku terima ucapan dari isteri tersayang dan juga dari anak-anak ku. Berbagai ragam cara mereka menyampaikan ucapan secara face to face sehingga membuat aku sentiasa tersenyum bila mengingat gelagat mereka. Aku sentiasa bersyukur dengan ahli keluarga yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.
Semoga bertemu lagi di tahun hadapan. Wassalam.

No comments:

Post a Comment