Wednesday, July 1, 2009

Perjalanan Haji 2007


TETAMU ALLAH…PERBANDINGAN PENGALAMAN (1403H & 1428H)

Tetamu Allah..

Labbaikallah hummalabbaik.....
Labbaikalaa syarikalakalabbaik…..
Innalhamda wanni’mata…..
Lakawalmulk….
Laasyariikalak…..

Tuhan…aku menyambut seruan Mu
Meskipun Kau tahu
Bergendong-gendong dosa diriku yang ku bawa..
Kau bersedia mengampunkan
Namun adab susila sebagai tetamu Mu
Tetap ku jaga
Harapan tinggi menggunung agar…
Dugaan dan ujian yang ku terima
Setimpal kemampuan ku..
Tuhan…melihat kebesaran Mu
Dimuka bumi Masy’aril Haram…
Tak termampu akal ku..
Untuk menghuraikan…
Hanya Kau Maha mengetahui….
Titisan demi titisan….
Air mata bercurahan…mengenang dosa-dosa lalu
Mengharapkan pengampunan dari Mu
Tiada balasan yang setimpal untuk Haji Mabrur
Melainkan syurga Mu..itulah impian ku…
Tuhan …izinkan aku menjadi tetamu Mu
Di lain waktu…..

KATA PEMBUKA
Dalam mencoret catatan pengalaman sewaktu tempoh aku berada di Masy’aril Haram merupakan pengalaman yang dirasai oleh semua para haji yang berkunjung di sana. Bukanlah merupakan perkara baru tetapi apabila mula membicarakan tentang pengalaman itu, pasti hati ini melonjak untuk ke sana lagi. Itulah keberkatan bumi Masy’aril Haram.

Izinkan aku membandingkan pengalaman pertama pada tahun 1403H dan yang kedua ku ke sana pada 1428H. Perbezaan waktu dimakan usia hampir 25 tahun lamanya. Itulah rezeki yang Allah SWT berikan kepada ku setakat ini untuk menjejak kaki ke sana. Mengikut kiraan akal, kunjungan pertama kalau dihitung dalam usia yang muda kurang dosanya berbanding kunjungan kedua, namun ujian yang ku terima pada ketika itu mengikut pandangan mata arwah bapaku, mungkin tidak kesampaian untuk kembali ke Malaysia. Manakala kunjungan kedua, cuak serta takut tetap dirasai dengan iringan dosa dan kata-kata manusia, seolah-olah yang menjejak kaki ke sana semuanya akan mendapat bala mengikut perbuatannya. Buruk khabar dari adanya. Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT maha penyayang lagi maha pengampun. Allah tetap memuliakan tetamuNya selagi kita menjaga adab-adab sebagai tetamu Allah.


PENGALAMAN BERMULA
Sampai di bumi Madinah, ku lihat perkembangan yang pesat begitu ketara, bangunan hotel berbagai kategori bintang berada di sekeliling Masjid Nabawi. Susunatur dan perancangan bandar nampak bersistem. Jauh beza jika dibandingkan 25 tahun yang lalu, rumah-rumah usang dan kedai-kedai kayu dibawah bumbung sudah tiada lagi. Keadaan geografi yang rata sejak dulu menjadikan sifat dan sikap penduduk di Madinah jauh beza dengan penduduk di Makkah. Lebih peramah dan mesra. Terasa seperti berada di kampong halaman sahaja kerana bahasa berbicara adalah Bahasa Malaysia. Ungkapan termashyur`Malaysia Bagus’. Bagus sekali pun Malaysia, harga barang yang dijual tetap melambung dari hari ke hari.

Di Madinah selama 9 hari, Ziarah Maqam Rasulullah merupakan agenda pertama dan aku sentiasa berazam berada di saf di ruang Raudhah atau di saf hadapan. Tika itu terasa Rasulullah melihat dan bersama-sama berjemaah di setiap waktu. Aura Masjid Nabawi menimbulkan kesayuan apabila azan berkumandang dan dipengaruhi dengan adanya Maqam Rasulullah SAW begitu tersentuh. Sering aku merayau di kawasan dalaman masjid selepas maghrib dan waktu terluang yang ada untuk melihat sistem pendidikan disitu. Teringat bagaimana Rasulullah mementingkan pendidikan dengan memberikan syarat pembebasan kepada tawanan untuk mengajar anak-anak yang berada di bumi Madinah. Pendidikan di dalam Masjid Nabawi masih berterusan dan mungkinkah kaedah yang sama digunakan seperti di zaman Nabi. Terhibur melihat kanak-kanak seusia 4-6 tahun berlari di sekitar masjid tanpa takut ketika Ustaznya tiada di tempat dan tekun apabila solat mula didirikan. Setiap Isnin dan Khamis, kelihatan meriah di masjid sewaktu azan maghrib hampir berkumandang. Ramai yang membawa tamar dan minuman untuk disedekahkan sebagai hidangan berbuka puasa. Dari bicara seorang penduduk, sedikit sebanyak yang boleh difaham, di bulan Ramadan akan terasa lebih meriah di mana ramai orang kaya yang pemurah bersedekah untuk memberi makan kepada mereka-mereka yang berpuasa. Ziarah luar setakat melihat dari jauh seperti Jabal Thur, Jabal Uhud, masjid Quba’ dan fokus utama adalah Pasar Tamar. Sempat aku mengambil gambar-gambar sejarah untuk simpanan.

Setiap yang hidup pasti merasai mati. Kematian pada setiap waktu di Madinah seolah-olah bertali arus, terasa sangat giliranku makin hampir. Mungkin waktu zohor atau Asar yang berlalu. Apakah Maghrib akan disembahyangkan. Isya’ yang menunggu dan Subuh di Baqi’. Di satu Subuh, ku sempat bersama mengusung jenazah dari pintu keluar masuk Imam Masjid Nabawi, berlari-lari anak hingga ke liang lahat di perkuburan Baqi’. Tanpa mengira waktu, jenazah akan diuruskan secepat yang mungkin. Yang hidup berebut-rebut mengambil peluang untuk mengusung dan mendoakan jenazah.
Hari akhir di Madinah telah pun tiba, aku melakukan ziarah ke maqam Rasullullah pada jam 12.00 tengah malam untuk mengucapkan selamat tinggal. Di waktu itu agak kurang jemaah yang beriktikaf di masjid. Air mata bercurahan bukan mengada-ada tetapi bercurahan dengan sendiri tanpa dipaksa. Keesokannya bersiap dengan berpakaian ihram untuk balik ke Makkah.

Bertolak jam 3.00 petang dan sampai di hotel Dallah Barakah, Makkah jam 10.00 malam. Sepanjang perjalanan, aku tersenyum melihat gelagat pemandu bas. Tidak berubah sejak 25 tahun lalu iaitu meminta`baksis’ atau upah. Kalau tidak diberi, akan dilengah-lengahkan perjalanan. Mungkinkah pemandu ini adalah anak kepada pemandu sewaktu pertama kali perjalanan ku dari Madinah ke Makkah pada tahun 1403H dahulu. Sampai di hotel, aku dimaklumkan bahawa tawaf dan saie umrah akan dilakukan pada jam 7.00 pagi esoknya. Namun lonjakan hati ini untuk melihat Kaabah dihadapan mata menyebabkan aku mengambil keputusan melakukan tawaf dan saie pada malam itu juga. Masuk melalui pintu utama Bab Al Aziz, dengan perasaan bercampur baur seronok dan takut, aku menjengok sedikit demi sedikit ke arah Kaabah. Kerisauan terus melanda takut-takut Allah memilih aku dijadikan sebagai bukti untuk tidak dapat melihat Kaabah seperti cerita yang selalu ku dengari. Alhamdulillah, tersergam indah Kaabah di depan mata ku. Sedikit pun tidak lusuh di makan waktu seperti 25 tahun yang lalu bahkan sejak ianya dibina oleh Nabi Ibrahim. Air mata mula menjalankan fungsinya bercucuran tanpa disuruh. Walaupun bercucuran air mata ku, ia tetap akan kering berbanding telaga zam-zam yang tidak kering-kering sejak pertemuannya oleh Siti Hajar di hujung kaki Nabi Ismail selepas berlari-lari di antara Safa dan Marwah. Aku mulakan tawaf dan saie. Selesai semuanya hampir jam 1.30 pagi. Aktiviti harian di Makkah berjalan dengan lancar dan seronok sambil di selangi dengan aktiviti`Tawaf Kedai’ jika berpeluang sementara menunggu hari kemuncak iaitu wukuf di Arafah. Di Makkah, ramai juga jemaah yang meninggal. Sehingga satu ketika aku terserempak dengan jenazah yang ditinggalkan untuk dihantar ke perkuburan dengan kenderaan disebabkan terlalu banyak bilangannya. Kalau dilihat… hospital yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram agak kecil dan tidak canggih dari pandangan luar. Mungkin kematian di sini lebih mudah dan senang tanpa dirujuk kepada hospital tentang penyakitnya.

Dari segi pengurusan masjid, di dapati Masjid Nabawi lebih kemas. Pihak pengurusan dapat mengasingkan lokasi solat antara wanita dan lelaki melalui pintu masuk ke masjid tersebut. Pegawai-pegawai masjid sentiasa berjaga di pintu pagar masuk ke bahagian wanita bagi memastikan jemaah lelaki tidak memasuki kawasan larangan tersebut. Waktu ziarah maqam Rasulullah juga di tetapkan waktunya untuk kaum wanita. Sepanjang di Madinah, aku dapati semua jemaah dari seluruh dunia dapat mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pengurusan Masjid Nabawi mengenai pengasingan tempat dan waktu tetapi apabila sampai di Makkah, semuanya bercelaru dan peraturan sukar untuk diikuti termasuklah beberapa jemaah Malaysia yang terpengaruh dengan jemaah dari negara lain, sehingga menunaikan solat berjemaah dengan mendirikan saf bersebelahan di antara suami dan isteri.

Memang benarlah kata Ulamak, kerja haji ini perlukan kesabaran yang maksima. Inilah perbezaan menjadi tetamu Allah berbanding tetamu yang lain. Bukan setara jika dibandingkan nilai ringgit yang dikeluarkan bagi mengerjakan haji dengan balasan yang akan diberikan oleh Allah SWT. Namun semua yang dihadapi bergantung kepada rezeki masing-masing bagaimana mereka akan diuji tentang kesabarannya oleh Allah SWT. Alhamdullillah sepanjang wukuf, mabit di muzdalifah dan bermalam di mina, kemeriahan dan keriangan dalam mengerjakan aktiviti rukun dan wajib haji sungguh membuat diriku teruja.

Jika dibayangkan zaman nabi mengerjakan ibadah haji dengan menunggang unta berbulan-bulan lamanya, tiada hotel berhawa dingin, makanan tidak berhidang…tidak pula kita mendengar hadis atau riwayat yang menceritakan para sahabat mengeluh disebabkan kesusahan, kepayahan dan ketidakselesaan. Tetapi kini, rata-rata ramai jemaah haji yang merungut tidak berpuashati tentang apa yang telah disediakan oleh tuan rumah sedangkan apa yang disediakan amat jauh lebih senang berbanding zaman nabi. Adakah ini kelemahan tuan rumah atau kelemahan individu yang tidak bersedia dengan ujian yang diberikan oleh Allah SWT.

Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya. Doa selepas tawaf wida’, terselit ungkapan mengharap kepada Allah SWT agar mengizinkan diri ini menjadi tetamuNya di lain waktu. Kepiluan dan kesedihan meninggalkan Kaabah mengalahkan kesedihan sewaktu meninggalkan anak-anak ketika hendak berangkat ke sini. Aku dan isteri tidak berkata-kata sepanjang meninggalkan Kaabah menuju ke hotel. Masing-masing asyik melayani perasaan pilu dan hiba. Namun harapan tinggi menggunung agar Allah perkenankan doa kami untuk kembali menziarahi Nabi dan Baitullah.

Ringkasnya, perbandingan sewaktu 1403H dan 1428H ini sudah pasti amat ketara. Di kala muda, aku tidak dapat menghayati tentang kerja haji yang aku lakukan kerana lebih kepada ikut-ikutan sahaja berbanding dikala usia matang ini. Begitu juga aku melihat jemaah yang telah lanjut usia, batasan-batasan yang ada, kekadang menghalang mereka dari melaksanakan kerja haji yang akhirnya kurang penghayatan dapat dirasai. Oleh itu, izinkan aku di sini untuk menggalakkan pada keluarga ku dan keluarga Saujana Utama, untuk memasang niat bagi mengerjakan haji sewaktu tenaga masih ada. Semoga bumi Masy’aril Haram menjadi persaksian untuk kita di hadapan Rabbul Jalil. InsyaAllah.

2 comments:

  1. sungguh seronok membaca kenangansewaktu haji ini. Teringin rasanya untuk pergi.

    ReplyDelete
  2. Jom pi sekali lagi.. 2011.. insya-Allah

    ReplyDelete