Thursday, September 3, 2009

PERKENALKAN AHLI KELUARGAKU

Bila aku nak mulakan coretanku ni, teringat pulak cerita P.Ramlee Anak bapak. Yang mana anaknya Harun (P.Ramlee) memperkenalkan gambar-gambar datuk-datuknya A.R Tompel dengan berbagai-bagai nama. Ada yang Mahfuz bin Mahfiz, Mahfiz bin Mahfaz. Jadi aku tak le berniat macam tu. Sekadar nak luahkan kesyukuran dengan nikmat keluarga yang Allah telah berikan dan kurniakan kepada aku.

Mula-mula mestilah aku. Emm.... ni le rupa aku. Gambar yang disebelah ni. Kacak tu tak le tapi manis tu ada. Dah tua lak rasanya bila nengok anak dah besar-besar. Anak ke sepuluh dari sepuluh adik beradik. Kerja di KOP Mantap Berhad. Anak syarikat KoperAdd Videoasi Polis Di Raja Malaysia Berhad.

Pastu mestilah isteriku. Dia tua setahun daripada aku. Tapi itulah diantara syarat yang aku berikan kepada kakak ku yang cuba mencarikan pasangan hidup. Bukannya aku ni tak laku tapi terlalu pemalu dan sibuk pada ketika itu hingga tak sempat nak cari. Dah pernah cuba cari sendiri tapi tulah, bila aku suka budak tu lak taknak. Bila dia nak pulak aku kata bukan taste aku. Last-last cara yang kakak aku cadangkan ni berjaya. Alhamdulillah. Kerjanya cikgu. Dekat aje sekolahnya. Di kawasan taman perumahan kami di Saujana Utama. Oh ya, terlupa nak bagi tau nama dia. Namanya ialah Nor Azwa bt Baharain. Orang Perak. Nama panggilan dirumah Ibu. Dia seorang yang baik dan penyayang. Berleter tu biasa le. Orang perempuan le katakan. Kisah-kisah Saidina Omar dengan isterinya yang kuat berleter menjadikan aku cuba mengikuti apa yang pernah ku dengari tentang beliau. Aku bernikah dengan dia pada 11hb November 1991. Dah hampir 19 tahun bersama dengannya. Tapi rasa macam baru 19 jam. Hee…hee… ada makna tu… Perselisihan faham biasalah mesti ada. Tapi aku teringat sahabat aku semasa di ITM dulu berkata. Selisih faham perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Tapi yang paling penting cara penyelesaian yang diambil. Alhamdulillah, setakat ini berjalan lancar dan doakan kami kekal bersama di dunia dan dapat bertemu kembali di Syurga Allah.

Dua tahun kami bernikah barulah Allah kurniakan cahayamata yang pertama. Nor Aiman namanya. Lahir pada 1hb September 1993. Kini dah berusia 16 tahun. Anak yang baik tetapi mudah terikut-ikut dengan rakan sebaya. Kini bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Jalan Persiaran Brash. Kalau nak tahu itu la sekolah ibu dia dulu. Semoga dia dapat semangat ibunya dan berjaya mencapai cita-citanya. Kat rumah kami panggil dia Along.

Bila Allah dah mula berikan zuriat, sudah tentu keinginan untuk menambahnya tetap ada. Pada tahun 1995 tanggal 6hb Mei, terpacullah hamba Allah yang diberi nama Nor Ammar. Bukan main semangat sungguh sewaktu lahirnya. Boleh dikategorikan dalam golongan bayi yang comel pada ketika itu. Sekarang ni kurus tapi makan banyak. Sedang membesar. Umur pun dah 14 tahun. Kalau dia marah kat adik-adik dia atau abang dia, mulut dan suaranya cukup menyakitkan telinga ini mendengarnya. Tapi apakan daya. Dah perangai dia. Namun kalau salah seorang daripada anak tak ada di rumah. Terasa kekurangannya. Sebagai contoh kini Aiman sekolah di Ipoh, setiap hari bila balik dari pejabat, aku akan bertanya pada isteri ku samada Aiman ada telefon atau tidak.

Tidak terkawal nafsu orang muda, selang beberapa bulan isteriku mengandung lagi. Muncul la pula zuriat yang ketiga yang diberi nama Nor Afiq pada 5hb Oktober 1996. Susahnya menjaga dia semasa bayi Allah saja yang tahu. Hinggakan adakalanya tak dapat tidur. Ini kerana dia mempunyai penyakit Angin Pasang. Doktor dah bagi nasihat untuk bedah tapi kami usahakan dengan Homeopathy dan Alhamdulillah sihat kembali. Dia ni seorang anak nampak sifat kasih sayang dia pada adik beradik tapi pada masa yang sama suka menyakat adik beradiknya dengan membuat memek muka yang penuh berbakat. Pastu dia gelak bila adik dan abangnya terasa sangat sakit hati. Kira puas lah hati kalau tercapai misinya itu. Kini umurnya 13 tahun.

Dah tiga orang anak lelaki, teringin pulak anak perempuan. Tapi itu bukan kerja kita nak pilih anak lelaki ke atau anak perempuan. Melalui bacaan dan program parenting, kami cuba berbagai kaedah dan pendekatan. Alhamdulillah pada tahun 1999 bertarikh 19hb Oktober aku dapat seorang puteri reformasi. Kebetulan waktu tu begitu hangat Puteri Reformasi anak kepada YB Dato Seri Anwar Ibrahim yang membela nasib beliau yang dikatakan mangsa Konspirasi. Jadi sempena kecekalan dan semangat yang ditunjukkan oleh puteri tersebut, aku pun menamakan anak perempuan ku dengan nama Nurul Izzah. Anak ku ini merupakan cucu yang terakhir buat Ayah ku. Ini kerana pada tahun 2000 beliau telah pergi meninggalkan kami buat selamanya. Nurul seorang anak yang baik dan suka mengalah dengan abang-abangnya. Dan sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluargaku keutamaan sering diberikan kepadanya. Kini dia berusia 10 tahun.

Setelah 7 tahun dengan empat orang anak, tetiba aje. Bak kata orang sambil-sambil aje dapat seorang lagi anak yang bongsu dan terakhir. Doktor telah menasihati kami agar cukup dengan apa yang ada. Hadiah untuk itu, kelahiran anak yang bongsu ini adalah dengan melalui pembedahan. Habis dalam 5 ribu. Namanya kami berikan dengan nama Nor Azraie. Panggilan dirumah Adik atau A’ie. Kini bukan main keletah dan tak henti-henti bercakap. Cukup aktif. Mungkin betul kata orang, anak yang keluar atau dilahirkan mengikut tingkap memang betul aktif.
Akhir kalam, doa yang sering keluar dari mulutku selepas sembahyang setiap waktu dengan doa, Ya Allah, Jadikan dan tanamkanlah kasih sayangku terhadap isteriku dan jadikanlah zuriatku sebagai penghias dan penyejuk mata dan jadikan mereka tergulong dalam golongan orang yang bertaqwa dan beriman. Amin.

No comments:

Post a Comment