Saturday, January 2, 2010

TAFAQUH FIDDEEN - PAKEJ RANSANGAN KE 2

Masjid Saujana Utama meneruskan pakej ransangan ke 2 bagi program Tafaquh Fiddeen pada malam ini iaitu 3hb Jan 2010. Setelah di dada akhbar melaporkan tentang berbagai-bagai tangkapan kemaksiatan dibuat pada malam tahun baru 2010, laporan tersebut seolah-olah menjadi satu tradisi yang perlu dibangga-banggakan. Terasa gerun bila membaca laporan di dalam akhbar. Ada yang muda remaja, ada yang pertengahan umur, ada yang bergelar nenek bercucu 6 orang yang juga dicekup dan telah membuat pengakuan dan ada pelajar Mahaad Tahfiz pun terperangkap. Aku sentiasa berdoa agar generasiku tidak terlibat dengan perkara-perkara tersebut. Iblis dan syaitan bukan kira siapa kita, lagi besar sereban, lagi besar senior iblis dan syaitan yang dihantar untuk memporak perandakan umat manusia.
Kembali kita kepada pakej ransangan ke 2 Tafaquh Fiddeen malam ini, Ustaz jemputan yang dijemput untuk menyampaikan ceramahnya ialah seorang berketurunan Cina. Namanya ialah Ann Wan Seng. 13 tahun telah memeluk agama Islam dan baru balik dari mengerjakan ibadah haji. Kini memegang jawatan Setiausaha Agong Persatuan Muslim Cina Malaysia. Majlis dibuka oleh pengerusi majlis iaitu Tn Hj Rosli bin M.Husin (calon Nazir Masjid Saujana Utama).

Mula bicara, Ustaz Ann mengaitkan isu penggunaan kalimah Allah yang di luluskan oleh Mahkamah dimana Hakim yang mengadili perbicaraan tersebut bukanlah dari orang Islam. Tapi rasa-rasa aku walaupun Hakim yang mengadili perbicaraan tersebut dari kalangan orang Islam, silap-silap lagi teruk keputusan yang dibuatnya. Al-Maklumlah nak mengekalkan semangat 1 Malaysia. Itulah kesannya jika nak mengagong-agongkan 1 Malaysia tersebut. Ustaz menceritakan sedikit bagaimana Herald membuat hujahan mereka. Pertama mereka mengatakan Orang Arab Jahiliyah dulu pun menggunakan kalimah Allah walaupun mereka bukan Islam, maka tidak salah kalau kini mereka juga menggunakannya. Kedua mereka mengatakan bahawa bapa Nabi pun bernama Abdullah (Hamba Allah) walaupun beliau bukan orang Islam dan Ketiga, mereka mengatakan bahawa orang-orang arab (bukan Islam) di merata dunia menggunakan kalimah tersebut maka tidak menjadi kesalahan bagi mereka juga. Walaupun bantahan dengan hujah dari Orang Islam diberikan, namun seperti yang disebutkan tadi disebabkan Hakimnya bukan Orang Islam maka keputusannya mesti menyebelahi orang bukan Islam dan mungkin ada tangan-tangan ghaib dibelakangnya.

Selain dari isu tersebut, Ustaz Ann membangkitkan tentang aqidah, beliau mengatakan bahawa Aqidah itu perlu mempunyai 3 ciri, pertama I'tiqad, Iman dan taqwa. Jika salah satu ciri ini tidak diturut serta maka masih tidak sempurna aqidah yang kita bawa. Sesekali terasa malu diri ini dengan Ustaz Ann. Nampak sangat Islam aku lebih kepada Islam keturunan berbanding beliau. Kefahaman dan usaha beliau terhadap islam, di mana tempoh beliau memeluk agama islam selama 13 tahun macam langit dengan bumi jika dibandingkan Islam aku yang dah nak masuk 44 tahun ini. Macam mana aku nak yakinkan diri aku, yang aku ini layak untuk masuk syurga Allah. Ya Allah, Kau gulungkan lah aku di dalam gulungan yang Kau berikan rahmatMu untuk masuk syurga Mu.

Akhir majlis, Ustaz ada menjual buku tulisannya dan aku berminat dan membeli buku tulisannya yang bertajuk Rahsia Bisnes Orang Cina. Harga RM18.00. Berhasrat untuk mengikut jejak langkah kawan Cina aku yang berjaya dalam perniagaan. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment