Friday, December 25, 2009

Warkah untuk anakku Aiman (Along)

Salam sayang dari ayahmu.

Along...... warkah ini ayah tujukan khas kepada Along dengan harapan menjadi sumber inspirasi untuk Along menghadapi peperiksaan SPM pada tahun 2010 dan meneruskan kehidupan Along.

Along...... Perpisahan atau kematian antara kita tidak seorang pun tahu. Walaupun kita semua yakin akan perpisahan atau kematian itu pasti datang tetapi kita tetap tidak menjangkakan jika ianya berlaku. Kita sama-sama pernah mendengar kuliah maghrib Ust Hishamuddin di SurauAl-Hidayah tentang kematian dan berbagai cara nyawa di cabut. Oleh itu ketidakpastian bilakah kita akan berpisah membuatkan ayah mengambil kesempatan ini untuk mengirimkan warkah ini khusus untuk Along dan mungkin ia adalah warkah terakhir buat kita.

Along....... tahun 2010 adalah merupakan tahun terakhir Along berada dialam persekolahan menengah. Ianya menentukan perjalanan seterusnya ke mana sebenarnya yang hendak dituju. Pilihlah jalan seperti yang disampaikan oleh Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W kerana jalan itu jugalah yang akan diperakui oleh Allah S.W.T. Gunakanlah sebaik mungkin masa yang Allah berikan kepada Along untuk mengorak langkah bagi mencapai kejayaan dalam akedemik dan juga keperibadian diri. Kita telah diuji dengan keputusan PMR terdahulu dan mungkin tersemat di dalam hati Along suatu hari nanti Along akan menggantikan keputusan yang baik untuk Along dan juga keluarga dan hari yang nanti kan itu semakin hari semakin hampir iaitu SPM.

Along..... dalam surah Luqman,ayat 13 – 19, Allah S.W.T mencatitkan nasihat Luqman (seorang manusia biasa seperti kita) kepada anaknya. Ini menunjukkan bahawa nasihat Luqman itu di perakui oleh Allah S.W.T sebagai nasihat yang baik dan boleh membentuk peribadi anaknya. Sehinggakan nasihat itu di catitkan di dalam Al-Quran yang suci lagi mulia. Oleh itu, sebagai seorang ayah, maka naluri untuk melihat anak ayah menjadi seperti anak Luqman yang diceritakan dalam Al-Quran tetap ada dalam sanubari ayah.

Ayat Al-Quran bermaksud:

13]
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
[14]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
[15]
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
[16]
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
[17]
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
[18]
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[19]
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Sekadar tujuh ayat sebagai panduan kepada anaknya. Nasihat di atas adalah nasihat yang asas sebagaimana kebanyakan ayah di dunia ini menasihatkan anaknya. Jadi individu yang perlu memainkan peranan yang penting samada nasihat ini diterima dan dilaksanakan adalah seorang anak. Apa yang perlu kita lakukan ialah sentiasa perlu berfikir tentang apa yang Allah S.W.T sampaikan kepada hambaNya melalui Al-Quran.

Along..... ambillah kesempatan maksud ayat Al-Quran itu untuk Along cernakan dalam diri Along. Walaupun pada mulanya ia mungkin berat untuk dilakukan tetapi ayah yakin jika kita ingin berjaya dengan erti kejayaan yang sebenar iaitu kejayaan yang diredhoi oleh Allah, maka kita dapat melawan semua halangan yang datang.

Along.... sememangnya Along adalah waris yang terhampir dengan ibu dan ayah, kerana Along anak yang tua dalam barisan anak-anak ayah yang lain iaitu Angah, Afiq, Nurul dan adik A’ie. Setiap tindak tanduk akan menjadi ikutan buat mereka. Baik awalnya maka yang hujung mengikut begitulah sebaliknya. Namun ayah yakin bahawa Along seorang abang yang bertanggungjawab kepada adik-adik dan apatah lagi kepada ibu dan ayah. Ayah masih ingat lagi suatu ketika bila ibu bercerita betapa risaunya Along menunggu kepulangan ayah dari kerja dalam keadaan hari hujan yang amat lebat sehingga Along mengambil tindakan dengan mendirikan solat dan berdoa kepada Allah S.W.T tentang keselamatan ayah. Waktu itu Along hanya berumur 13 tahun sahaja. Ayah begitu bangga dengan Along bila ibu berceritakan kepada ayah. Dan samada Along sedar atau pun tidak sebenarnya Allah S.W.T telah memakbulkan doa Along. Maka jangan berhenti berdoa kepada Allah S.W.T. kerana Allah sentiasa mendengar doa kita.

Along.... dalam usia 17 tahun ini, semua ramaja di dunia beranggapan mereka telah matang dan boleh berfikir. Namun jiwa seorang remaja kekadang menyebabkan ramai remaja terpesong dari jalan yang disampaikan oleh Nabi kita. Kerana apa berlaku sedemikian, kerana mereka tidak berfikir secara rasional dan panjang. Ayah juga pernah melalui zaman remaja. Ayah juga dapat rasakan kepayahan untuk meletakkan diri kita pada garisan yang lurus sedangkan pada masa yang sama rakan-rakan sebaya mengharapkan kita juga. Maka pada ketika itulah kita memerlukan Allah dan Rasul untuk kita membuat keputusan. Harapan ayah agar setiap keputusan Along adalah mengikut kehendak Allah dan Nabi.

Along.....akhir sekali Ayah harap Along sentiasa sematkan di dalam hati Along bahawa perubahan dan kejayaan seseorang adalah bergantung kepada dirinya sendiri. Ayah dan Ibu hanya dapat menjadi sokongan terhadap setiap keputusan dan tindakan Along. Berdoalah sentiasa kepada Allah agar dipeliharakan diri Along sentiasa berada di garisan yang diredhoi oleh Allah dan Ibu serta Ayah. Ayah dan Ibu sentiasa mendoakaan kejayaan Along pada tahun ini dan juga hari-hari seterusnya. Semoga Along dapat melawan kelemahan yang ada demi masa depan Along.

Salam sayang: Ayah dan Ibu.

No comments:

Post a Comment