Wednesday, December 9, 2009

ANTARA AZAM DAN HISAB

Dalam kita semua menempuhi tahun-tahun mendatang, lebih-lebih lagi pada penghujung tahun pastinya sibuk dimerata media membicarakan tentang azam. Pada tahun 2009, itulah persoalannya iaitu apakah azam anda? adakah azam anda telah tercapai dan apakah azam baru anda?.
Maka berbondong-bondonglah azam rekaan sesingkat 5 minit sekadar untuk dijadikan bahan bicara. Maka riuh rendahlah corong-corong radio, television dan suratkhabar mengiakan dan membicarakan azam tersebut walaupun pada hakikatnya tak siapa pun yang tahu sebenarnya apakah azam yang diceritakan itu benar-benar azam yang tercatit seawal tahun yang lalu.
Bagi tahun 2008, ianya telah menjadi kenangan (past), tahun 2009 (present) adalah hadiah yang kita terima hasil dari usaha kita dan 2010 seterusnya (future) adalah perkara yang tidak tentu dan hanya kepada Allah kita kembalikan bagi mengharapkan yang baik buat kita sehinggalah kita bertemu denganNya.
Bagi sebuah negara azam mereka mungkin diluahkan melalui `budget' yang dibentangkan setiap tahun. Berdasarkan kepada budget, kawalan dan pemantauan dibuat bagi memastikan pendapatan dan perbelanjaan tidak tersasar dari apa yang telah `dibudgetkan' agar azam yang dirancangkan akan mencapai sasarannya iaitu `Rakyat didahulukan pencapaian di utamakan'. Begitu juga dengan organisasi perniagaan yang berorientasikan keuntungan, maka setiap tahun Perancangan Perniagaan (Business Plan) turut dibentangkan kepada Lembaga Pengarah untuk membuat jangkaan sasaran syarikat berdasarkan kepada azam yang dirancangkan. Akhirnya kepada ruang lingkup yang lebih kecil iaitu individu, mereka juga mempunyai azam yang tersendiri dan azam itu sentiasa berubah dari hari ke sehari berdasarkan kepada keperluan mereka, sebenarnya.
Namun dalam kita membicarakan tentang azam, kita hanya mencorakkan ke mana hala tuju kita dalam mencapai azam kita. Jarang kita meletakkan konsep yang diajarkan oleh Islam iaitu "Matlamat tidak menghalalkan cara". Habis-habis pun bila ada yang membangkitkan tentang hukum fekah tersebut, maka mereka akan dipinggirkan dan dicop sebagai mereka yang tidak berdaya maju dan kehadapan. Dengan alasan "ini adalah dunia perniagaan dengan tambahan", "jika nak bicara tentang hukum duduk di surau dan masjid le". Mereka terlupa nyawa dan tempoh yang singkat ini merupakan perniagaan bagi kita. Dan Untung ruginya, kita selaku pengurusnya akan menerima habuan dari Pemegang Saham kita iaitu Allah S.W.T. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang Allah telah menawarkan perniagaanNya kepada kita dan kita sering Alpa dengan tawaran tersebut sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir.
Dalam mengaitkan antara azam dan hisab ini, di antara hadis yang sering memperingatkan kita ialah Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Sentiasanya ada motto ini dalam segala tindakan kita maka hala tuju kita untuk mencapai azam kita dapat di kawal dengan lebih sempurna dan selamat. Keberkatan, halal merupakan ciri utama dalam mencapai azam yang telah dirancang. Biar pun sedikit yang kita capai tetapi berkualiti adalah lebih baik berbanding jika banyak tetapi tidak dilorong dengan cara yang dibenarkan. Semuga azam yang kita rekakan itu adalah merupakan rekaan yang datang dari Allah S.W.T dan bukan dari ilham makhluk yang mendapat laknat dari ALLAH S.W.T. Selamat berazam dan menempuhi tahun baru dan menyambut Maal Hijrah.

No comments:

Post a Comment