Wednesday, July 1, 2009

Umrah Dan Ziarah Mesir, 2009

UMRAH 2009 (25hb Mei – 8hb Jun 2009)

Alhamdulillah, tidak ku sangka Allah SWT telah menyenaraikan namaku dan isteri ku sebagai tetamuNya bagi mengerjakan umrah pada tahun ini. Walaupun agak singkat tempoh antara Haji 2007 yang telah kami laksanakan dengan Umrah 2009, namun aku tetap merasakan telah lama aku meninggalkan Makam Rasulullah SAW dan Baitullah. Ramai kawanku berkata,”Eh, kan baru pergi, dah nak pergi lagi”…. Aku sentiasa beristighfar agar syaitan tidak mengambil peluang untuk menimbulkan rasa riak dalam hati. Tetapi aku yakin sesiapa yang telah pergi ke sana, dan berpeluang untuk pergi lagi pasti akan terlonjak-lonjak kegembiraan untuk membuat persiapan.

Memang begitulah janji Allah, bukan senang untuk kita diterima menjadi tetamuNya walaupun kita telah merancang. Ini kerana pada awalnya aku bercadang untuk membawa anak sulongku, Aiman. Telah aku berhubung dengan Pengetua sekolahnya tetapi respon yang diterima menyatakan tarikh pemergian ku ke tanah suci bertembung dengan tarikh peperiksaan pertengahan tahun sekolahnya. Namun di saat akhir, aku mendapati peperiksaan tersebut telah dipercepatkan. Inilah dikatakan takdir Allah tidak mahu menjemputkan seseorang itu menjadi tetamuNya.

Pemergianku kali ini mengambil kesempatan untuk pergi ziarah ke Bumi Anbia, Mesir. Dengan kadar harga pakej yang ditawarkan, aku terus menerima dan isteriku gembira dengan perancanganku ini. Sampai hari berlepas, Allah telah menguji kami sekeluarga. Aku telah diserang demam yang amat kuat hasil jangkitan kuman dari Aiman yang baru balik bercuti awal dari Ipoh. Begitu juga isteri dan anak ku yang bongsu Azraie. Terdetik di hati untuk membatalkan pemergian. Disamping wabak H1N1 yang melanda seluruh dunia. Namun kesungguhan untuk pergi, ku kuatkan semangat dan menelan ubat mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh doktor.

Aku bertolak dari rumah pada jam 6.30 petang. Pada asalnya aku bercadang untuk menyewa teksi tetapi kawanku Chan Fook Mun memarahiku dengan mengatakan kenapa mau buang duit. Dia boleh hantar katanya. Aku terharu dengan kebaikannya dan akhirnya dia yang menghantar aku dan isteri ke KLIA.

Penerbangan dengan menaiki pewasat Egypt Air jam 11.50 malam agak berbeza dengan penerbangan sewaktu musim Haji. Ialah musim haji, pesawat disewa sepenuhnya oleh Tabung Haji dan segala adab dan pemakaian krew pesawat dan penumpang di jaga. Walaubagaimana pun menaiki pesawat dari Negara Islam (Timur Tengah) setidak-tidaknya doa menaiki kenderaan dan musafir tidak dilupakan.

Selepas berada di dalam pesawat hampir 10 jam dengan singgah di Mumbai selama 1 jam, pesawat Eygpt Air mendarat di bumi Anbia Mesir. Kerisauan terus melanda sekiranya aku ditahan disebabkan demam panas tidak begitu reda walaupun beberapa biji ubat telah ku telan. Lega rasanya bila pegawai imigresen melepaskan aku keluar dari pintu masuk ke Mesir.

Kami terus menaiki bas. Dalam fikiranku, kami akan terus ke Hotel penginapan untuk berehat setelah 10 jam berada di dalam pesawat namun, kami terus di bawa melawat beberapa tempat bersejarah seperti Masjid Sultan Hassan. Masjid ini difahamkan merupakan masjid yang telah mengadakan kelas bagi 4 mazhab yang termasyhur iaitu Mazhab Shafie, Mazhab Hambali, Mazhab Maliki dan Mazhab Ghazali di dalam satu masjid pada satu masa yang sama. Selain dari itu, kami di bawa melawat ke Piramid dan kedai Minyak wangi.

Pada hari kedua dan seterusnya, Kami dibawa untuk menziarah makam Imam Shafie, Makam Saidina Hussin, Tasik Qarun, Fayyum, Sungai Nil, Iskandariah, Istana Raja Farouk yang mempunyai rahsia dengan meminum sup burung merpati, Kincir Air yang di ilhamkan oleh Nabi Yusof dan Kilang Kristal Asfour. Rata-rata di Mesir aku tidak begitu seronok dengan keramahan orang tempatan. Barang pun mahal dan peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi. Namun demikian, aku amat bersyukur dengan peluang yang telah diberikan oleh Allah SWT untuk berada di Bumi Anbia, Mesir.


Hari yang ditunggu untuk berangkat ke Jeddah telah pun tiba. Keseronokan makin terasa. Perjalanan dengan menggunakan pesawat Egypt mengambil masa 1 jam 45 minit sahaja. Kami sampai di Jeddah hampir waktu Mahgrib. Selesai melaksanakan solat Jama’ maka kami pun berangkat ke Madinah dan sampai kira-kira jam 12 tengah malam. Terasa lepas kerinduan apabila aku membuat ziarah di Makam Rasulullah pada jam 2.30 pagi. Air mata tetiba sahaja mengalir di pipi. Ustaz Zul yang mengiringi kami memberi pilihan samada ingin balik ke hotel atau terus beritikaf di masjid. Aku mengambil peluang untuk terus menunggu waktu Subuh walaupun agak letih dan mengantuk. Memang menjadi buruanku untuk bersalam dengan idola ku iaitu Imam Masjid Nabawi iaitu Shikeh Salah Al Bidr. Alhamdulillah memang pada Subuh itu, Beliau menjadi imam dan aku berkesempatan bersalam dengannya. Nampaknya berat badannya bertambah sewaktu aku mengerjakan haji pada tahun 2007. Kesempatan untuk mengusung jenazah ke perkuburan Baqi’ juga aku ulangi. Aku tidak tahu kenapa ianya menjadi satu buruan untuk aku melakukannya apabila aku berada di bumi Madinah.

Ziarah di tempat yang telah aku lawati sewaktu Haji 2007 berulang dan aku sekadar meraikan rakan sekumpulan yang belum pernah pergi ke tempat bersejarah. Rata-rata ahli kumpulan aku semuanya telah beberapa kali datang ke Madinah dan Makkah. Tempat yang di lawati seperti Jabal Uhud, Gua Thur, Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Ladang Tamar dan juga Pasar Tamar. Kali ini aku tidak banyak mengambil gambar dan membeli kerana tidak banyak perubahan yang berlaku di Madinah. Aku dan isteri mula berazam untuk mengkhatamkan 30 juzuk sepanjang berada di Madinah dan Makkah. Memang benar kata ulamak bahawa bumi Madinah dan Makkah adalah merupakan bumi yang memberikan semangat untuk beribadah. Kesungguhan untuk beramal nampak ketara jika dibandingkan sekiranya aku berada di bumi tempat tumpah darahku.

Dua hari di Madinah seolah-olah merentap kebahagian aku bersama Nabi. Apakan daya pakej telah menetapkan waktu berada di Madinah sedemikian singkat. Aku meninggalkan Rasulullah dengan tangisan hiba dengan harapan dapat bertemu lagi sebelum Kiamat didatangkan oleh Allah SWT. Tinggal lah Rasulullulah dengan penuh bangga kerana ramai umatnya datang menzirahi Baginda setiap masa. Makin sayup Bandar Madinah hilang dari pandangan mata. Bas berhenti di Masjid Bir Ali untuk kami memasang niat ihram bagi mengerjakan umrah. Perjalanan masih jauh dan pantang larang telah bermula. Sampai di Makkah jam 10 malam dan aku terus meminta izin dari Ustaz Zul untuk kami mengerjakan tawaf dan saie terlebih dahulu. Ustaz Zul membenarkan kami memandangkan beliau mengetahui kami telah mengerjakan Haji sebelum ini. Selesai tawaf dan saie jam 2.00 pagi. Dapatlah kami tidur 2 jam untuk kembali semula ke Masjid bagi mengerjakan solat Subuh. Hotel kami berada di laluan pintu 45 ke arah Masjid Kuching. Aku amat terkejut melihat sekeliling kawasan Masjidil Haram telah dirobohkan bangunan sebelum ini padat sewaktu musim Haji 2007 dahulu. Aku hilang punca untuk mencari kesan dan kemana kedai-kedai yang aku berurusan sebelum ini hilang dan dipindahkan.

Hari-hari berikutnya senitasa berulang alik ke Masjid, Umrah dan Ziarah. Alhamdulillah aku dan isteri dapat memenuhi azam kami untuk mengkhatam 30 juzuk. Di Makkah bermacam-macam boleh berlaku yang tidak disangka. Aku bertemu dengan bekas Polis yang ku kenali di dalam Masjid. Beliau berasal dari Alor Setar dan merupakan bekas Ahli JawatanKuasa Kecil Daerah Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad. Aku panggil beliau Pak Cik Tajuddin. Namun rancangan untuk bertemu semula dengan makcik tidak kesampaian kerana aku pula sibuk dengan Pengendali Jemaah Haji dan Umrah di Makkah yang dikenalkan oleh rakan di Malaysia. Sehinggakan satu malam aku tidakl tidur kerana mengikutnya berjalan disekitar Masjid Al Haram dan Hotel-Hotel dibawah seliaan beliau. Asal usul beliau adalah orang Malaysia. Namun sejak 60 tahun Moyangnya telah berhijrah ke Makkah. Kini beliau menjadi warga Arab Saudi.Sehari sebelum balik ke Malaysia, beliau menjemput aku dan isteri ke rumah beliau untuk makan malam. Sungguh terharu dan terasa lama telah berkenalan. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada beliau apabila hendak berangkat pulang ke Malaysia dengan terasa hiba.

Seperti biasa, tawaf wida’ yang diakhiri dengan doa, tidak dapat membendung kesedihan. Aku teresak-esak menangis berharap dapat lagi berkunjung ke Baitullah. Walaupun pada ketika itu suhu di bumi Makkah terlalu panas, iany menjadi kerinduan bila aku berada di Malaysia. Terasa bagaikan mimpi bila mengenangkan perjalanan ku ke Makkah kali ini. Di hati ku sentiasa ku simpan rindu ku untuk kembali ke sana. Mudah-mudahan aku akan di panggil lagi oleh Allah SWT untuk menjadi tetamuNya.

1 comment: