Monday, September 14, 2009

LAILATUL QADR

Begitu pasti Lailatul Qadr akan berlaku pada satu malam di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan. Ini kerana sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Kelebihan malam Al-Qadr ini adalah lebih baik dari seribu bulan dan kelebihan malam ini hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Kenapa ianya diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W, kerana umur umat Nabi Muhammad S.A.W amatlah singkat berbanding umat-umat Nabi-Nabi yang lain. Malam tersebut dipanggil sebagai Malam Ketentuan kerana pada malam itu Allah S.W.T akan menentukan tiga (3) perkara untuk hambaNya, iaitu Ajalnya, Kesihatannya dan Rezekinya. Maka beruntunglah mereka-mereka yang mendapat ketentuan yang baik pada malam itu.

Tiada siapa yang ketahui bilakah sebenarnya malam tersebut berlaku kecuali Allah S.W.T. Sengaja Allah S.W.T merahsiakan malam tersebut agar memberi galakan hambaNya untuk beribadah dan mencari malam tersebut. Namun demikian, tanda-tanda berlakunya malam tersebut telah dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W yang mana di antaranya ialah , ianya akan berlaku pada malam-malam ganjil pada malam 10 terakhir iaitu malam 21, 23, 25, 27, 29. Pada malam tersebut mengalami cuaca yang damai di mana suhunya tidak panas dan tidak sejuk. Langit agak terang dan damai. Manakala tanda selepas berlakunya malam tersebut ialah pada paginya matahari akan menyinari sinarannya dalam keadaan yang tidak terik serta cuaca pun tidak panas dan mendung.

Dan yang pasti Rasulullah S.A.W telah menemui malam Al-Qadr pada setiap Ramadan, namun Rasulullah S.A.W tidak menunjuk-nunjuk dengan menyatakan baginda telah bertemu dengan malam tersebut sebaliknya banginda hanya menyatakan bahawa baginda bermimpi bertemu dengan malam tersebut. Inilah akhlak Rasulullah yang begitu mulia berbanding dengan manusia biasa. Baru sekadar mengikuti sekali program mencari malam Lailatul Qadr dan tidak istiqomah dari awal Ramadan telah menyatakan serasa telah melalui malam tersebut sedangkan tidak ada seorang pun yang bertanya kepadanya.

Dalam kita mengharap pertemuan dengan malam Al-Qadr, biarlah kita menyerahkan pengharapan tersebut kepada pemiliknya iaitu Allah S.W.T kerana dalam surah Al-Qadr juga telah menyatakan bahawa malam tersebut akan berlaku dengan izin dari tuhan. Oleh yang demikian, perlulah kita memperbetulkan niat kita dalam kita mencari malam tersebut dengan beribadah kerana Allah S.W.T. dan berdoa agar Allah menyenaraikan kita di dalam senarai hambaNya yang diizinkan bertemu dengan malam tersebut. Semoga pada Ramadan yang akan datang, Allah akan pertemukan lagi kita dengan malam Al-Qadr. WallahuAlam.

No comments:

Post a Comment