Tuesday, September 8, 2009

BERBUKA PUASA DI PERANGSANG TEMPLER GOLF CLUB – 6HB SEPT 2009

Dulu mula-mula dalam kehidupan aku menjalani ibadah puasa, tidak terfikir untuk menerima jemputan berbuka puasa di mana-mana hotel atau pun kelab. Tetapi kini trend tersebut telah berleluasa di merata-rata tempat. Pada dasarnya ianya merupakan satu amal yang baik kerana bagi sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka maka dia akan menerima pahala puasa sama seperti orang yang diberi berbuka tersebut. Namun dalam kesibukan memenuhi jemputan dan berhadapan dengan berbagai menu hidangan, ramai yang terlupa bahawa pada waktu yang sama rukun islam yang kedua juga wajib dilaksanakan.

Memang dah termaktub dalam hadith bahawa mensegerakan berbuka puasa adalah lebih afdhal tetapi rasanya tidak le berlarutan sehingga kekenyangan yang teramat sangat menjadikan diri kita malas untuk mendirikan solat maghrib. Bahkan apa yang dapat dilihat ada yang meninggalkan langsung ibadah wajib tersebut. Sedih rasanya bila melihat ruang solat yang disediakan oleh para penganjur majlis berbuka puasa tersebut kosong dan lengang.

Sebenarnya apa yang aku ceritakan ini adalah pengalaman sewaktu aku dan keluarga mendapat jemputan dari rakan ku Chan Fook Mun untuk berbuka disana. Aku pun hairan juga kawan ku ini cukup bersungguh-sungguh menjemput kami sekeluarga dan beliau juga menjemput kakitangan syarikatnya untuk berbuka sekali. Tidak kira samada kakitangannya muslim atau pun tidak. Sewaktu aku dalam perjalanan ke sana kira-kira 6.20 petang, Chan mula menelefon aku untuk mengesahkan kehadiran ku walaupun sebelum ini aku telah menyatakan untuk hadir. Sesampai disana, dia dan keluarga telah pun sampai dan kami bersalaman. Beliau menunjuk arah ke tempat berbuka puasa walaupun ini adalah tahun ketiga aku dijemput untuk berbuka disitu. Dia menyuruh aku untuk mengambil makanan bagi bersedia untuk berbuka kerana jika lewat terpaksa beratur untuk mendapatkan makanan yang menjadi kegemaran ramai iaitu kambing golek.

Selepas berbuka dan selesai solat maghrib, aku sambung menjamu selera. Nampak ada kemajuan dari menu yang dihidangkan. Setelah berborak dengan Chan berkaitan perniagaan, aku pun minta permisi untuk pulang dahulu kerana untuk mengejar solat tarawikh. Beliau memahami keperluan ku dan aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau dan isterinya.

No comments:

Post a Comment